Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah baca al-Quran ketika ruku’ dan sujud?
Jawapan:
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Ruku’ dan Sujud merupakan salah satu rukun di dalam solat. Tanpa ruku’ dan sujud, maka ia tidak dinamakan sebagai solat. Pensyariatan ruku’ dan sujud telah sabit di dalam nas syar’i, firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang).”
(Surah al-Haj: 77)
Pada asasnya, di dalam mazhab Syafie, hukum membaca zikir semasa rukuk dan sujud adalah sunat hai’ah. Hukum meninggalkan sunat hai’ah tidaklah berdosa dan tidaklah menyebabkan seseorang itu perlu menampungnya dengan sujud sahwi, seperti halnya pada meninggalkan sunat ab`adh. Justeru, solat seseorang yang meninggalkan zikir ketika rukuk dan sujud tidak membatalkan solat. Ia juga bukan perkara rukun atau fardu yang menyebabkan solat seseorang itu tidak sah jika ditinggalkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/154-155)
Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Mas’ud RA:
إِذَا رَكَعَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلْ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ وَذَلِكَ أَدْنَاهُ وَإِذَا سَجَدَ فَلْيَقُلْ سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى ثَلاَثًا وَذَلِكَ أَدْنَاهُ
Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu rukuk maka ucapkanlah tiga kali ‘سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيمِ’ dan itulah sekurang-kurang ucapannya. Jika dia sujud maka ucaplah ‘سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى’ sebanyak tiga kali dan itulah sekurang-kurang ucapannya.”
Riwayat Abu Dawud (886)
Imam al-Nawawi berkata: “Makna daripada ‘وَذَلِكَ أَدْنَاهُ’ ialah sekurang-kurang ucapan pada nisbah itu adalah kamal al-fard (perkara kesempurnaan rukun) dan ikhtiyar (perkara sunat yang utama dilaksanakan) bukan kesempurnaan rukun semata-mata.”
“Semua itu (bacaan zikir semasa rukuk, sujud, i`tidal, dan takbir perpindahan) ialah sunat dan bukan wajib sekalipun seseorang meninggalkannya maka tidak berdosa dan solatnya sahih, sama ada ditinggalkan kerana sengaja atau lupa, tetapi makruh meninggalkannya secara sengaja. Itulah mazhab kami, dan pendapat malik, Abu Hanifah dan majoriti ulama.”
“Imam Ahmad berkata: Tasbih dalam rukuk, sujud dan ucapan “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَرَبَّنَا لَكَ الْحَمْد”, bacaan antara dua sujud dan sekalian takbir adalah wajib, jika dia meninggalkan satu daripadanya secara sengaja maka batal solatnya, jika lupa maka tidak batal dan sujud sahwi untuk menggantikannya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/411-414)
Imam al-Imrani pula berkata: “Dan tidak wajib bertasbih dalam rukuk dan sujud, inilah pendapat kebanyakan ahli ilmu. Sebahagian ahli zahir berkata: “hukum bertasbih dalam kedua-duanya adalah wajib.” (Lihat al-Bayan fi al-Fiqh al-Syafie, 2/211)
Berkata al-Imrani, hujah mazhab al-Syafi’i ialah firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ارْكَعُوا وَاسْجُدُوا وَاعْبُدُوا رَبَّكُمْ وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”
(Surah al-Hajj:77)
Menurut beliau, ayat di atas tidak menyebut tasbih yang akan merosakkan solat tanpanya, dan Nabi SAW tidak menyuruh bertasbih dalam kedua-duanya.
Berlainan halnya dalam mazhab Hanbali. Di sisi mereka, membaca tasbih semasa rukuk dan sujud adalah perkara yang wajib, tetapi bukan rukun atau fardu. Menurut istilah mereka, perkara wajib dalam solat ialah perkara yang jika ditinggalkan secara sengaja akan membatalkan solat, tetapi jika ditinggalkan kerana lupa atau jahil, maka diwajibkan untuk ditampung dengan sujud sahwi. (Lihat Kassyaf al-Qina’ oleh Imam al-Buhuti, 1/390)
Berdasarkan fakta keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum bertasbih ketika rukuk dan sujud adalah sunat di sisi mazhab Syafie, dan tidak wajib, tetapi makruh jika ditinggalkan secara sengaja. Manakala dalam mazhab Hanbali, hukumnya adalah wajib, tetapi bukan rukun. Justeru, sekiranya seseorang meninggalkannya kerana sengaja maka batal solatnya, adapun jika kerana terlupa maka tidak membatalkan solat dan hendaklah sujud sahwi.
Hukum Membaca al-Quran Ketika di dalam Ruku’ dan Sujud
Berkenaan isu membaca ayat Al-Quran di dalam ruku’ dan sujud, terdapat beberapa nas yang menunjukkan kepada larangan ke atas perbuatan tersebut. Hal ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda :
أَلَا وَإِنِّي نُهِيتُ أَنْ أَقْرَأَ الْقُرْآنَ رَاكِعًا أَوْ سَاجِدًا فَأَمَّا الرُّكُوعُ فَعَظِّمُوا فِيهِ الرَّبَّ عَزَّ وَجَلَّ وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا فِي الدُّعَاءِ فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ
Maksudnya: “Ketahuilah, sesungguhnya aku dilarang untuk membaca Al-Quran dalam keadaan rukuk dan juga sujud. Adapun rukuk maka perbesarkanlah Tuhan padanya. Dan adapun sujud maka bersungguhlah kamu dalam berdoa (padanya), sehingga layak dikabulkan untukmu”
Riwayat Muslim (479)
Hadith di atas menjelaskan tentang perintah Nabi SAW untuk mengkhususkan ruku’ dan sujud dengan bacaan-bacaan doa sahaja. Manakala bacaan Al-Quran hanyalah dilakukan dalam keadaan qiyam sahaja semasa solat.
Imam al-Nawawi dalam menjelaskan keadaan-keadaan yang dimakruhkan padanya untuk dibaca Al-Quran menyebut: “Dimakruhkan untuk membaca (Al-Quran) di dalam keadaan ruku’, sujud, tasyahhud, dan keadaan-keadaan solat selainnya melainkan (dalam) keadaan qiyam (berdiri) sahaja.” (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, hlm. 117)
Para ulama membahaskan dengan panjang lebar tentang hikmah larangan membaca al-Quran di dalam sujud. Antaranya seperti yang disebutkan oleh Syeikh Syams Al-Haq Al-‘Azim Abadi bahawa Ibn Al-Malik menyatakan : “Hal ini kerana, seafdhal-afdhal rukun solat adalah al-qiyam (berdiri tegak) dan seafdhal-afdhal zikir adalah bacaan Al-Quran. Maka dijadikan yang afdhal (Al-Qiyam) untuk yang afdhal (pembacaan Al-Quran semasa qiyam). Dan baginda SAW melarang dari menjadikan pembacaannya di tempat selainnya (qiyam) supaya tidak menimbulkan waham (keraguan) bahawa ianya (bacaan Al-Quran) setaraf dengan baki-baki zikir yang lain. (Lihat ‘Aun Al-Ma’bud, 3/91)
Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Faedah daripada hadith ini ialah larangan membaca al-Quran ketika berada dalam keadaan ruku’ dan sujud, baik dalam solat fardhu mahu pun solat sunat. Larangan ini datang dari perintah Allah yang Maha Suci dan Maha Tinggi, kepada Rasulullah SAW dan apa yang dilarang kepada baginda, maka umatnya juga dilarang daripadanya. Hadith ini juga menunjukkan haramnya melakukan yang dilarang, sehingga membaca al-Quran dilarang ketika berada dalam keadaan ruku’ dan sujud. Walaupun kebanyakan ulama menganggap larangan ini sebagai makruh sahaja, tanpa menyatakan hukum haram. Mereka berpendapat bahawa konteksnya tidak memerlukan larangan yang keras. Dalam Syarh al-Iqna’ dinyatakan: Membaca al-Quran ketika ruku’ dan sujud itu makruh kerana larangan daripada Rasulullah SAW dan juga kerana ia merupakan kedudukan yang rendah dan tunduk, sedangkan al-Quran adalah perkataan yang paling mulia.
Hadith ini juga menunjukkan wajib mengagungkan Allah Yang Maha Agung ketika berada dalam keadaan ruku’, dan pengagungan tersebut dilakukan dengan lafaz yang warid, sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad (16961) dan Abu Dawud (869) daripada Uqbah bin Amir R.A, beliau berkata: Ketika turun ayat, ‘فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ’ “Maka bertasbihlah dengan nama Tuhanmu yang Maha Agung” (Surah al-Waqi’ah: 96), Rasulullah SAW bersabda, “Letakkanlah ayat ini ketika kamu dalam ruku’.”
Begitu juga wajib menyucikan Allah Yang Maha Tinggi ketika berada dalam keadaan sujud, dan penyucian tersebut dilakukan dengan kata-kata yang telah disebutkan. Imam Ahmad dan Abu Dawud meriwayatkan dari Uqbah bin Amir, ia berkata: Ketika turun ayat, ‘سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الْأَعْلَى’ “Bertasbihlah dengan menyebut nama Tuhanmu yang Maha Tinggi” (Surah al-A’la: 1), baginda bersabda, “Letakkanlah ayat ini ketika kalian dalam sujud.” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/218-219)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hukum membaca ayat-ayat al-Quran di dalam ruku’ dan sujud adalah makruh. Ini berdasarkan hujahan nas yang telah kami kemukakan di atas, di samping kami menyatakan bahawa Al-Quran adalah kalamullah yang mulia, justeru antara adabnya adalah kita tidak membacanya dalam keadaan paling rendah seseorang itu di dalam solat iaitu ketika sujud. Selain itu, terdapatnya anjuran untuk bersungguh dalam berdoa di dalam sujud, manakala bacaan Al-Quran selain dengan niat doa di dalam sujud akan menafikan anjuran dan tuntutan tersebut. Meskipun begitu, sekiranya seseorang dalam usaha bersungguh dalam berdoa semasa sujud itu membaca ayat-ayat Al-Quran yang mempunyai sifat-sifat doa dengan niat berdoa, maka hal ini adalah dibolehkan di sisi syarak.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)