#4097: Pelaksanaan Hudud di Masjid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sudah lama persoalan ini bermain di dalam fikiran saya, adakah Islam membenarkan pelaksanaan hukuman hudud di masjid-masjid?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Umumnya, hudud disyari‘atkan sebagai kaffarah yang menyucikan seseorang itu dari dosa maksiat yang telah dilakukannya di dunia ini.

Ini jelas berdasarkan hadith riwayat ‘Ubadah bin al-Samit R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika perjanjian ‘Aqabah:

بَايِعُونِي عَلَى أَنْ لاَ تُشْرِكُوا بِاللهِ شَيْئًا، وَلاَ تَسْرِقُوا، وَلاَ تَـزْنُوا، وَلاَ تَـقْتُلُوا أَوْلاَدَكُمْ، وَلاَ تَأْتُوا بِبُهْتَانٍ تَـفْتَـرُونَهُ بَيْنَ أَيْدِيكُمْ وَأَرْجُلِكُمْ، وَلاَ تَـعْصَوْا فِي مَعْرُوفٍ، فَمَنْ وَفَى مِنْكُمْ فَأَجْرُهُ عَلَى اللهِ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا فَـعُوقِبَ فِي الدُّنْـيَا فَـهُوَ كَفَّارَةٌ لَهُ، وَمَنْ أَصَابَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا ثُمَّ سَتَـرَهُ اللهُ فَـهُوَ إِلَى اللهِ، إِنْ شَاءَ عَفَا عَنْهُ وَإِنْ شَاءَ عَاقَـبَهُ

Maksudnya: “Berbai‘ahlah kamu kepadaku bahawa sesungguhnya kamu tidak akan menyekutukan sesuatu dengan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anakmu, tidak akan mengada-adakan sesuatu secara dusta dengan penuh kesedaran antara tangan dan kaki kamu, dan tidak akan menderhaka dalam perkara ma‘ruf. Sesiapa di antara kamu menyempurnakan janji itu maka pahalanya dijamin Allah, dan sesiapa yang melanggar sesuatu daripada apa yang dijanjikannya itu, lalu Allah menghukumnya di dunia, maka itu adalah kaffarah baginya, dan sesiapa yang melanggar mana-mana janji tersebut kemudian Allah menyembunyikannya (tidak menghukumnya di dunia), maka urusannya kembali kepada Allah, sama ada Allah akan memaafkannya atau akan menyeksanya.”

Riwayat al-Bukhari (18), Muslim (1709), al-Tirmizi (1439), al-Nasa’ie (4178) dan Ahmad (22730)

Berbalik kepada persoalan yang saudara timbulkan, majoriti fuqaha’ berbeza pendapat bahawa hukuman hudud tidak dibenarkan untuk dilaksanakan di masjid. Ini kerana dikhuatiri masjid akan dicemari oleh najis yang keluar dari mereka yang dijatuhkan hukuman hudud, dan perkara ini tidak sesuai untuk masjid.

Antara hujjah yang menguatkan pandangan ini, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُقَامُ الْحُدُودُ فِي الْمَسَاجِدِ وَلَا يُسْتَقَادُ فِيهَا

Maksudnya: “Hukuman hudud tidak boleh didirikan di masjid-masjid, dan tidak boleh melakukan qisas (bunuh) padanya.”

Riwayat al-Tirmizi (1401) dan Ibn Majah (2599)

Berdasarkan hadith di atas, Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, masjid-masjid dipelihara dari bunyi bising dan gangguan, ditinggikan suara, dicemari najis. Adapun menjatuhkan hukuman hudud di dalamnya menyebabkan perkara-perkara yang disebutkan ini atau sebahagiannya berlaku. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/305)

Imam al-Muzani menukilkan kalam Imam al-Syafi‘i, katanya: “Hukuman hudud tidak boleh didirikan di masjid-masjid.” (Lihat Mukhtasar al-Muzani, hlm. 374)

Bahkan ini jugalah pendapat mu‘tamad mazhab sepertimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi dan Imam Abu Bakar al-Dimyati, kerana masjid akan dicemari dari luka-luka yang berlaku dari hukuman hudud. Imam al-Nawawi berkata: “Hukuman hudud dan ta‘zir tidak boleh didirikan di masjid. Jika dijalankan juga hukuman hudud di masjid, maka hukumnya sama seperti solat di kawasan yang dicuri.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/484)

Manakala Imam Abu Bakar al-Dimyati pula berkata bahawa hukuman hudud tidak boleh didirikan di masjid, berdasarkan hadith Hakim bin Hizam R.A di atas, dan berkemungkinan masjid akan dikotori dengan kesan luka yang terhasil dari hukuman hudud. (Lihat I‘anah al-Talibin, 4/178)

Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi al-Hanbali pula mengatakan, masjid tidak terselamat dari dicemari orang yang dijatuhkan ke atasnya hukuman hudud (kerana mungkin terpercik darah). (Lihat al-Syarh al-Kabir, 10/127)

Imam al-Sarakhsi mengatakan, hukuman hudud, qisas dan ta‘zir tidak boleh didirikan di masjid kerana diragui tercemarnya masjid. Dan kerana orang yang disebat itu mungkin akan mengangkat suaranya. (Lihat al-Mabsut, 9/102)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ini, kami katakan bahawa pelaksanaan hukuman hudud tidak sesuai dijalankan di masjid-masjid kerana ianya boleh mencemarkan kesucian masjid. Sedangkan umat Islam dituntut untuk memastikan kesucian tempat mereka mendirikan solat.

Beginilah serba ringkas perbahasan pelaksanaan hukuman hudud di masjid yang telah sekian lama dibincangkan oleh para fuqaha’ silam. Semoga ianya memberikan manfaat kepada kita semua. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a‘lam