#4082: Orang dalam Junub Melaungkan Azan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah orang dalam hadas besar atau berjunub melaungkan azan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, tidak disyaratkan orang tertentu untuk melaungkan azan. Sekiranya terdapat seorang lelaki muslim melakukan azan untuk solat, maka gugur kewajiban azan untuk penduduk setempat. Diriwayatkan daripada Malik bin al-Huwairith R.A, Rasulullah SAW bersabda:

فَإِذَا حَضَرَتِ الصَّلاَةُ فَلْيُؤَذِّنْ لَكُمْ أَحَدُكُمْ، وَلْيَؤُمَّكُمْ أَكْبَرُكُمْ

Maksudnya: “Dan apabila tibanya waktu solat, maka hendaklah salah seorang daripada kamu mengumandangkan azan, dan yang menjadi imam adalah yang paling tua usianya di antara kamu.”

Riwayat al-Bukhari (628) dan Muslim (674)

Para ulama menyebutkan beberapa syarat muazzin dan perkara yang dianjurkan. Syarat   muazzin adalah muslim, berakal dan lelaki, yang mana tidak sah azan jika syarat ini tidak dimiliki.

Ibn Qudamah menyebutkan, tidak sah azan, kecuali jika dia adalah orang Islam yang berakal dan lelaki. Sekiranya kafir atau gila, maka tidak sah azan tersebut. Hal ini kerana keduanya bukan termasuk pelaku ibadah. Tidak dianggap sah juga azan seorang wanita, kerana dia bukan termasuk yang disyariatkan untuk melaungkan azan. Sepengetahuan kami, hal ini tidak ada perbezaan  pendapat kalangan para ulama. (Lihat al-Mughni, 1/249).

Adapun perkara yang dianjurkan dan digalakkan adalah muazzin hendaklah bersuara elok dan sedap, amanah, adil, mengetahui waktu serta sudah baligh.

Ibn Qudamah menyatakan, dianjurkan seorang muazzin itu adil, amanah dan baligh. Hal ini kerana dia termasuk yang diberi amanah yang urusannya terkait pelaksanaan solat dan puasa. Hal ini kerana dia dipercayai untuk menguruskan solat dan puasa, maka tidaklah sesuai baginya untuk menipu mereka dengan panggilan azan jika sebenarnya tidak berlaku.  Di samping, azan (pada zaman dahulu) dilakukan di tempat yang tinggi (menara), sehingga (jika tidak punya sifat amanah) dikhawatirkan hal tersebut akan dijadikan kesempatan untuk melihat aurat.  (Lihat al-Mughni, 1/249).

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, sebahagian ulama berpendapat, melaungkan azan dalam keadaan berhadas besar atau berjunub, hukumnya adalah dibolehkan dan sah azannya tetapi makruh.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa dianjurkan (sunat) bagi muazzin untuk melaungkan azan dalam keadaan suci daripada hadas kecil dan hadas besar. Ini kerana azan merupakan zikir yang agung, maka melaungkan azan dalam keadaan suci lebih dekat dengan pengagungan dan memuliakannya. Begitu juga kerana terdapat hadith Abu Hurairah secara marfu‘: “Janganlah seseorang itu melaungkan azan kecuali dalam keadaan berwuduk.”

Oleh itu, dibolehkan bagi orang yang sedang berhadas untuk melaungkan azan tetapi dihukumkan sebagai makruh bagi orang yang berhadas besar untuk melaungkan azan di sisi seluruh fuqaha’.  Namun, ulama Malikiyyah dan Syafi‘iyyah turut menghukumkan sebagai makruh bagi orang yang berhadas kecil untuk melaungkan azan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/368).

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan dalam kitabnya mengenai pendapat mazhab ulama berkenaan azan dan iqamah bukan dalam keadaan suci (daripada hadas). Beliau menyatakan, kami telah menyebutkan bahawa menurut mazhab kami (Syafi‘i), seseorang yang melaungkan azan dan iqamah dalam keadaan berjunub dan berhadas adalah sah azan tersebut tetapi makruh hukumnya. Ini juga merupakan pendapat al-Hasan al-Basri, Qatadah, Hammad bin Abu Sulaiman, Abu Hanifah, al-Thauri, Ahmad, Abu Thaur, Daud dan Ibn al-Munzir.

Namun sebahagian ulama berpendapat tidak sah azan mahupun iqamah dalam keadaan tersebut (yakni ketika berjunub dan berhadas). Ini adalah pendapat ‘Ata’, Mujahid, al-Auza‘i dan Ishaq. Manakala Imam Malik berpendapat, sah azan dan tidak iqamah kecuali dalam keadaan berwuduk.

Kemudian, Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith yang paling sahih yang menjadi dalil dalam permasalahan ini adalah hadith al-Muhajir bin Qunfuz R.A, katanya:

أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ ييول فَسَلَّمْتُ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيَّ حَتَّى تَوَضَّأَ ثُمَّ اعْتَذَرَ إلَيَّ فَقَالَ: إنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَذْكُرَ اللَّهَ إلَّا عَلَى طُهْرٍ أَوْ قَالَ عَلَى طَهَارَةٍ

Maksudnya: “Aku pergi ke Nabi SAW dan ketika itu Baginda sedang buang air kecil. Lalu aku memberi salam kepadanya tetapi Baginda tidak menjawab salamku sehinggalah Baginda berwuduk. Kemudian Baginda meminta maaf kepadaku dan bersabda: ‘Sesungguhnya aku tidak suka untuk menyebut nama Allah melainkan dalam keadaan suci.’

Menurut Imam al-Nawawi, hadith di atas adalah hadith sahih, diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Daud, al-Nasa’i dan selain mereka dengan sanad-sanad yang sahih.

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada al-Zuhri, daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

 لَا يُؤَذِّنُ إلَّا مُتَوَضِّئٌ

Maksudnya: “Janganlah seseorang melaungkan azan melainkan dia dalam keadaan berwuduk.

Menurut Imam al-Nawawi hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan demikianlah yang dikatakan. Namun, yang sahihnya, riwayat ini daripada al-Zuhri, daripada Abu Hurairah secara mauquf dan ia adalah munqati‘. Ini kerana al-Zuhri tidak bertemu dengan Abu Hurairah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/105).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa orang dalam hadas besar atau berjunub dibolehkan untuk melaungkan azan dan sah azan yang dilaungkan itu. Akan tetapi hukumnya adalah makruh.

Sekalipun begitu, kami mengambil kesempatan di sini menyatakan, jika dapat diselesaikan terlebih dahulu urusan mandi wajib bagi mengangkat hadas besar yang ditanggung sebelum melaungkan azan (sekalipun bukan untuk solat) adalah jauh lebih baik. Lebih-lebih lagi, azan merupakan di antara zikir yang teragung, dan alangkah baiknya jika ia dapat diucapkan/dilaungkan dalam keadaan yang paling baik; suci daripada hadas kecil dan besar.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.