#4094: Makruhkah Solat Tanpa Menutup Kepala

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah makruh seseorang lelaki yang solat tanpa menutup kepalanya dengan memakai kopiah, songkok, serban atau seumpamanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, menurut Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah, tiada satupun hadith yang sahih lagi thabit yang boleh dijadikan sebagai sandaran berkenaan anjuran (sunat) menutup kepala bagi lelaki ketika solat mahupun keluar dari rumah. Namun di sebahagian negara dan sesetengah masyarakat, menutup kepala ketika solat merupakan satu adat kebiasaan yang dianggap baik dan dianjurkan, maka ia turut dianggap sebagai perkara yang dianjurkan menurut syarak berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.

(Surah al-A‘raf: 31)

Justeru, hukum dalam permasalahan ini kembali kepada perbezaan adat masyarakat dan cara pemakaian mereka. Jika penduduk atau masyarakat di sesebuah tempat itu menganggap menutup kepala merupakan satu bentuk perhiasan, maka ia menjadi perkara yang dianjurkan (sunat) untuk dilakukan. Sekiranya tidak, maka hukumnya kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu diharuskan. Tidak terdapat padanya sunnah yang khusus daripada Nabi SAW, di mana orang yang melakukannya diberi pahala. Adapun Nabi SAW memakai serban dan membawa bersamanya tongkat kerana hal itu adalah adat kebiasaan masyarakat Arab pada zaman tersebut dan bukannya suatu perbuatan yang disyariatkan yang menunjukkan kepada suatu anjuran (sunat) untuk melakukannya ataupun agar orang ramai mengikutinya (yakni mencontohinya).

Selain itu, turut dinukilkan daripada al-Syatibi dalam kitabnya al-Muwafaqat (2/489) bahawa menutup kepala berbeza dari satu tempat dengan tempat yang lain. Di sesetengah negara, tidak menutup kepala merupakan satu perkara yang mencacatkan maruah dan air muka serta menjejaskan kredibilitinya sebagai Muslim yang soleh, sedangkan di sebahagian negara lain, ia tidak dianggap demikian.

Hal ini juga adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah ketika mana mereka ditanya berkenaan adakah disunatkan untuk menutup kepala (bagi lelaki) ketika solat atau ketika keluar dari rumah.[1]

Keduanya, tidak dapat dinafikan, sebahagian ulama berpendapat, dianjurkan atau disunatkan bagi lelaki untuk menutup kepalanya dengan serban atau apa-apa pada maknanya. Perkara tersebut (yakni disunatkan untuk menutup kepala) lebih ditekankan bagi imam kerana dalam keadaan begitulah Nabi SAW mendirikan solat. Imam al-Nawawi menyebutkan, dianjurkan (sunat) bagi lelaki untuk mendirikan solat dengan memakai pakaian terbaik yang ada dan memakai serban. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/288).

Begitu juga al-‘Allamah al-Buhuti turut menyatakan, disunatkan bagi lelaki dan bagi imam pula adalah lebih ditekankan kerana dia menjadi ikutan dan berada di hadapan para makmum serta solat mereka bergantung dengan solat imam tersebut, untuk mendirikan solat dengan memakai dua helai kain (yakni atas dan bawah). Bahkan sebahagian mereka menyebutkannya secara ijma‘. Ibn Tamim dan selainnya menambah, dengan menutup kepalanya dengan memakai serban atau apa-apa yang pada maknanya. Hal ini kerana dalam keadaan begitulah Nabi SAW mendirikan solat. Al-Majd juga menyebutkannya dalam syarahnya. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 1/266).

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, benar di sana terdapat sebahagian ulama berpendapat, makruh bagi lelaki solat tanpa menutup kepalanya. Ini adalah sebagaimana pendapat ulama Hanafiyyah bahawa makruh solat seseorang dengan kepala yang terdedah (tidak tertutup) kerana malas. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh al-‘Allamah al-Haskafi dalam al-Durr al-Mukhtar (1/429) ketika menyebutkan perkara-perkara makruh dalam solat iaitu solat seseorang dalam keadaan terdedah kepalanya kerana malas dan tidak mengapa dengannya (yakni dalam keadaan terdedah kepala) kerana merendah diri.

Begitu juga dinyatakan dalam Hasyiah I‘anah al-Talibin (1/226) daripada kitab al-Syafi‘iyyah bahawa makruh mendedahkan kepala (ketika solat bagi lelaki) kerana sunnahnya adalah untuk berhias dalam solatnya dengan menutup kepalanya dan badannya.

Kesimpulannya

Oleh itu, pada asalnya sah solat seorang lelaki yang tidak menutup kepalanya sebagaimana yang disebut oleh para ulama seperti Imam al-Nawawi. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/51).

Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak makruh bagi lelaki sekiranya dia solat tanpa menutup kepalanya dengan kopiah, songkok atau seumpamanya kerana ia tidak termasuk dalam rukun-rukun solat, bahkan sah solat mereka sekalipun dalam keadaan begitu (yakni tanpa menutup kepala). Sebaliknya dianjurkan bagi seseorang lelaki untuk menutup kepala mereka ketika solat kerana ia termasuk dalam adab-adab yang baik dan perbuatan berhias yang diperintahkan ketika solat sebagaimana keumuman ayat 31 dalam surah al-A‘raf seperti yang kami telah sebutkan di atas.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Nota kaki:

[1] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2879#.XJG9TygzZPY. Diakses pada 8 November 2023.