#4083: Isteri Memberikan Hak Bermalam Kepada Madunya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. adakah dibenarkan isteri memberi hak bermalam bersama dengan suami kepada madunya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَزَقَهُ اللهُ امْرَأَةً صَالِحَةً، فَقَدْ أَعَانَهُ عَلَى شَطْرِ دِينِهِ

Maksudnya: “Siapa yang Allah rezekikan padanya isteri yang solehah, maka sebenarnya Allah telah membantunya pada separuh agamanya.”

Riwayat al-Hakim (2681) dan al-Baihaqi (5487) di dalam Syu‘ab al-Iman. Al-Albani menghukum hadith ini (1916) bertaraf Hasan li Ghairih di dalam Sahih al-Taghrib.

Kami mulakan dengan  sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW pernah bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (715)

Imam al-Qurthubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, sabda Nabi SAW:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ

Maksudnya: “Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”

Riwayat Abu Daud (1664)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah R.A, Nabi SAW menyebut:

مَا اسْتَفَادَ الْمُؤْمِنُ بَعْدَ تَقْوَى اللهِ خَيْرًا لَهُ مِنْ زَوْجَةٍ صَالِحَةٍ ، إِنْ أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ ، وَإِنْ نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ ، وَإِنْ أَقْسَمَ عَلَيْهَا أَبَرَّتْهُ ، وَإِنْ غَابَ عَنْهَا نَصَحَتْهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

Maksudnya: “Seseorang lelaki yang beriman itu tidak akan mendapat manfaat dan faedah – selepas takwanya kepada Allah SWT – lebih daripada isteri yang solehah. Jika disuruh oleh suami, dia taat, jika suaminya melihat kepadanya, dia menyenangkannya. Jika bersumpah, nescaya dia dapat membuktikannya dan jika ditinggalkan oleh suaminya, dia menjaga diri dan menjaga hartanya.”

Riwayat Ibn Majah (1857)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa tidak menjadi satu kesalahan bagi seorang isteri mengugurkan hak bermalam bersama saudari dengan memberi hadiah kepada madunya. Isteri Rasulullah SAW Saudah Binti Zam’ah pernah menghadiahkan harinya kepada ‘Aisyah R.Anha sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.A bahawa beliau berkata:

أَنَّ سَوْدَةَ بِنْتَ زَمْعَةَ وَهَبَتْ يَوْمَهَا لِعَائِشَةَ، وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْسِمُ لِعَائِشَةَ بِيَوْمِهَا وَيَوْمِ سَوْدَةَ

Maksudnya: Bahawa Saudah binti Zam‘ah memberikan giliran harinya kepada ‘Aisyah, dan adalah Nabi SAW membahagikan untuk ‘Aisyah giliran harinya dan giliran hari Saudah.

Riwayat Bukhari(5212) dan Muslim(1463)

Saudah Binti Zam’ah al-Qurasyiah al-’Amiriah merupakan isteri kedua Rasulullah SAW yang dikahwininya selepas kewafatan Khadijah. Saudah tinggal bersama Rasulullah SAW sehinggalah beliau tua. Beliau khuatir ditinggalkan oleh Rasulullah SAW sehinggakan beliau memberikan haknya kepada ‘Aisyah supaya dapat bersama dengan Rasulullah SAW kerana baginya menjadi isteri Rasulullah SAW merupakan nikmat yang terbesar.

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas beliau berkata :

 خشيتْ سَودةُ: أن يُطلِّقَها النَّبيَّ ﷺ، فقالت: لا تُطلِّقْني وأَمسِكْني واجعلْ يومي لعائشةَ، ففعل فنزلتْ (فَلا جُناحَ عَلَيْهِما أَنْ يُصْلِحا بَيْنَهُما صُلْحًا والصُّلْحُ خَيْرٌ)

Maksudnya: Saudah R.A khuati Rasulullah SAW menceraikannya lalu beliau berkata: Janganlah kamu menceraikan aku dan kekal lah aku sebagai isteri, jadikan hariku untuk ‘Aisyah . Rasulullah SAW melakukannya lalu turunlah ayat

فَلا جُناحَ عَلَيْهِما أَنْ يُصْلِحا بَيْنَهُما صُلْحًا والصُّلْحُ خَيْرٌ

Maksudnya:  maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai) 

Riwayat Tirmiz(2040)

Hadith di atas juga menunjukkan bahawa apabila isteri menghadiahkan harinya kepada maduya, tidak wajib bagi suami untuk menerimanya dan suami berhak untuk menggauli isteri yang mengugurkan haknya sekiaranya dia tidak  redha atas pemberian tersebut. Namun sekiranya suami redha maka ia dibolehkan. (Lihat Taudih al-Ahkam min bulugh al-Maram, 5/456)

Syeikh Zakariya al-Ansari menyatakan bahawa: Dan jika dia (wanita) memberikan haknya (nafkah) maka suaminya berhak untuk mengembalikannya, dan jika suaminya menyetujuinya dan dia memberikannya kepada pihak lain, maka malam yang dimilikinya adalah milik pihak tersebut. (Lihat Manhaj al-Tulab fi Fiqh Imam al-Syafi’e, 2/77)

Dalam isu ini Ibn Qudamah menyatakan bahawa: “Wanita boleh memberikan haknya dari nafkah kepada suaminya, atau kepada sebahagian bahkan semua  dari madunya. Ini hanya boleh dilakukan dengan persetujuan suami, kerana haknya untuk mengauli  tidak akan gugur  kecuali dengan persetujuan daripadanya. (Lihat al-Mughni, 7/311)

Justeru kami katakan tidaklah menjadi satu kesalahan  sekiranya isteri mengugurkan hak bermalam bersama suami dengan memberikannya   kepada madunya yang lain. Namun suami berhak untuk menolaknya kerana hak suami untuk  mengaulinya tidak akan gugur melainkan suami redha terhadap pemberian tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam