#4102: Wanita dalam Haid Memeluk Agama Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah wanita yang asalnya tidak beragama Islam, kemudian berkeinginan untuk memeluk agama Islam, masuk Islam dalam keadaan dirinya sedang haid? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya.”

(Surah al-Baqarah: 208)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, ini merupakan perintah Allah kepada orang yang beriman untuk masuk ke dalam agama Islam keseluruhannya. Dalam erti kata lain, dalam seluruh syariat-syariat agama dan mereka tidak meninggalkan sesuatu pun daripadanya, serta mereka tidak seperti orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Apabila hawa nafsunya itu seiring dengan perkara yang disyariatkan, maka dia kerjakan, namun apabila ia bertentangan dengannya, maka dia tinggalkan. Sepatutnya, apa yang wajib adalah dia menundukkan hawa nafsunya bagi mengikut agama. Dia melakukan segala perbuatan baik semampunya. Manakala apa yang dia tidak mampu lakukan, maka dia berusaha dan berniat melakukannya serta menjangkaunya dengan niatnya itu. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/94).

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa masuk Islam dalam keadaan haid bagi seorang perempuan hukumnya adalah dibolehkan dan tidak mengapa. Bahkan tidak ada larangan bagi perempuan dalam keadaan haid untuk masuk Islam dan mengucapkan dua kalimah syahadah. Begitu juga syahadah yang diucapkannya itu adalah sah dan dia tidak perlu lagi mengulanginya ketika sudah suci daripada haid.

Begitulah juga dibolehkan bagi orang yang sedang dalam keadaan berjunub untuk memeluk agama Islam. Hal ini kerana ramai sahabat yang masuk Islam sedangkan kebanyakan mereka dalam keadaan berjunub kerana pernah bersetubuh dengan isteri mereka atau perkara-perkara seumpamanya sebelum itu (yakni sebelum memeluk agama Islam), tetapi Rasulullah SAW tidak memerintahkan mereka untuk mandi wajib (bagi hal tersebut). Di antaranya Abu Bakar datang menemui Nabi SAW dengan membawa bapanya. Lalu beliau memeluk agama Islam di tangan Nabi SAW dan Baginda tidak memerintahkannya untuk mandi. Bahkan di sana terdapat banyak lagi contoh-contoh lain yang sabit bahawasanya ramai orang kafir yang memeluk agama Islam tetapi tidak diperintahkan untuk mandi. (Lihat Syarh Matn Abi Syuja‘, 20/5).

Oleh itu, ini menunjukkan bahawa memeluk Islam dalam keadaan hadas besar, berjunub atau haid adalah dibolehkan dan pengislamannya itu diterima.

Walau bagaimanapun, seorang perempuan yang memeluk agama Islam dalam keadaan haid, setelah haidnya berhenti, dia hendaklah mandi wajib bagi mengangkat hadas besarnya yang ditanggung itu. Ini kerana darah haidnya sudah berhenti dalam keadaan dia sudah menjadi wanita Muslimah, maka hukum-hakam syarak telah terpakai ke atas dirinya.

Ini adalah sebagaimana oleh al-Mardawi bahawa sekiranya seorang wanita yang dalam keadaan haid, atau nifas sebelum berhenti darahnya memeluk agama Islam. Jika kita berpendapat bahawa wajib mandi bagi orang yang masuk Islam secara mutlak, maka wajib mandi bagi wanita haid tersebut jika sudah suci dalam keadaan sudah Islam, maka kewajipan dua mandi wajib itu berlaku secara bersamaan.

Namun, sekiranya kita berpendapat, tidak diwajibkan ke atasnya untuk mandi (kerana memeluk agama Islam), maka ketika berhentinya darah, terdapat dua pendapat mengenai kewajipan untuk mandi ke atasnya. Jika kita berpendapat, wajib mandi dengan sebab keluarnya darah, maka tidak wajib mandi ke atasnya (ketika berhentinya darah tersebut). Hal ini kerana keluarnya darah itu berlaku ketika dia masih lagi dalam kekufuran (belum masuk Islam), maka kewajipan untuk mandi itu sudah pun tergugur daripadanya kerana (dengan masuk) Islam telah menghapuskan kesalahan atau kesilapannya yang dilakukan sebelumnya (yakni sebelum masuk Islam). Dalam erti kata lain, tidak ada mandi (yang khusus) bagi sesiapa yang memeluk agama Islam. Oleh itu, dia hanya perlu mandi bagi membersihkan dirinya dan bukannya kerana ibadah, sehinggakan jika dia melakukan mandi itu tanpa niat sekalipun ia adalah sah.

Namun, jika kita berpendapat, wajib mandi dengan sebab berhentinya darah, maka wajib ke atasnya untuk mandi kerana sebab yang mewajibkan mandi itu wujud semasa dia dalam keadaan sudah Islam, maka dia sudah menjadi seolah-olah seperti seorang Muslimah secara hakikinya. (Lihat al-Insaf, 1/240).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa seorang wanita yang sedang haid dibolehkan untuk memeluk agama Islam tanpa perlu menunggu darah haidnya berhenti terlebih dahulu, dan pengislamannya dalam keadaan tersebut adalah sah dan tidak perlu diulangi semula ketika dia dalam keadaan suci. Apatah lagi, kita tidak boleh menangguh-nangguhkan keinginan seseorang untuk memeluk agama Islam mahupun menyusahkan mereka kerana dikhuatiri dan dibimbangi hal itu akan menyebabkan mereka berubah fikiran. Sebaliknya kita mudahkan dan mendorong mereka untuk segera menuju kepada kebaikan yang sebenar dengan meninggalkan kekufuran dan kembali kepada fitrah iaitu agama Islam.

Walau bagaimanapun, apabila darah haid mereka sudah berhenti, kami berpendapat bahawa mereka diwajibkan untuk mandi bagi mengangkat hadas besarnya yang ditanggung itu. Ini kerana darah haidnya sudah berhenti dalam keadaan dia sudah menjadi wanita Muslimah, maka hukum-hakam syarak telah terpakai ke atas dirinya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.” 22

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)