Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah kewajipan berlaku adil terhadap isteri-isteri wajib ke atas nabi ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ
Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain) dua, tiga atau empat.”
(Surah al-Nisa’: 3)
Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)
Walaupun dibenarkan kepada mereka untuk berkahwin lebih daripada satu, tetapi mereka dikenakan syarat, antaranya ialah berlaku adil. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً
Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja,”
(Surah al-Nisa’:2)
Bahkan ketika itu, haram baginya berkahwin lebih daripada satu. Adapun maksud adil di sini, iaitu pembahagian dari sudut kesamaan di antara isteri-isterinya pada nafkah, pakaian, tempat tinggal, perhiasan serta beberapa kemudahan yang lain yang mesti dalam kemampuan suaminya. Adapun adil dari segi cinta dan kasih sayang, ia bukanlah taklif dan tidak dituntut kerana manusia tidak mampu melaksanakannya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَن تَسْتَطِيعُوا أَن تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisa’:129)
Ibn Kathir menyatakan di dalam tafsirnya: Sesiapa yang takut untuk berlaku adil, maka cukuplah baginya seorang isteri sahaja. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/185)
Ibn Arabi al-Maliki menyatakan di dalam Ahkam al-Quran: Sekiranya seorang lelaki mampu dari sudut hartanya dan keinginannya untuk berkahwin, maka lakukanlah. Tetapi sekiranya dia tidak pasti dan tidak mampu mengenai kemampuan hartanya dan kemampuannya untuk menanggung untuk berkahwin lebih, maka cukuplah dengan seorang isteri sahaja. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/409)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa seorang lelaki yang memilih untuk berkahwin lebih daripada satu hendaklah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara’ antaranya ialah berlaku adil terhadap isteri-isteri baik dari segi nafkah mahupun yang lain. Terdapat amaran bagi sesiapa yang tidak berlaku adil terhadap isteri-isteri sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada daripada Abi Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ كَانَتْ لَهُ امْرَأَتَانِ فَمَالَ إِلَى إِحْدَاهُمَا جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَشِقُّهُ مَائِلٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai dua orang isteri dan cenderung kepada seorang daripadanya (tidak berlaku adil), pada hari Kiamat, dia datang dalam keadaan yang senget.”
Riwayat Abu Daud (2133), al-Tirmizi (1141), al-Nasa’ie (3942), Ibn Majah (1969) dan Ahmad (7936). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.
Namun dalam isu kewajipan berlaku adil kepada isteri-isteri bagi nabi adalah perkara yang diperselisihi di kalangan ulama. Pendapat yang tepat dan sahih adalah tidak diwajibkan baginya berlaku adil terhadap isteri-isterinya. Namun Rasulullah SAW dengan kemuliaan dan kesempurnaan akhlaknya, Baginda tetap berlaku adil kepada mereka dalam pemberian nafkah
Hal ini telah dinyatakan dalam Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram bahawa: Ulama telah berselisih pandangan mengenai kewajipan ke atas Rasulullah SAW dalam pembahagian terhadap isteri-isteri Baginda. Pandangan yang tepat adalah tidak diwajibkan baginya. Mereka berdalilkan firman Allah SWT:
تُرْجِي مَن تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَن تَشَاءُ ۖ وَمَنِ ابْتَغَيْتَ مِمَّنْ عَزَلْتَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكَ
Maksudnya: Engkau boleh menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka dan engkau boleh mendamping: sesiapa yang engkau kehendaki; dan sesiapa yang engkau hendak mendampinginya kembali dari mereka yang telah engkau jauhi itu maka tidaklah menjadi salah bagimu melakukannya
(Surah al-Ahzab:51)
Namun, walaupun dengan kebebasan yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya, Nabi Muhammad SAW selalu berlaku adil di antara mereka dalam pembahagian nafkah, sesuai dengan kemampuan yang diberikan oleh Allah kepadanya. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/461)
Dalam Syamail al-Rasul, dinyatakan bahawa: Allah SWT tidak mensyaratkan Nabi-Nya SAW untuk membahagikan nafkah secara adil di antara isteri-isterinya. Sebaliknya, pembahagian nafkah ini adalah tanggungjawab yang diberikan kepada beliau. (Lihat Syamail al-Rasul SAW,1/312)
Justeru kami katakan di sini, Allah tidak mentaklifkan kepada Rasulullah SAW untuk berlaku adil terhadap isteri-isteri Baginda dalam pembahagian nafkah. Ini adalah satu keistimewaan dan khususiyyah yang diberikan oleh Allah SWT kepada Baginda. Walaupun tidak diwajibkan, Rasulullah SAW tetap memberikan contoh teladan yang terbaik dengan berlaku adil terhadap isteri-isterinya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahu a’lam