#4120: Memegang al-Quran Sebelum Wuduk Disempurnakan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita memegang mushaf al-Quran sebelum wuduk disempurnakan? Ini kerana saya ada dengar boleh menyentuh mushaf dengan anggota wuduk yang sudah dibasuh sekalipun wuduk tersebut masih belum sempurna. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, dalam membincangkan perihal menyentuh al-Quran tanpa bersuci, para fuqaha bersepakat (termasuklah para imam yang empat) bahawa menyentuh al-Quran atau mushaf adalah haram melainkan dalam keadaan seseorang itu suci daripada hadas kecil atau besar. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 37/276).

Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT:

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”

(Surah al-Waqi‘ah: 79)

Imam Qurtubi menyebut dalam kitabnya bahawa para ulama berbeza pendapat dalam hal menyentuh mushaf dalam keadaan tidak berwuduk, jumhur ulama melarang daripada menyentuhnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Amr bin Hazm RA. Dan ini merupakan pandangan mazhab Ali RA, Ibn Mas‘ud, Sa‘ad bin Abu Waqqas, Sa‘id bin Zaid, ‘Ata’, al-Nakha‘i serta mazhab fuqaha’ daripada Malik dan Syafi‘i. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/226).

Malah, menyentuhnya dalam keadaan suci daripada hadas merupakan satu penghormatan kepada al-Quran dan satu perbuatan yang mulia sebagaimana yang disebut oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili yang menyebutkan, menyentuh mushaf termasuk larangan bagi orang yang berhadas kecil kerana memuliakan al-Quran adalah wajib, dan bukanlah sikap memuliakan jika menyentuh al-Quran dengan tangan yang berada dalam keadaan berhadas. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/394).

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #847 Memegang Mushaf Tanpa Wudhu’.[1]

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, apabila kita sudah menyatakan bahawa mushaf al-Quran tidak boleh disentuh melainkan dalam keadaan suci daripada hadas kecil dan besar. Maka, jika wuduk masih belum sempurna, kita tetap tidak dibenarkan untuk menyentuh mushaf al-Quran meskipun sebahagian besar anggota wuduk telah dibasuh. Ini kerana hadas kecil itu belum lagi dikira terangkat selagi mana wuduk belum disempurnakan.

Sebagai contoh, ketika berwuduk, kita sudah selesai membasuh muka, kedua tangan hingga ke siku dan menyapu kepala. Anggota wuduk yang berbaki yang belum dibasuh lagi hanyalah kedua kaki hingga ke buku lali. Maka dalam keadaan demikian kita tetap tidak boleh menyentuh mushaf al-Quran kerana hadas kecil masih lagi belum terangkat. Apabila dia sudah selesai membasuh kedua kakinya itu, barulah dia boleh menyentuh mushaf al-Quran.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa tidak dibolehkan bagi orang yang berhadas untuk menyentuh mushaf al-Quran melainkan setelah sempurna penyuciannya (daripada hadas). (Misalnya) jika dia sudah membasuh sebahagian anggota wuduknya, maka dia tetap tidak boleh menyentuh mushaf dengannya sebelum dia sudah menyempurnakan wuduknya.

Namun, tidak dapat dinafikan, di sana terdapat sebahagian ulama yang membenarkan untuk memegang atau menyentuh mushaf sekalipun wuduk belum lagi disempurnakan. Ini adalah sebagaimana salah satu pendapat dalam kalangan ulama Hanafiyyah bahawa dibolehkan untuk menyentuh mushaf dengan anggota wuduk yang sudah selesai dibasuh. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 38/6)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa seseorang yang belum lagi menyempurnakan wuduknya mahupun mandi wajibnya, tidak dibenarkan untuk menyentuh atau memegang mushaf al-Quran kerana hadasnya (tidak kira kecil atau besar) masih lagi belum dikira terangkat. Sebaliknya dia hanya dibolehkan untuk menyentuh dan memegangnya setelah sempurna membasuh semua anggota wuduknya atau selesai mandi wajibnya dengan sempurna kerana ketika itu barulah hadas kecil atau hadas besar terangkat daripadanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/847-memegang-mushaf-tanpa-wudhu/. Diakses pada 10 November 2023.