#4113: Larangan Memaki Mayat dan Mencelanya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah di sana terdapatnya larangan untuk memaki mayat dan mencelanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, kita dilarang daripada memaki mayat mahupun mencelanya. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya: Nabi SAW bersabda:

لاَ تَسُبُّوا الأَمْوَاتَ، فَإِنَّهُمْ قَدْ أَفْضَوْا إِلَى مَا قَدَّمُوا

Maksudnya: “Janganlah engkau mencela orang-orang yang telah meninggal dunia kerana sesungguhnya mereka telah pun sampai kepada setakat apa yang telah mereka lakukan.

Riwayat al-Bukhari (1393)

Begitu juga Imam al-Tirmizi ada meriwayatkan daripada al-Mughirah hadith seumpamanya, di mana Nabi SAW bersabda:

لَا تَسُبُّوا الْأَمْوَاتَ فَتُؤْذُوا الْأَحْيَاءَ

Maksudnya: “Janganlah kamu mencela orang-orang yang telah meninggal dunia sehingga kamu menyakiti orang yang masih hidup.

Riwayat al-Tirmizi (1982)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, zahir hadith menunjukkan kepada larangan dan haram untuk mencela mayat secara mutlak, tidak kira mayat itu orang Islam atau kafir, orang fasik ataupun orang soleh. Akan tetapi mengikut pendapat yang sahih terdapatnya pengecualian dalam hal tersebut, di mana dibenarkan untuk menyebut keburukan orang kafir dan orang fasik bagi tujuan memberi peringatan terhadap mereka, menjauhi dari mereka, dan untuk mengingatkan agar tidak mengikuti jejak mereka atau mengikut akhlak mereka. Namun, hal itu dibenarkan dalam Islam sekiranya terdapat kepentingan syariah untuk umat Islam.

Nabi SAW melarang mencela mayat dengan alasan bahawa mereka telah pun sampai kepada setakat apa yang mereka lakukan dan mendapatkan ganjaran daripada apa yang mereka lakukan, tidak kira ia perbuatan baik atau buruk. Allahlah yang memberi balasan, jadi tidak ada faedah atau manfaat dalam mencela dan memaki mereka. Oleh itu, perbuatan memaki mayat dan mencelanya dihukumkan sebagai haram melainkan untuk kepentingan syariah atau terdapatnya dalil lain yang mengkhususkan keumuman larangan tersebut.

Sebab atau ‘illah kedua yang dinyatakan adalah supaya tidak menyakiti orang yang masih hidup dengan celaan tersebut yang terdiri dalam kalangan anak-anak di mati, kaum kerabatnya dan orang yang berada di bawah perlindungannya. ‘Illah atau sebab pertama dalam larangan mencela mayat adalah kerana mereka talah mendapatkan balasan atas apa yang mereka lakukan. Oleh itu, larangan ini bersifat umum melainkan terdapatnya kepentingan syariah dalam hal tersebut. Begitu juga jika celaan ke atas mayat itu turut memberi kesan kepada orang yang masih hidup atau menyakitinya, maka pengharaman itu dari dua sudut. Sekiranya tidak, pengharaman itu hanya dari satu sudut.

Selain daripada itu, para ulama telah bersepakat (ijma‘) berkenaan keharusan untuk mengkritik perawi-perawi yang majruh tidak kira mereka masih hidup mahupun sudah meninggal dunia dengan tujuan untuk menjelaskan keadaan mereka dan mengaitkan hukum syariah dengan keadaan mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/277-278)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)