Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan misykat di dalam surah al-Nur, ayat 35?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Di dalam menerangkan tentang kebesaran Allah SWT dan keagungan-Nya, Allah SWT mendatangkan beberapa perumpamaan. Perumpamaan itu bertujuan untuk mempermudahkan lagi makna kefahaman mengikut serta boleh dicerna dengan baik oleh manusia, dan ia terkadang-kadang datang dalam bentuk mengkiaskan dengan sesuatu yang dapat dirasai sendiri oleh panca indera.
Antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ ۖ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ ۖ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Allah ialah pemberi cahaya yang menerangi langit dan bumi dengan hidayah-Nya. Perumpamaan cahaya-Nya laksana sebuah lubang dinding yang tidak tembus, yang berisi sebuah pelita di dalam sebuah kaca dan kaca itu pula bersinar laksana bintang yang bergemerlapan, yang dinyalakan dengan minyak daripada satu pohon yang diberkati; iaitu pohon zaitun yang bukan sahaja disinari cahaya tasbih pada wak semasa terbitnya matahari bahkan juga semasa terbenamnya matahari, minyaknya sahaja hampir-hampir menerangi walaupun belum disentuh api. Itulah cahaya atas cahaya. Allah menunjukkan cahaya-Nya kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya, begitu juga Allah membuat perumpamaan kepada manusia. Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”
(Surah al-Nur: 35)
Imam Ibn Kathir menyebutkan beberapa tafsiran ulama’ terhadap kalimah al-misykat (المِشْكَاةُ). Daripada Ibn ‘Abbas, Mujahid, Muhammad bin Ka‘b dan ramai lagi mengatakan tentang tafsiran firman Allah SWT: (كَمِشْكَاةٍ), ia adalah tempat letak sumbu pelita, dan inilah pandangan yang masyhur. Oleh sebab itu, Allah SWT berfirman selepasnya: (فِيهَا مِصْبَاحٌ), iaitu sumbu yang dinyalakan itu.
Dinukilkan pula daripada al-‘Aufi, daripada Ibn ‘Abbas, tafsiran beliau terhadap firman Allah SWT: (الْمِشْكَاةُ) sebagai al-kuwwah (الكُوَّةُ), iaitu lubang pada dinding yang kebiasaannya di rumah. Katanya, ini adalah perumpamaan yang Allah SWT letakkan sebagai kiasan kepada ketaatan terhadap-Nya. Kerana itulah Allah SWT menamakan ketaatan sebagai cahaya, kemudian menamakan juga ketaatan dengan pelbagai nama lain lagi.
Ibn Abi Najih pula meriwayatkan daripada Mujahid, al-kuwwah (الكُوَّةُ) berasal dari bahasa orang Habasyah. Dan ulama’ lain selain dari Mujahid pula menambah, firman Allah SWT: (الْمِشْكَاةُ) adalah al-kuwwah (الكُوَّةُ), iaitu seperti jendela yang tidak ada lubang padanya – yakni tidak tembus -.
Dalam riwayat lain daripada Mujahid, katanya bahawa al-misykat (المِشْكَاةُ) itu adalah besi-besi yang digantung padanya pelita-pelita.
Imam Ibn Kathir kemudiannya memilih pandangan yang pertama, iaitu al-misykat (المِشْكَاةُ) bermaksud bekas letak sumbu pelita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/53)
Imam al-Qurtubi pula berkata, al-misykat (المِشْكَاةُ) itu adalah bekas yang diperbuat daripada tanah liat, berbentuk seperti timba yang disejukkan di dalamnya air. Dan dikatakan juga bahawa al-misykat (المِشْكَاةُ) itu adalah batang pelita itu sendiri yang mana di dalamnya terdapat sumbu. Mujahid mengatakan, bahkan al-misykat (المِشْكَاةُ) itu adalah pelita. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 12/257)
Imam al-Baghawi juga menafsirkan al-misykat (المِشْكَاةُ) sebagai al-kuwwah (الكُوَّةُ), iaitu ibarat jendela yang tidak ada lubang padanya – yakni tidak tembus -. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 6/46)
Imam al-Syaukani pula menyatakan, al-misykat itu adalah al-kuwwah (الكُوَّةُ), pada lubang yang selain dari tingkap. Beginilah yang disebutkan oleh al-Wahidi daripada sekalian ulama’ Tafsir, dan sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Qurtubi daripada majoriti ilmuan Tafsir. Dan bagaimana al-misykat ini boleh dikhususkan kerana ia mengumpulkan yang dipancarkan oleh lampu atau selainnya. Dan asal al-misykat ini adalah bekas yang diletakkan padanya sesuatu. (Lihat Fath al-Qadir, 4/38)
Melihat kepada pelbagai bentuk tafsiran ini, kami cenderung memilih pendapat yang mengatakan bahawa al-misykat itu merujuk kepada al-kuwwah (الكُوَّةُ), iaitu lubang dinding yang tidak tembus, yang berisi dalamnya sebuah pelita, sepertimana yang disebutkan oleh Mujahid dan diriwayatkan oleh kebanyakan ahli tafsir. Allah SWT jualah yang lebih mengetahui akan segala sesuatu.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Wallahu a‘lam