#4114: Memohon Fasakh Disebabkan Suami Mati Pucuk

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bagaiman sekiranya seorang lelaki yang lemah batinnya sehingga tidak mampu untuk melakukan jimak, adakah perkahwinannya boleh difasakh? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Aib Pernikahan

Aib pernikahan antara suami isteri terbahagi kepada 3 bahagian:

Pertama: Aib yang khusus pada lelaki iaitu zakar terputus sehingga tidak meninggalkan apa yang memadai untuk bersetubuh , mati pucuk dan terputusnya  buah zakar.

Kedua:  Aib yang khusus pada perempuan seperti faraj yang tertutup,tersumbat dan daging yang lebih dari kemualan wanita yang menyebabkab kemaluannya menjadi sempit yang menghalang zakar.

Ketiga: Aib kedua-dua jantina lelaki dan perempuan seperti gila,kusta, sopak, air kencing atau tahi yang mengalir, penyakit buasir, dan kudis yang bernanah berbau busuk. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/336)

Begitu juga dinyatakan dalam al-Mu’tamad bahawa : Aib-aib dalam pernikahan itu ada tujuh, yakni gila, kusta, sopak, zakar tidak boleh membesar, hasyafah terpotong, faraj tersumbat dengan daging dan faraj terhalang dengan tulang (Lihat al-Mu’tamad, 4/96).

Namun, sekiranya aib yang dialami suami boleh dirawat, maka sebab yang boleh mengfasakhkan telah digugurkan (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/ 109).

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa pasangan suami isteri yang mendapati aib atau penyakit  pada pasangannya sepertimana yang telah dinyatakan di atas, maka harus baginya untuk memohon pembubaran perkahwinan kerana aib atau penyakit tersebut memberi kesan kepada tujuan asal perkahwinan dan kelansungan hidup berumahtangga.

Namun dalam isu lelaki yang lemah tenanga batinnya seperti mati pucuk,  hendaklah diberikan tempoh kepadanya selama setahun sebelum membubarkan perkahwinan. Ini bagi memastikan hal keadaanya adakah betul-betul mati pucuk ataupun tidak . Yang demikian merupakan hukuman yang dilaksanakan oleh Umar, Uthman dan Ibn Mas’ud . Begitu juga ia merupaka fatawa dari ulama mazhab Abu Hanafi, Maliki dan Syafi’e.

Hal ini boleh dilihat melalui athar sahabat yang diriwayat oleh Sai’d Bin Musayyib bahawa:

 قَضى بِهِ عمرُ رضيَ اللَّهُ تعالى عنه في العنِّينِ أن يؤجَّلَ سنةً

Maksudnya: Umar R.A telah memberikan hukum bahawa orang yang mati pucuk hendaklah ditangguhkan  tempohnya  selama setahun

Riwayat Ibn Abi Syaibah(2/4)

Telah dinyatakan dalam Mausu’ah Masail al-Jumhur fi Fiqh al-Islami bahawa: Jumhur fuqaha’ berpandangan sekiranya lelaki didakwa  mati pucuk maka hendaklah diberikan tempoh kepadanya bagi menguji dan memastikan hak keadaannya . Sekiranya apa yang didakwa itu benar maka, isterinya mempunyai pilihan untuk membubarkan perkahwinan. Yang demikian merupakan pandangan dari Umar, Uthman,  Umar, Uthman, Ibnu Mas’ud, dan Al-Mughirah bin Shu’bah, Pendapat ini juga disokong oleh Said ibn Al-Musayyib, Atha’, Amr ibn Dinar, Al-Nakha’i, Qatadah, Hammad ibn Abi Sulaiman dan Al-Mawardi. Begitu juga fatwa ini  diikuti oleh para ulama besar seperti Imam Malik, Abu Hanifah, al-Thawri, al-Awza’i, Al-Syafi’i, Ishaq, dan Abu ‘Ubaid.(Lihat Mausu’ah Masail al-Jumhur fi Fqh al-Islam, 2/591  )

Ibn Abdul Barr menyatakan bahawa: Aku tidak mendapati perbezaan pendapat di kalangan sahabat dalam perkara menunda satu tahun dari hari diangkat perkara tersebut  kepada sultan. (Lihat al-Istizkar, 6/193)

Begitu juga dinyatakan dalam al-Bayan fi Mazhab Imam al-Syafi’e bahawa: Umar, Ali, Ibn Mas’ud dan Al-Mughirah Bin Syu’bah mereka mengatakan : Ditundakan tempoh bagi lelaki yang mati pucuk selama setahun. Sekiranya dia dapat menyetubuhi isterinya tidak dibolehkan untuk dipisahkan. Jika sebaliknya, dibolehkan untuk dipisahkan. Yang demikian menunjukkan perkara tersebut adalah Ijma’ (Lihat al-Bayan fi Mazhab Imam al-Syafi’e, 9/302)

Justeru kami katakan bahawa sekiranya isteri  mendakwa suaminya telah mati pucuk dan telah memohon untuk membubarkan perkahwinan maka hakim hendaklah memberikan tempoh setahun bagi menguji dan memastikan keadaan suami. Sekiranya dalam tempoh tersebut dia melakukan persetubuhan dengan isterinya maka tidak boleh untuk dipisahkannya. Namun sebaliknya, perkahwinan tersebut boleh dipisahkan kerana mati pucuk adalah aib yang menghalang tujuan utama pernikahan.

Semoga Allah memberikan kefahaaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.” 44

Wallahua’lam