#4117: Qadha’ Puasa Bagi Yang Tidak Tahu Berapa Bilangan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Abang saya sudah meninggal, dan saya tahu dia ada meninggalkan puasa ketika zaman dia tidak sihat dahulu. Tetapi saya tidak tahu berapa hari yang ditinggalkan tersebut. Bagaimana kami hendak membayar fidya bagi pihaknya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan ini, kami nyatakan bahawa puasa Ramadhan hukumnya wajib bagi mereka yang memenuhi syaratnya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

(Surah al-Baqarah: 183)

Menjawab persoalan di atas, Kami katakan bahawa hutang Allah SWT lebih awla ditunaikan. Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ، أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا؟ قَالَ: “نَعَمْ، قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى.”

Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan dia memiliki tanggungan puasa sebulan, apakah aku boleh menggantikan puasanya?” Baginda menjawab: “Ya.” Baginda bersabda lagi: “Hutang Allah lebih berhak untuk ditunaikan.”

Riwayat al-Bukhari (1953) dan Muslim (1148)

Berkenaan dengan ganti puasa kepada orang yang telah meninggal dunia dengan sebab  uzur, maka dalam mazhab al-Syafi ‘i terdapat 2 pandangan:

Pertama: Hendaklah dibayar fidayh, dan inilah yang masyhur. Iaitu bagi 1 hari yang ditinggalkan dengan secupak makanan asasi seperti beras.

Kedua: Disunatkan bagi warisnya berpuasa sebagai ganti, dan inilah yang dipilih oleh Imam al-Nawawi dan ulama’ muta’akkhirin serta ulama’ hadith, bagi setiap hari yang ditinggalkan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/25)

Hal ini berdasarkan hadith daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia dan memiliki tanggungan puasa, maka walinya yakni pengurus urusannya boleh menggantikan puasanya.”

Riwayat al-Bukhari (1952) dan Muslim (1147)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: ‘مَنْ مَاتَ’ (“Barangsiapa meninggal dunia”). Hal ini berlaku umum bagi para mukallaf (orang-orang yang dibebankan dengan Syariat) berdasarkan lafaz selepasnya yang menyebut, ‘وَعَلَيْهِ صِيَامٌ’ (“Dan dia memiliki tanggungan puasa). Manakala kalimah ‘صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ’ (“walinya berpuasa untuk menggantikannya”) adlaah kalimat berita yang membawa maksud perintah, sehingga kalimah yang seharusnya adalah, “Hendaklah walinya berpuasa untuknya.” Akan tetapi, perintah tidak bermakna wajib menurut majoriti ulama’. (Lihat Fath al-Bari, 11/291)

Berkenaan dengan taqdir jumlah bilangan yang ditinggalkan, guru kami Fadhilatul Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Syinqiti berpendapat, hendaklah kaum keluarga membuat 2 andaian dari segi jumlah si mati meninggalkan puasa:

  • Andaian yang paling banyak. Katakan 20 hari, inilah paling maksimum.
  • Andaian yang paling sedikit. Katakan 10 hari, inilah yang paling minimum.

Justeru, dalam isu ini kita lebihkan minima dan kita dekatkan kepada maksima, mungkin 15, 16 atau 18 hari untuk diqadha’ puasa tersebut atau dibayar fidyah, kerana itulah yang lebih ihtiyat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam