#4118: Tempa Kalimah Allah dan Muhammad

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya tukang besi, ada ternampak seorang kawan kongsikan di dalam group welding. Ukur kalimah “Allah Dan Muhammad” di atas kepingan besi. Diluarnya nampak jelas kalimah, tetapi pandangan dari dalam nampak terbalik. Apakah hukumnya ustaz?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menjadi kelaziman kepada umat islam, cintakan Allah SWT dan Rasul-Nya. Hal ini termasuk dalam beriman dengan rukun iman. Firman Allah SWT:

آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ

Maksudnya: “Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali.”

(Surah al-Baqarah: 285)

Berkenaan dengan tempa nama Allah dan Rasul pada sesuatu tempat, hukumnya adalah harus selama mana ia dijunjung dan dimuliakan dan bukan diperhinakan. Dengan sebab itu, kita dapati kalimah Allah dan Rasul atau Muhammad banyak terdapat di dinding atau tiang masjid, termasuk masjid Nabi SAW serta Masjidil Haram dan  masjid lain.

Bukan sekadar itu sahaja, telah thabit dalam nas yang masyhur bahawa cincin Rasulullah SAW tertera padanya 3 baris: Allah, Muhammad dan Rasul-Nya. Para sahabat serta para ulama’ ada menempa di tempat-tempat yang lain, termasuklah pada masa kini dengan arca atau barangan hadiah yang diukir atau dipahat di atas cermin, besi, tembaga, emas, logam-logam yang lain, permata, bahkan kayu.

Justeru kami katakan, jika tulisan asalnya betul, tetapi pengimbasan atau biasan yang diterbalikkan lalu menjadi tidak betul, maka ia tidak dikira. Bahkan tetap dikira betul, dan inilah pendapat kami, kerana ia berdasarkan hukum asal, iaitu tulisan pada asalnya adalah betul dan benar.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahu a‘lam