#4103: Jawab Salam Ketika Mendengar Khutbah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum menjawab salam ketika mendengar khutbah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, pada asalnya, hukum memberi salam adalah sunat muakkad — yang sangat dituntut. Manakala hukum menjawabnya pula adalah wajib.

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi perkara ini sebagaimana yang disebutkan dalam kitabnya bahawa hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkad. Manakala hukum menjawab salam pula adalah fardhu atau wajib secara ijma‘ (sepakat para ulama). Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain, maka orang yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai fardhu ain. Jika diberi salam kepada sekelompok manusia, maka hukum menjawabnya pula menjadi fardhu kifayah. Jika salah seorang menjawabnya, maka sudah cukup dan gugur kewajipan menjawabnya bagi mereka yang lain, dan jika semua orang menjawabnya, maka semuanya dikira sebagai menunaikan perkara yang fardhu, sama ada mereka menjawabnya secara serentak ataupun tidak. Jika tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang menjawabnya, maka mereka semua dikira berdosa. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/593-594).

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #202 Memberi Salam.[1]

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, dinyatakan dalam Asna al-Matalib bahawa tidak dianjurkan (sunat) untuk memberi salam kepada sesiapa yang berada di dalam bilik mandi. Menurut al-Rafi‘i, ini kerana bilik mandi adalah tempat tinggal syaitan dan orang tersebut sedang sibuk dengan urusan mandinya. Begitu juga tidak dianjurkan untuk memberi salam kepada orang yang sedang qadha’ hajat (buang air) kerana terdapat larangan dalam hal itu dan juga kerana bercakap-cakap dengannya jauh daripada adab dan kesopanan.

Begitu juga tidak dianjurkan untuk memberi salam kepada orang yang sedang makan, terutamanya ketika dia sedang mengunyah makanan. Ini adalah sebagaimana ditegaskan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Azkar. Manakala memberi salam kepada orang yang sedang minum adalah sama hukumnya seperti orang yang sedang makan sebagaimana dinyatakan dalam al-Ta‘liqah.

Begitu juga tidak dianjurkan untuk memberi salam kepada orang yang sedang solat kerana dia sedang sibuk dengan solatnya. Begitulah juga pada apa yang semakna dengan solat seperti sujud tilawah dan syukur. Begitulah juga tidak dianjurkan untuk memberi salam kepada orang yang sedang melaungkan azan.

Kemudian, dari segi menjawab salam itu pula, tidak diwajibkan untuk menjawab salam yang tidak dianjurkan untuk memberi salam kepadanya, melainkan salam yang diucapkan kepada orang yang sedang mendengar khutbah. Ini kerana wajib ke atasnya untuk menjawab salam tersebut meskipun mengucapkan salam dalam keadaan tersebut adalah makruh. (Lihat Asna al-Matalib, 4/185).

Begitu juga Imam al-Nawawi ada menyatakan, adapun memberi salam ketika khutbah Jumaat, para ashab kami (ulama Syafi‘iyyah) berpendapat, makruh untuk memulakan salam (yakni memberi salam). Hal ini kerana mereka diperintahkan untuk dia bagi mendengar khutbah yang disampaikan. Namun, jika seseorang menyelisihi perkara tersebut (dengan tetap memberi salam), maka adakah wajib untuk menjawabnya? Padanya terdapat khilaf dalam kalangan ashab kami. Ada di antara mereka yang berpendapat, tidak wajib menjawab salam itu kerana dia telah menyelisihi perkara yang sepatutnya dilakukan. Namun, jika kita berpendapat, diam ketika mendengar khutbah adalah wajib, maka tidak wajib menjawab salam itu. Namun, jika kita berpendapat, diam itu adalah sunat, maka hanya salah seorang daripada orang yang hadir sahaja perlu menjawab salam tersebut dan tidak lebih daripada seorang untuk menjawabnya dalam apa-apa keadaan. (Lihat al-Azkar, hlm. 415).

Selain itu, Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah juga ada menyatakan, meskipun dihukumkan sebagai makruh memberi salam kepada orang yang sedang sibuk dengan azan atau iqamah atau berdoa atau membaca al-Quran atau talbiah atau sedang belajar atau sedang khutbah Jumaat, akan tetapi para fuqaha berselisih pendapat mengenai hukum menjawab salam itu kepada beberapa pendapat.

Menurut ulama Hanafiyyah, tidak wajib menjawabnya. Manakala sebahagian ulama Hanafiyyah yang lain pula berpendapat, wajib menjawabnya. Ini selari dengan kaedah mereka:

كُلُّ مَحَلٍّ لَا يُشْرَعُ فِيهِ السَّلَامُ لَا يَجِبُ رَدُّهُ

Maksudnya: “Setiap keadaan yang tidak dianjurkan untuk mengucapkan/memberi salam, maka tidak wajib menjawab salam tersebut.

Adapun ulama Syafi‘iyyah berpendapat, wajib menjawab salam tersebut. Ini sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Ramli bahawa sekiranya seseorang mengucapkan salam kepada orang yang sedang mendengar khutbah dan ketika itu khatib sedang menyampaikan khutbahnya, maka wajib ke atasnya untuk menjawab salam itu meskipun mengucapkan salam dalam keadaan tersebut adalah makruh.[2]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, tidak dapat dinafikan bahawa memberi salam kepada orang yang sedang mendengar khutbah adalah tidak dianjurkan (sunat) bahkan makruh untuk memulakannya.

Namun, bagi menjawab salam tersebut, terdapat khilaf dalam kalangan ulama. Kami berpendapat bahawa diwajibkan ke atasnya untuk tetap menjawab salam yang diucapkan kepadanya sekalipun ketika itu dia sedang mendengar khutbah yang disampaikan. Sekalipun begitu, kami katakan juga bahawa cukuplah sekadar balasan kepada salam itu (yakni menjawab salam) hanya didengari oleh dirinya sahaja agar ia tidak mengganggu fokusnya mahupun orang lain yang juga sedang sibuk mendengar khutbah. Namun, jika dia berpegang bahawa diam ketika mendengar khutbah Jumaat adalah wajib, maka tidak mengapa untuk dia tidak menjawab salam tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Nota kaki:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/202-memberi-salam/. Diakses pada 17 Februari 2022.

[2] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=3083. Diakses pada 9 November 2023.