Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kadang-kadang ketika saya sedang membaca al-Quran, tiba-tiba wuduk saya terbatal. Jadi, biasanya saya tinggalkan mushaf saya di atas rehal dalam keadaan terbuka kerana selepas berwuduk saya ingin menyambung semula untuk membacanya. Soalan saya, bolehkah saya meninggalkan mushaf al-Quran dalam keadaan terbuka? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّهُ لَقُرْآنٌ كَرِيمٌ
Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan).”
(Surah al-Waqi’ah: 77)
Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: “Adapun bagi yang telah disumpahkan ke atasnya ianya mengithbatkan Al-Quran bahawa ia adalah kebenaran yang tiada keraguan padanya dan ia adalah kalam yang mulia iaitu banyak kebaikan, padat dengan ilmu. Setiap kebaikan dan ilmu ia hanya diperolehi daripada Kitabullah dan diambil dariNya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm 836)
Begitu juga terdapat riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.”
Riwayat Muslim (817), Ibn Majah (218) dan Ibn Hibban (772)
Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin, hlm. 581)
Tiada perbezaan di kalangan ulama tentang kewajipan memuliakan al-Quran. Hal ini telah disebut oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa ulama bersepakat mengenai kewajipan untuk menjaga mushaf dan memuliakannya. Apabila ada orang yang dengan sengaja membuang al-Quran di tempat kotor, ia menjadi kafir. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/85).
Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa di antara perkara yang termasuk dalam memuliakan dan menghormati al-Quran adalah dengan tidak membiarkannya dalam keadaan keadaan terbuka. Dalam erti kata lain, apabila kita sudah ingin menamatkan atau berhenti daripada membacanya, sebaik-baiknya kita hendaklah menyimpannya atau meletakkannya dalam keadaan tertutup.
Lebih-lebih lagi, membiarkan atau meletakkan al-Quran dalam keadaan terbuka boleh menyebabkan al-Quran terdedah kepada habuk-habuk dan menjadi berdebu, kotor dan seumpamanya. Sedangkan menjaga dan memelihara mushaf al-Quran daripada menjadi kotor dan benda-benda najis adalah wajib.
Tambahan pula, al-Qurtubi ada menyatakan bahawa termasuk dalam menghormati atau memelihara kehormatan al-Quran, jika hendak meletakkan mushaf jangan meninggalkannya dalam keadaan berserakan. Begitu juga jangan meletakkan di atasnya buku-buku yang lain, sehingga al-Quran selalu berada tinggi berbanding buku-buku yang lain, tidak kira ia buku yang berkaitan ilmu pengetahuan atau selainnya. Begitu juga termasuk memuliakan al-Quran, meletakkan di pangkuan ketika membacanya, atau di atas sesuatu di hadapannya dan jangan meletakkannya di atas tanah atau lantai. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/28).
Kesimpulannya
Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa meninggalkan al-Quran dalam keadaan terbuka untuk suatu tempoh yang lama, sama ada bagi menyelesaikan suatu hajat kemudian kembali untuk membacanya semula ataupun tidak kembali semula adalah tidak dibolehkan. Ini kerana hal tersebut dilihat kurang beradab dengan al-Quran, sedangkan kita diperintahkan untuk menjaga adab-adab dengan al-Quran, di samping menjaga dan memelihara kehormatannya. Begitu juga meninggalkannya dalam keadaan terbuka seolah-olah menunjukkan bahawa ia bukanlah suatu perkara yang penting atau perlu dihormati dalam hidup kita sehinggakan ia boleh diremehkan dengan sedemikian rupa. Ini kerana jika ia suatu perkara yang penting dan dihormati dalam hidup kita, pasti kita akan menjaganya dengan sebaik mungkin seperti dengan menyimpannya di tempat yang sesuai, dan tidak membiarkannya berselerakan dalam keadaan terbuka meskipun ia berada di atas rehal-rehal dan seumpamanya.
Oleh yang demikian, apabila selesai sahaja membacanya, letakkanlah atau simpankanlah semula mushaf al-Quran itu semula di tempat yang sesuai dengan kemuliaan dan keagungannya dalam keadaan mushaf itu tertutup. Inilah akhlak atau adab yang dilihat lebih dekat dengan sikap menghormati al-Quran itu sendiri.
Apatah lagi dikhuatiri dengan membiarkan dan meletakkannya dalam keadaan terbuka boleh menyebabkan al-Quran terdedah kepada habuk-habuk dan menjadi berdebu, kotor dan seumpamanya. Sedangkan menjaga dan memelihara mushaf al-Quran daripada menjadi kotor dan benda-benda najis adalah wajib.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”