Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Air bersih yang ditadah atau ditakung di kawasan-kawasan luar rumah bagi kegunaan bersuci seperti untuk berwuduk atau membersihkan najis, jika tidak ditutup dengan rapat terdedah kepada risiko pembiakan jentik-jentik. Jadi, biasanya air yang disimpan/ditakung itu akan dimasukkan sedikit ubat jentik-jentik yang bertindak membunuh jentik-jentik itu. Soalan saya, adakah air tersebut masih dikira sebagai air mutlak yang boleh digunakan untuk bersuci seperti berwuduk dan membersihkan najis? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami nyatakan terlebih dahulu, tidak dapat dinafikan dalam beberapa keadaan kita terpaksa menyimpan atau menadah air, tidak kira bagi kegunaan luar rumah mahupun dalam rumah. Lalu air yang disimpan atau ditakung itu pula terdedah kepada pembiakan jentik-jentik. Jadi sebahagian orang memasukkan sedikit ubat jentik-jentik seperti serbuk abate.
Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Rose Nani Mudin berkata kebanyakan orang tidak mengetahui bahkan tersalah anggap bahawa bahan pembunuh jentik-jentik adalah racun atau bahan yang boleh merosakkan fungsi air bersih. Sedangkan air yang telah dicampur serbuk abate mengikut sukatan yang ditetapkan adalah selamat untuk diminum.[1]
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, jika takungan air itu mencapai jumlah dua qullah[2] atau lebih, maka ia tidak menjejaskan kemutlakan air tersebut dengan semata-mata ia bercampur dengan bahan lain mahupun semata-mata terjatuh atau tersentuh sesuatu yang dihukumkan sebagai najis. Akan tetapi ia menjadi najis apabila berubah satu daripada sifatnya, iaitu warna, rasa atau bau dengan sebab najis itu. Ini adalah sebagaimana yang difahami dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/34).
Keduanya, jika takungan air itu kurang dari dua qullah. Pada asasnya, air yang bercampur dengan sesuatu yang suci seperti kiambang, teratai dan lain-lain adalah harus untuk digunakan dalam urusan-urusan adat dan juga ibadah. Di sana terdapat riwayat daripada Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyyah R.Anha, katanya:
دَخَلَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ تُوُفِّيَتِ ابْنَتُهُ، فَقَالَ: اغْسِلْنَهَا ثَلاَثًا، أَوْ خَمْسًا، أَوْ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ إِنْ رَأَيْتُنَّ ذَلِكَ، بِمَاءٍ وَسِدْرٍ، وَاجْعَلْنَ فِي الآخِرَةِ كَافُورًا – أَوْ شَيْئًا مِنْ كَافُورٍ – فَإِذَا فَرَغْتُنَّ فَآذِنَّنِي، فَلَمَّا فَرَغْنَا آذَنَّاهُ، فَأَعْطَانَا حِقْوَهُ، فَقَالَ: أَشْعِرْنَهَا إِيَّاهُ تَعْنِي إِزَارَهُ
Maksudnya: “Rasulullah SAW masuk menemui kami ketika kewafatan puterinya, lalu bersabda: ‘Mandikannya sebanyak tiga atau lima kali atau lebih sekiranya engkau rasakan perlu, dengan menggunakan air serta daun bidara dan pada akhirnya letakkannya kapur barus (wangian) – atau sesuatu daripadanya – (syak perawi). Apabila sudah selesai, beritahu kepadaku.’ Ketika kami sudah selesai kami memberitahu Baginda, lalu Baginda memberikan kepada kami kainnya dan bersabda: ‘Pakaikanlah kepadanya,’ iaitu kainnya.”
Riwayat al-Bukhari (1253)
Begitu juga Imam al-Nawawi dalam kitabnya ada menyebutkan, sekiranya bahan yang tercampur dalam air itu sedikit, misalnya seperti za‘faran lalu air menjadi sedikit kuning, atau sabun atau tepung sehingga air menjadi putih sedikit, dan hal itu tidak disandarkan kepada perubahannya, maka pendapat yang sahih adalah air itu tetap dianggap sebagai tahur (suci lagi menyucikan) kerana penamaannya masih tetap disebut air (mutlak). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/103).
Selain itu, Imam al-Syafi‘i menyebutkan, apabila sesuatu yang halal (suci) jatuh ke dalam air, lalu ia mengubah bau dan rasanya, namun air itu tidak menjadi rosak, maka tidak mengapa berwuduk dengannya. Misalnya, ketika kayu atau tar jatuh ke dalamnya sehingga terzahir baunya atau apa yang seumpamanya. (Lihat al-Umm, 1/20).
Tambahan lagi, turut dinyatakan dalam Qurrah al-‘Ain bi Fatawa Isma‘il al-Zain (hlm. 47) bahawa perubahan air dengan benda keruh dan benda-benda suci lain tidak dapat merosakkan kesucian air meskipun baunya berubah. Air tersebut tetap kekal sebagai air yang suci lagi menyucikan sebagaimana asalnya. Jika benda yang dicampurkan ke dalamnya dengan tujuan untuk membersihkan atau mensterilkannya (daripada kuman/mikrob) dan bukannya untuk menyucikannya, maka hal itu dibolehkan dengan syarat benda-benda yang dimasukkan atau digunakan bagi tujuan tersebut bukan najis. Justeru, air tersebut boleh digunakan untuk berwuduk mahupun digunakan untuk bersuci yang lain (seperti mandi, membersihkan najis dan lain-lain) sama ada sebelum disterilkan atau selepasnya.
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa air yang bercampur dengan sedikit ubat pembunuh jentik-jentik (dengan syarat ia bukan najis) masih lagi dikira suci, sehinggakan ia boleh digunakan untuk berwuduk, mandi, membersihkan najis dan lain-lain sekalipun ia kurang dari jumlah dua qullah. Apatah lagi, tujuan ubat itu dimasukkan bukanlah bagi mengubah kemutlakan air tersebut lalu menyandarkannya kepada air yang lain, tetapi sebaliknya ia dimasukkan bagi tujuan membunuh jentik-jentik (yang mungkin ada dalam takungan air tersebut) bagi menjaga keselamatan daripada penyakit bawaan nyamuk seperti Aedes dan seumpamanya. Selain itu, ubat jentik-jentik iaitu serbuk abate yang dimasukkan tidak menyebabkan air menjadi rosak sehinggakan dikatakan air yang telah dicampur serbuk abate mengikut sukatan yang ditetapkan adalah tetap selamat untuk diminum.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Nota kaki:
[1] Lihat https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2016/03/23/serbuk-abete-selamat. Diakses pada 13 November 2023.
[2] Sebenarnya sukatan atau kadar air yang dikemukakan oleh ulama berkenaan dengan dua qullah bersifat taqribi bukan tahdidi atau tepat. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut nilainya seperti berikut:
- Dari segi timbangan iaitu 446 3/7 kati Mesir, 81 kati Syam (1 kati Syam bersamaan 2.5 kg. justeru, 2 qullah bersamaan 195.113 kg).
- Dari segi sukatan 10 tin (ada pendapat mengatakan 15 tin atau 270 liter).
- Dari segi ukuran 1¼ hasta segi empat panjang, lebar dan dalam berdasarkan hasta sederhana. Bagi bekas bulat pula seperti telaga 2 hasta dalam dan 1 hasta lebar. Menurut pendapat ulama Hanbali, ukurannya ialah 2½ hasta dalam dan 1 hasta lebar. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, terbitan JAKIM, bhg nota kaki, terjemahan Dr. Zulkifli al-Bakri, 1/134-135).