Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah alasan khulu’ dibenarkan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Khulu’ bermaksud perpisahan antara suami isteri dengan sesuatu gantian (bayaran) yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak atau khulu’. Umumnya, masyarakat Malaysia lebih maklum dengan istilah ‘tebus talak’.
Firman Allah SWT:
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَن يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّـهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿229﴾ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ
Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.”
(Surah al-Baqarah: 229-230)
Perbezaan antara talak biasa dan khulu’ ialah talak berlaku dengan kehendak suami manakala khulu’ berlaku dengan kemahuan isteri dan nekad untuk bercerai disertai dengan gantian atau pampasan. Oleh itu, dia disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya, dengan gantian memberi suatu kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/127)
sekiranya telah berlaku tiga kali penceraian secara khulu’ maka haram untuk lelaki itu menikahi isterinya selagi wanita itu tidak berkahwin dengan lelaki lain. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/202)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan pada asalnya tidak boleh bagi seorang isteri meminta cerai dari suaminya tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Sabda Nabi SAW:
أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga.”
Riwayat al-Tirmidzi (1187)
Namun ada beberapa perkara yang diharuskan bagi isteri untuk memohon cerai dari suaminya secara khulu’ (tebus talak) seperti dia tidak menyukai suaminya kerana pergaulannya , akhlaknya atau sifat fizikalnya yang buruk dan kekurangnya dalam agama serta dia khuatir tidak dapat memenuhi hak Allah dalam mentaati kepada suaminya. Yang demikian sepertimana yang telah dinyatakan dalam firman Allah SWT:
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ يُقِيمَا حُدُودَ اللّهِ فَلاَ جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ
Maksudnya: kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu)
(Surah al-Baqarah:229)
Hal ini juga boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa:
أَنَّ امْرَأَةَ ثَابِتِ بْنِ قَيْسٍ أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ثَابِتُ بْنُ قَيْسٍ، مَا أَعْتِبُ عَلَيْهِ فِي خُلُقٍ وَلاَ دِينٍ، وَلَكِنِّي أَكْرَهُ الكُفْرَ فِي الإِسْلاَمِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَتَرُدِّينَ عَلَيْهِ حَدِيقَتَهُ؟» قَالَتْ: نَعَمْ. قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «اقْبَلِ الحَدِيقَةَ وَطَلِّقْهَا تَطْلِيقَةً».
Maksudnya : Isteri Thabit bin Qais datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku tidak menyalahkan Thabit bin Qais atas kekurangannya pada akhlak dan agamanya, tetapi aku tidak menyukai kekufuran dalam Islam (kehidupan tidak mengikut ajaran Islam).” Rasulullah SAW bersabda: “Adakah engkau sanggup memulangkan semula kebunnya kepadanya?” Beliau menjawab: “Ya.” Rasulullah SAW bersabda (kepada Thabit): “Terimalah kebun itu dan talaklah dia dengan talak satu.”
Riwayat Bukhari(5273)
Telah dinyatakan dalam al-Hawi al-Kabir bahawa: Adapun kebenciannya pada suami , ia boleh disebabkan oleh buruknya akhlak suaminya, kelakuan buruknya, kekurangan dalam agamanya, atau penampilannya yang tidak disenangi. Oleh itu, jika dia membenci suaminya atas salah satu alasan ini, dia boleh menebus dirinya dengan tebus talak.
Manakala dari segi kelemahan suami ia boleh disebabkan oleh kelemahan suaminya dalam memberi nafkah batin atau harta. Jika dia tidak mampu memberi nafkah batin dengan baik, dia boleh memohon penceraian dengan cara khulu’ (tebus talak) disebabkan kelemahan tersebut. (Lihat al-Hawi al-Kabir,10/5)
Ibnu Qudamah dalam isu ini menyatakan bahawa: Jika seorang wanita membenci suaminya karena akhlaknya, atau rupanya, atau agamanya, atau usianya, atau kelemahannya, atau sebab-sebab lain, dan dia khuatir tidak dapat memenuhi hak Allah dalam mentaati kepada suaminya, maka dia dibenarkan untuk melakukan khulu’ (tebus talak) dengan memberikan pampasan yang dapat menebus dirinya daripada suaminya (Lihat al-Mughni, 7/323)
Justeru kami katakan bahawa seorang isteri boleh memohon cerai daripada suaminya dengan cara tebus talak iaitu membayar pampasan kepada suaminya sekiranya terdapat sebab-sebab yang dibenarkan sepertimana yang telah dinyatakan di atas. Namun, penting untuk diingat bahawa meminta cerai tanpa adanya sebab-sebab yang diharuskan adalah tidak dibenarkan dalam undang-undang agama Islam.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahu a’lam