#4081: Hudud Tertolak Jika Terdapat Syubhah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah benar hukuman hudud itu tidak akan dilaksanakan jika terdapat syubhah pada perbicaraan sesuatu jenayah itu? Kerana ada ustaz yang mengatakan bahawa hadith tentang ini adalah lemah.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, syubhah bermaksud kesamaran kerana tidak jelas hukumnya.

Adapun maksud syubhah dalam konteks hukuman hudud ini pula, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, apabila hakim mendapati ada keraguan dalam proses pensabitan hukuman jenayah hudud, dia wajib tidak menghukum tertuduh dengan hukuman hudud. Meskipun begitu, ia tidak menghalang hakim dalam keadaan-keadaan tertentu daripada mengenakan hukuman lain di bawah kesalahan ta‘zir. (Lihat Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami, 10/912)

Rasulullah SAW telah menjelaskan kepada umat Islam keseluruhannya bahawa perkara syubhah itu adalah perkara yang tidak jelas, dan mengambil perkara syubhah itu boleh menatijahkan seseorang itu terjerumus dalam kesilapan. Daripada Abu ‘Abdillah, Nu’man bin Basyir R.Anhuma, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرأَ لِدِيْنِهِ وعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ. أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى. أَلا وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ، أَلَا وإِنَّ فِي الجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ وإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ القَلْبُ

Maksudnya: “Sesungguhnya  yang  halal  itu  jelas  dan  yang  haram  itu  jelas.  Di antara  keduanya  terdapat  perkara-perkara  yang  syubhah  (samar-samar)  yang  tidak diketahui  oleh  sebahagian  manusia.  Maka  sesiapa  yang  menjauhi  perkara  syubhah bermakna  dia  telah  menyelamatkan  agama  dan  kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka dibimbangi akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.  Sebagaimana  penggembala  yang  membawa  haiwan  gembalaannya disekitar  padang  larangan,  maka  lambat  laun  dia  mungkin  akan  memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan.  Ketahuilah  bahawa  dalam  diri  ini  terdapat  segumpal  daging,  jika  ia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa ia adalah hati.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Melihat kepada persoalan yang saudara ajukan, kami bawakan terlebih dahulu beberapa riwayat hadith yang membincangkan tentang menolak pelaksanaan hudud jika terdapat syubhah. Ini seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ادْفَعُوا الْحُدُودَ مَا وَجَدْتُمْ لَهَا مَدْفَعًا

Maksudnya: “Pertahankanlah (jauhilah) hudud selagi kamu dapati padanya boleh dipertahankan.”

Riwayat Ibn Majah (2545)

Dalam riwayat lain daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

ادْرَءُوا الْحُدُودَ عُنِ الْمُسْلِمِينَ مَا اسْتَطَعْتُمْ، فَإِنْ كَانَ لَهُ مَخْرَجٌ فَخَلُّوا سَبِيلَهُ. فَإِنَّ الْإِمَامَ أَن يُخْطِئَ فِي الْعَفْوِ خَيْرٌ مِنْ أَن يُخطِئَ فِي الْعُقُوبَةِ

Maksudnya: “Tolaklah hudud daripada kalangan muslimin selagi kamu mampu, sekiranya terdapat jalan keluar padanya maka ambillah jalannya, sesungguhnya seorang pemimpin yang tersalah dalam memaafkan adalah lebih baik daripada tersalah dalam menjatuhkan hukuman.”

Riwayat al-Tirmizi (1424) dan al-Hakim (8163)

Dalam riwayat daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A pula, Rasulullah SAW bersabda:

ادْرَءُوا الْجَلْدَ وَالْقَتْلَ عَنِ الْمُسْلِمِينَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “pertahankanlah (jauhkanlah) pembunuhan daripada kalangan muslimin selagi kamu mampu.”

Riwayat al-Baihaqi (17064)

Syeikh ‘Abdullah bin Soleh al-Fauzan menukilkan kritikan ulama’ terhadap riwayat-riwayat di atas. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bahawa riwayat Abu Hurairah R.A itu bertaraf dha‘if kerana padanya seorang perawi bernama Ibrahim bin al-Fadhl al-Makhzumi. Beliau dikritik sebagai perawi yang lemah oleh Imam Ahmad, Ibn Ma‘in, Abu Zur‘ah, Abu Hatim, Imam al-Bukhari dan lain-lain. Bahkan  Ibn Hajar juga menukilkan kritikan beberapa ulama’ ke atas perawi ini.

Riwayat Saidatina ‘Aisyah R.Anha juga bertaraf dha‘if jiddan kerana padanya seorang perawi bernama Yazid bin Ziyad al-Qurasyi al-Dimasyqi. Imam al-Bukhari mengatakan bahawa dia ini seorang pendusta hadith dan zahib. Imam al-Zahabi pula berkata, Yazid bin Ziyad Syami ini ditinggalkan hadithnya. Bahkan Imam al-Baihaqi juga meriwayatkan hadith ini secara mauquf.

Manakala riwayat ‘Ali bin Abi Talib R.A pula, ia juga bertaraf dha‘if jiddan. Imam al-Bukhari mengkritik perawi bernama al-Mukhtar bin Nafi‘ seraya berkata: “Dia seorang pendusta hadith.” (Lihat Minhah al-‘Allam, 8/432)

Meskipun terdapat pelbagai kritikan terhadap riwayat-riwayat di atas, tetapi jalur periwayatan yang banyak ini menguatkan antara satu sama lain sehingga, dan ia menjadi bukti bahawa hadith ini secara umumnya terdapat asal. (Lihat Subul al-Salam, 7/126)

Syeikh ‘Abd al-‘Aziz Ibn Baz, mantan mufti Kerajaan Arab Saudi mengatakan, terdapat banyak jalur hadith yang menyebutkan tentang ini (menolak hudud jika adanya syubhah), padanya terdapat kritikan. Meskipun begitu, ia menguatkan antara satu sama lain. Dan yang dimaksudkan adalah, menjadi kewajiban ke atas seorang pemimpin untuk menolak dari menjatuhkan hukuman hudud jika padanya terdapat syubhah, yang mana ianya menimbulkan syak adakah benar jenayah itu berlaku. Sekiranya hakim tidak dapat memastikan secara tepat tanpa sebarang syubhah tentang jenayah itu, maka dia tidak boleh menjatuhkan hukuman hudud, akan tetapi cukup baginya mencegah jenayah itu dengan menghukumnya dengan ta‘zir dan bukan hukuman hudud seperti rejam, sebat atau potong tangan. Hukuman hudud ini tidak dilaksanakan melainkan setelah dipastikan terlebih dahulu dengan kehadiran 2 atau 4 orang saksi yang adil. (Lihat Majmu‘ Fatawa, 25/264)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan yang kami bawakan, benar sebagaimana yang disebutkan bahawa riwayat-riwayat ini bertaraf lemah, bahkan perawi-perawinya mendapat pelbagai kritikan dari ilmuan hadith. Akan tetapi, ini tidak menafikan bahawa Islam sememangnya mengajarkan kita untuk menjauhi hukuman yang terbina atas syubhah, kerana dikhuatiri seseorang perintah itu tersilap menjatuhkan hukuman ke atas seseorang yang sebenarnya tidak melakukan jenayah tersebut.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga Allah SWT pelihara kita dan ampunkan segala dosa kita:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Wallahu a‘lam