#4121: Memberi Salam Pertama Sambil Menoleh ke Kiri dalam Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah batal solat seseorang yang memberi salam pertama dalam solat dengan menoleh ke arah kiri terlebih dahulu kerana tersilap, kemudian barulah memberi salam dengan menoleh ke kanan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, pada asasnya, solat yang sah dan sempurna adalah yang memenuhi rukun-rukun serta syarat-syaratnya. Rukun adalah bahagian yang asas bagi sesuatu perkara. Contohnya dinding bagi sesebuah bilik. Oleh itu bahagian-bahagian solat adalah rukun-rukunnya. Solat tidak akan sempurna dan tidak sah kecuali dengan menyempurnakan kesemua bahagiannya mengikut cara dan susun atur yang datang daripada Rasulullah SAW sebagaimana yang diterimanya daripada Jibril A.S. Semua rukun solat dapat kita rumuskan kepada tiga belas perkara. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/141).

Memberi salam yang pertama adalah wajib berdasarkan riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مِفتاحُ الصَّلاةِ الطُّهورُ، وتحريمُها التَّكبيرُ، وتحليلُها التَّسليمُ

Maksudnya: “Kunci solat itu adalah bersuci, ihramnya pula adalah takbir dan yang menghalalkannya adalah salam.”

Riwayat Abu Daud (61); Ibn Majah (275); Ahmad (1006); al-Tirmizi (238) dan al-Albani menilainya sebagai sahih.

Imam al-Nawawi ketika mengulas hadith di atas menyimpulkan bahawa memberi salam merupakan rukun daripada rukun-rukun solat. Tidak sah solat seseorang itu melainkan dengannya, dan tidak ada yang dapat mengambil tempatnya — yakni menggantikannya. Sekurang-kurangnya hendaklah dia menyebut lafaz salam

“السَّلَامُ عَلَيْكُمْ”. Jika dia kurang satu huruf daripada huruf-hurufnya ini, maka tidak sah salamnya itu. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/475-476). Seringkas-ringkas lafaz salam adalah dengan menyebut “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ” sebanyak sekali, dan yang sebaik-baiknya pula adalah dengan menyebut “السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ” sebanyak dua kali, iaitu pada kali pertama sambil berpaling ke arah kanan dan kali kedua sambil berpaling ke arah kiri. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/141; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘I, 1/300; Mughni al-Muhtaj, 1/385; Raudhah al-Talibin, 1/267-268).

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, sekalipun memberi salam yang pertama termasuk di antara rukun-rukun solat, namun perbuatan menoleh ke kanan semasa memberi salam pertama, dan menoleh ke kiri semasa memberi salam kedua, hukumnya adalah disunatkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/141; 1/155-156).

Jika seseorang tidak menoleh ke kanan pada salam pertama dan tidak menoleh ke kiri pada salam kedua, maka hukum solatnya tetap dikira sah. Begitu juga sah jika pada salam pertama dia menoleh ke kiri, tidak kira dia melakukannya kerana lupa ataupun sengaja, tetapi dihukumkan sebagai makruh jika dia sengaja melakukannya.

Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa jika seseorang mengucapkan kedua-dua salam (dalam solat) sambil menoleh kanan atau mengucapkan kedua-dua salam itu sambil menoleh ke kiri atau mengucapkan kedua-dua salam itu sambil menghadap ke hadapan (tidak menoleh ke kanan mahupun ke kiri), maka salam itu dikira (yakni sah) tetapi dia telah meninggalkan sunnah. Al-Baghawi menyebutkan, jika dia memulakan (mengucapkan) salamnya dengan menoleh ke kiri, hukumnya adalah makruh dan ia dikira (sah).   (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/477-478).

Begitu juga Syeikh Nawawi al-Jawi juga ada menyebutkan, jika seseorang semasa mengucapkan salam pertama menoleh ke kiri dan salam kedua menoleh ke kanan atau menjadikan kedua-dua salam sambil menoleh ke kanan sahaja atau menjadikan kedua-dua salam sambil menoleh ke kiri sahaja, maka ia adalah dibolehkan tetapi makruh. Namun, jika seseorang hanya ingin berpada dengan mengucapkan satu salam sahaja, maka dia hendaklah mengucapkannya sambil menghadap ke arah hadapan (tanpa menoleh/berpaling ke kanan atau kiri). Akan tetapi jika dia tetap mengucapkan satu salam itu sambil menoleh ke kanan atau kiri, maka hal itu menyalahi sesuatu yang dianjurkan. (Lihat Nihayah al-Zain, hlm. 73-74).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa seseorang yang mengucapkan salam pertama sambil menoleh/berpaling ke kiri, solatnya tetap dikira sah dan tidak batal. Akan tetapi ia dihukumkan sebagai makruh kerana dia telah menyalahi sesuatu yang dianjurkan (sunat). Sebaik-baiknya adalah seseorang itu mengucapkan dua kali salam iaitu pada kali pertama sambil berpaling ke arah kanan dan kali kedua sambil berpaling ke arah kiri.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)