#4095:  Baru Masuk Islam Tetapi Tidak Sempat Belajar al-Fatihah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah keadaan bagi  sesiapa yang baru masuk Islam, tetapi tidak sempat belajar al-Fatihah –

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Abi Aufa R.A, katanya:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ: إِنِّي لاَ أَسْتَطِيع أنْ آخُذَ مِنَ القُرْآنِ شَيئًا، فَعَلِّمْنِي مَا يُجْزِئنُي مِنْهُ، فَقَالَ: قُلْ: سُبْحانَ اللهِ، وَالحَمْدُ لله، وَلاَ إله إلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكبَرُ، وَلا حَوْلَ وَلاَ قُوَّة إِلاَّ بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْمِ

Maksudnya: Seseorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Aku tidak mampu menghafal sebarang ayat daripada al-Quran. Ajarkanlah aku apa yang mencukupi untuk aku.” Nabi SAW menjawab: “Katakanlah: Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah, Allahu Akbar, serta La hawla wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azim.”

Riwayat Ahmad (4/353), Abu Dawud (832), al-Nasaie (924), Ibn Hibban (1808) al-Daraqutni (1/313) dan al-Hakim (1/241). Syeikh Syu’aib al-Arnaut dalam Takhrij Sunan Abi Dawud (832) menyatakan bahawa hadith ini hasan berdasarkan semua jalurnya.

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata:  “Faedah yang diambil daripada hadith ini adalah membaca surah al-Fatihah dalam setiap rakaat adalah suatu rukun, dan solat tidak sah tanpa membacanya. Namun, prinsip syariah adalah bahawa kewajipan boleh dikecualikan jika seseorang tidak mampu untuk melakukannya, dan boleh diganti dengan tindakan lain atau tanpa gantian, sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu;…”

(Surah al-Taghabun: 16)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Dan jika aku memerintahkan kamu dengan sesuatu, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.”

Riwayat al-Bukhari (7288)

Hadith ini juga menunjukkan bahawa seseorang yang tidak mampu membaca Surah al-Fatihah dengan baik atau sebahagian daripadanya boleh menggantikannya dengan bacaan yang disebut dalam hadith, untuk memudahkan ibadah mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/203)

Dalam Kassyaf al-Qina’, jika seseorang tidak mampu untuk mempelajari surah al-Fatihah atau masa yang terhad menghalangnya untuk melakukannya, maka dia boleh membaca ayat-ayat lain daripada al-Quran, seperti mengulangi satu ayat dari Surah Al-Fatihah, atau ayat-ayat lain, jika dia boleh melakukannya. Jika seseorang tidak mampu membaca apa-apa daripada al-Quran, dia boleh mengucapkan “ سُبْحانَ اللهِ، وَالحَمْدُ لله، وَلاَ إله إلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكبَرُ، وَلا حَوْلَ وَلاَ قُوَّة إِلاَّ بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْمِ” seperti yang dinyatakan dalam hadith Abdullah bin Abi Aufa. (Lihat Kassyaf al-Qina’, 1/340-341)

Kalimah-kalimah zikir ini mengandungi pernyataan kesucian Allah daripada kekurangan dan kelemahan, serta pengakuan sifat-sifat sempurna dan pujian yang mutlak kepada-Nya. Ia juga menolak syirik kepada Allah dalam zat, sifat, perbuatan, uluhiyyah, rububiyah, dan kebesaran-Nya. Selain itu, ia menegaskan keagungan, kemuliaan, dan kebesaran Allah, serta menolak kekuatan dan daya dalam seorang hamba, yang semuanya dikaitkan sepenuhnya dengan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/204)

Apabila seorang bukan Muslim sudah memasuki agama Islam, wajib ke atasnya mempelajari tatacara solat dan menunaikannya sekadar kemampuannya sebagai seorang yang baru mempelajari Islam. Pada asalnya, dua bacaan yang wajib dibaca dalam solat adalah Surah al-Fatihah, tasyahhud dan selawat ke atas Nabi SAW. Manakala bacaan-bacaan lain adalah sunat. Bagi mualaf, kami melihat ada beberapa aturan utama yang boleh diikuti jika belum menghafal Surah al-Fatihah:

  1. Jika sudah boleh membaca tetapi tidak menghafalnya, dibolehkan memegang lampiran kertas yang ada Surah al-Fatihah. Atau disimpan bacaannya dalam telefon pintar, tab dan sebagainya yang mudah dipegang ketika solat.
  2. Jika sudah boleh membacanya tetapi tidak menghafal sepenuhnya, diwajibkan membaca Surah al-Fatihah sekadar kemampuan dan hafalannya dan diulang-ulang.
  3. Jika tidak boleh membaca dan tidak menghafalnya tetapi mampu mengikut bacaan, dicadangkan untuk mualaf terbabit dibantu oleh seorang fasilitator yang boleh membaca Surah al-Fatihah dengan baik. Contohnya, fasilitator berkenaan boleh bersolat dengan menjadi imam / bersolat di sebelah / tidak bersolat dengan menguatkan bacaannya supaya diulangi oleh mualaf. Selain itu, mualaf berkenaan boleh juga menggunakan alat perakam suara atau telefon pintar yang disertakan earphone supaya tidak mengganggu jemaah lain.
  4. Jika tidak mampu membaca, menghafal Surah al-Fatihah dan mengikut bacaan fasilitator ataupun tiada fasilitator yang dapat membantu, dibolehkan membaca 7 ayat daripada mana-mana surah dalam al-Qur’an ataupun diulang-ulang ayat al-Qur’an yang sama. Boleh juga digabungkan bacaan sebahagian Surah al-Fatihah dan sebahagian surah-surah lain yang dihafal.
  5. Jika tidak tahu membaca dan tidak menghafalnya, berzikirlah dengan apa-apa sahaja zikir yang telah dihafal. Misalnya (سبحان الله والحمد لله ، ولا إله إلا الله ، والله أكبر ، ولا حول ولا قوة إلا بالله)
  6. Jika tidak tahu membaca, tidak menghafalnya dan tidak tahu apa-apa zikir yang boleh dibaca, maka dia hanya perlu menuruti sahaja imam tanpa perlu membaca apa-apa. Walaubagaimanapun, tetap wajib baginya untuk belajar sehingga mampu membaca dan menghafalnya dengan fasih.

Untuk perbahasan lanjut, boleh rujuk al-Taqrirat al-Sadidah (hlm. 217); al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i (1/255-256); Nihayah al-Muhtaj (1/484-485); Mughni al-Muhtaj (1/357-358); al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (3/374).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa sekiranya orang yang baru memasuki Islam itu benar-benar tidak boleh membaca al-Quran pada permulaannnya, maka dia mestilah membaca zikir ‘ سُبْحانَ اللهِ، وَالحَمْدُ لله، وَلاَ إله إلاَّ اللهُ، وَاللهُ أَكبَرُ، وَلا حَوْلَ وَلاَ قُوَّة إِلاَّ بِاللهِ العَلِيِّ العَظِيْمِ’ sebagai gantian kepada surah al-Fatihah sebagaimana yang disebut dalam hadith Abdullah bin Abi Aufa di atas.

Selain itu, Allah SWT sentiasa memandang usaha dan kesungguhan mereka yang baru memeluk Islam untuk mempelajari al-Quran dengan baik. Kesalahan dan ketidakfasihan pada peringkat awal pembelajaran, usahlah dijadikan penghalang untuk berusaha. Itu perkara biasa.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)