#4084: Isteri Memaksa Suami Untuk Menceraikannya Secara Khulu’

 Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bolehkah isteri memaksa suami menceraikannya secara khulu’.  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Khulu’ bermaksud perpisahan antara suami isteri dengan sesuatu gantian (bayaran) yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak atau khulu’. Umumnya, masyarakat Malaysia lebih maklum dengan istilah ‘tebus talak’.

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ  فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ  وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَن يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ  فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ  تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا  وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّـهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿229﴾ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.”

(Surah al-Baqarah: 229-230)

Perbezaan antara talak biasa dan khulu’ ialah talak berlaku dengan kehendak suami manakala khulu’ berlaku dengan kemahuan isteri dan nekad untuk bercerai disertai dengan gantian atau pampasan. Oleh itu, dia disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya, dengan gantian memberi suatu kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/127)

sekiranya telah berlaku tiga kali penceraian secara khulu’ maka haram untuk lelaki itu menikahi isterinya selagi wanita itu tidak berkahwin dengan lelaki lain. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/202)

Menjawab bagi  persoalan di atas kami katakan sekiranya isteri tidak menyukai suaminya baik dari segi sikap, penampilan atau agamanya atau merasakan tidak dapat untik memnuhi hak suami maka dibolehkan bagi isteri meminta khulu’ (tebus talak) daripada suami dengan bayaran. Yang demikian sepertimana firman Allah SWT:

 فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ يُقِيمَا حُدُودَ اللّهِ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ

Maksudnya: kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu)  

(Surah al-Baqarah:229)

Namun isteri tidak dibolehkan untuk memaksa suami untuk menerima khulu’ sekiranya dia menolaknya dan sunat bagi suami untuk menjawab permintaan tersebut. Yang demian sepertimana yang telah dinyatakan dalam Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram bahawa: Pendapat yang masyhur dari Mazhab Ahmad ialah tidak dibolehkan memaksa suami untuk khulu’. Namun sunat baginya untuk menerimanya. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/474)

Dalam isu ini juga Imam al-Nawawi menyatakan: Paksaan terhadap kata kata atau perbuatan tanpa hak adalah tidak sah sama ada memaksa dalam perkara  murtad, jual beli, sewa, nikah, khulu’, talak, membebaskan hamba atau sebagainya. Adapun paksaan yang dibenarkan oleh syara’ adalah sah dan dibolehkan. (Lihat Raudah al-Talibin, 8/56  )

Justeru kami katakan bahawa seorang isteri tidak dibolehkan untuk meminta cerai daripada suami melainkan sebab-sebab yang diharuskan oleh syara’. Larangan tersebut boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :

المختلِعاتُ هنَّ المنافقاتُ

Maksudnya:  Wanita-wanita yang memintai cerai dengan mengembalikan hak-haknya adalah munafik.

Riwayat Nasa’i (3461)

Sekiranya suami tidak menerima khulu’ maka tidak dibolehkan bagi isteri untuk memaksanya melainkan terdapat sebab-sebab yang diharuskan oleh syara’. Kami syorkan jika  terdapat permasalahan rumahtangga adalah lebih baik untuk merujuk kepada mahkamah syari’ah agar dapat menemui jalan penyelesaian.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam