#4086: Hukuman Sebat Pada Muka

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya teramat geram pada salah seorang ahli keluarga saya yang memang kaki minum arak. Seorang ustaz memberitahu bahawa hukuman hudud yang sepatutnya dijatuhkan ke atasnya adalah hukuman sebat. Saya terkadang membayangkan untuk mengenakan hukuman sebat itu di muka dia kerana terlalu geram. Adakah apa yang saya fikirkan ini salah menurut Islam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pelaksanaan hukuman hudud secara sebatan dan penetapannya oleh syara‘ bukanlah bertujuan untuk menghina dan merendah-rendahkan pesalah itu, dan tidak juga untuk ia dilaksanakan dengan hasrat agar pesalah itu meninggal atau cacat anggota tubuhnya. Bahkan, yang diinginkan dari hukuman ini adalah membersihkan dirinya dari kesalahan serta maksiat yang telah dikerjakannya, dalam masa yang sama mencegahnya dari mengulangi perbuatan tersebut, dan sebagai ancaman kepada sesiapa sahaja yang berhasrat untuk melakukan maksiat tersebut agar tidak meneruskan niat buruk itu.

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, inilah antara hikmah pensyari‘atan Tuhan terhadap pelaksanaan hukuman hudud ke atas umat Islam yang melakukan kesalahan. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/304)

Syeikh Soleh al-Fauzan menukilkan kalam Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, katanya: “Hukuman hudud itu ditetapkan sebagai bentuk rahmat dari Sang Pencipta yang menginginkan kebaikan buat para hamba-Nya. Oleh yang demikian, sesiapa yang bertindak menjatuhkan hukuman atas kesilapan yang dilakukan oleh manusia perlulah berlaku ihsan dan menunjukkan sifat rahmah, sepertimana seorang ayah yang menunjukkan sifat-sifat tersebut ketika mendidik anaknya, dan seperti doktor yang merawat pesakitnya.” (Lihat al-Mulakkhas al-Fiqhi, 2/521)

Dalam menjawab persoalan yang diajukan, memukul muka dengan apa jua niat atau tujuan sekalipun adalah ditegak sama sekali oleh syara‘. Ini berbetulan dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَجْتَنِبِ الوَجْهَ

Maksudnya: “Apabila salah seorang dalam kalangan kamu bergaduh, maka hindarilah (daripada memukul) bahagian muka.”

Riwayat al-Bukhari (2559) dan Muslim (2612)

Dalam riwayat yang sama daripada Imam Muslim, hadith ini turut datang dengan lafaz yang sedikit berbeza:

 إذا ضَرَبَ أحَدُكُمْ

Maksudnya: “Apabila salah seorang dalam kalangan kamu memukul…”

Riwayat Muslim (2612)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, para ulama berkata bahawa ini adalah larangan yang jelas dari memukul muka, kerana muka adalah bahagian yang mulia, mengumpulkan kebaikan, dan setiap anggota-anggotanya ada kehormatan dan kemuliaan. Sebahagian besar kefahaman (ilmu pengetahuan) itu terletak pada wajah (bahagian kepala). Dan memukul wajah boleh menghilangkan ingatan atau mengurangkannya, dan bahkan merosakkan kecantikan muka. Mencacatkannya dianggap sebagai keterlaluan kerana ia jelas kelihatan dan tidak mungkin disembunyikan. Apabila seseorang memukul muka, kebiasaannya tidak selamat dari berlakunya kecacatan. Termasuklah di dalam larangan ini jika seseorang memukul isterinya, anak-anaknya, atau hamba sahayanya bagi tujuan mendisiplinkan mereka, hendaklah dihindari dari memukul muka. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/165)

Imam al-San‘ani juga mengatakan perkara yang sama, dan beliau menambahkan juga bahawa hadith ini sebagai dalil tidak halal memukul muka, sama ada dalam hukuman hudud atau selain hukuman hudud. Begitu juga dilarang memukul atau menyebat orang yang dijatuhkan ke atasnya hukuman hudud di kawasan kemaluan. (Lihat Subul al-Salam, 7/172)

Dalam sebuah athar daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A, bahawa beliau berkata kepada penyebat untuk hukuman hudud:

اضْرِبْ وَأَعْطِ كُلَّ عَضْوٍ حَقَّهُ وَاتَّقِ الْوَجْهَ وَالْمَذَاكِيرَ

Maksudnya: “Pukullah, dan berikan pada setiap anggota tubuh haknya, dan jauhilah wajah serta kemaluan.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah (29268)

Antara sebab lain mengapa syara‘ menghalang dari memukul muka adalah, seperti yang dinukilkan oleh Syeikh al-‘Azim Abadi daripada al-Hafiz al-Munziri: “Kecacatan pada bahagian muka itu lebih dahsyat dari kecacatan di bahagian lain, kerana pada muka itu terdapat gigi-gigi yang jelas kelihatan, bahkan muka ini kecantikan yang Allah SWT ciptakan dan dimuliakan anak-anak Adam dengannya.” (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 12/153)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan di atas, kami katakan bahawa niat untuk memukul wajah seperti yang saudara sebutkan itu adalah bercanggah dengan kehendak syara‘. Alangkah baiknya jika saudara menunjukkan sifat rahmat dan ihsan dalam menghukum ahli keluarga tersebut agar hatinya menjadi lunak dan lebih mudah untuk menerima teguran atas kesilapan tersebut.

Ingatlah kita kepada firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan.”

(Surah al-Nahl: 90)

Dan antara bentuk adil serta kebaikan adalah, memberikan setiap anggota pesalah yang dijatuhkan ke atasnya hukuman hudud itu hak-haknya. Semoga, kita dapat beramal dengan segala ketetapan hukum syara‘ dan seterusnya dapat membina sistem perundangan yang lebih amanah serta jujur dalam menjatuhkan sesuatu hukuman.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Wallahu a‘lam