Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kalaulah nanti misalnya badak air yang dipelihara di zoo mengalami kemalangan atau seumpamanya yang mana ia tidak mungkin lagi dapat bertahan atau hidup lama sekiranya dibiarkan mahupun dirawat, daripada membiarkan ia mati begitu sahaja, lebih baik ia disembelih sekurang-kurangnya ia memberi manfaat. Soalan saya, bolehkah dan halalkah ia untuk dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan ringkas mengenai badak air ini. Badak air ialah haiwan yang ketiga terbesar yang hidup di darat. Hanya gajah dan badak sumbu lebih besar daripadanya. Seekor badak air yang besar dan liar beratnya mungkin melebihi 2500 kilogram. Badak air hidup di tengah, selatan dan barat Afrika. la hidup berhampiran dengan air dan menghabiskan banyak masa dalam air. Perkataan hippopotamus berasal daripada dua perkataan Yunani yang bermakna kuda sungai. Bagaimanapun, hippopotamus lebih berkaitan rapat dengan babi daripada dengan kuda. Terdapat dua jenis badak air: (1) badak air sungai yang juga dinamakan badak air biasa dan (2) badak air kerdil. Badak air kerdil jauh lebih kecil daripada badak air sungai dan jarang ditemui.
Sumber gambar: Freepik
Badan badak air sungai. Badak air sungai mempunyai badan yang besar berbentuk tong; kaki yang pendek; dan kepala yang besar. Beratnya daripada 1100 hingga 1400 kilogram dan tingginya kira-kira 1.5 meter. Panjangnya dari empat hingga lima meter, tidak termasuk ekor yang panjangnya kira-kira 55 sentimeter. Setiap kaki mempunyai empat jari renang. Mata badak air sungai tersembul keluar dari kepalanya. Kedudukan telinga, mata, dan lubang hidung membolehkan haiwan ini mendengar, melihat dan bernafas walaupun sebahagian besar kepalanya tenggelam dalam air. Badak air juga boleh menutup lubang hidung dan telinganya apabila ia berenang atau menyelam dalam sungai. la mempunyai deria bau yang baik dan penglihatannya agak baik.
Badak air mempunyai kulit yang tebal berwarna kelabu keperangan. la tidak mempunyai bulu kecuali beberapa bulu kejur di kepala dan ekornya. Kelenjar khas pada kulitnya mengeluarkan bendalir yang jernih dan berminyak yang berwarna merah samar atau merah. Bendalir ini melindungi kulit haiwan ini dari menjadi terlalu kering. Bendalir yang berwarna kemerah-merahan ini menyebabkan orang tersalah sangka yang badak mengeluarkan peluh darah.
Badak mempunyai gigi depan yang panjang dan melengkung. Gigi taringnya (gigi tepi) yang seperti taring adalah lebih panjang lagi. Semua giginya tumbuh sepanjang hayat haiwan ini. Tetapi ia jarang tumbuh terlalu panjang kerana gigi atas dan sisi bawahnya mengisar bersama-sama dan menghauskan satu sama lain. Gigi taring badak air mungkin tumbuh lebih daripada 60 sentimeter panjangnya, tetapi hanya separuh gigi itu kelihatan pada gusi.
Kehidupan badak air sungai. Badak air sungai pandai berenang dan tinggal dalam tasik, sungai dan anak sungai berhampiran dengan padang rumput. la kadang-kadang berjalan di dasar sungai dan boleh tinggal dalam air selama enam minit. Di darat, ia boleh berlari sepantas manusia — kira-kira 30 kilometer sejam. Badak air sungai tinggal dalam kumpulan sebanyak lima hingga 30 ekor. Ia menghabiskan waktu siang berehat dalam air, memakan tumbuhan air, dan berjemur di tebing pasir. Pada waktu malam, ia makan di darat. la memakan buah-buahan rumput dan sayur-sayuran. Kadang-kadang ia merayau berbatu-batu dekat tebing sungai sambil meragut. Setiap ekor badak air memakan kira-kira 60 kilogram sayur-sayuran sehari.
Badak air betina bunting selama kira-kira tujuh setengah bulan sebelum melahirkan seekor anak. la selalunya melahirkan seekor anak pada satu masa, tetapi kadang-kadang ia melahirkan anak kembar. Anak badak air beratnya kira-kira 45 kilogram sewaktu lahir. la boleh berenang serta- merta dan biasanya ia menyusu dalam air la mula memakan rumput ketika berumur empat hingga enam bulan. Anak badak air selalu memanjat di atas belakang ibunya dan berjemur semasa ibunya berendam dalam air. Di darat, ibu badak air selalu memastikan anaknya berada berdekatannya. Jika anaknya merayau jauh, ia menyondol anaknya sebagai hukuman.
Badak air betina melahirkan anak pertamanya ketika berumur lima atau enam tahun. Badak air hidup selama kira-kira 30 tahun dalam persekitaran semula jadinya atau 50 tahun dalam zoo.
Badak air mempunyai mulut yang sangat besar dan boleh membukanya seluas 90 hingga 120 sentimeter. la kerap berbuat demikian untuk menunjukkan gigi taringnya yang sangat kuat dan mencabar musuhnya. Apabila dua ekor badak air berkelahi, masing-masing merobek antara satu sama lain dengan taring. Perkelahian berakhir apabila salah seekor daripadanya terbunuh atau patah kakinya. Hampir tiada haiwan lain berani menyerang badak air dewasa kecuali buaya, dubuk dan singa kadang-kadang menyerang anak badak air. Apabila badak air berasa terancam di darat, ia lari ke dalam air.
Badak air kerdil mempunyai kepala yang lebih kecil yang sepadan dengan badannya berbanding dengan badak air sungai. Beratnya dari 180 hingga 270 kilogram dan tingginya kira-kira 75 sentimeter. Seekor badak air kerdil panjangnya dari 1.5 hingga 1.8 meter, tidak termasuk ekornya, yang panjangnya 15 hingga 18 sentimeter. Haiwan ini mempunyai kulit hitam. Badak air kerdil hidup di hutan yang tebal berhampiran dengan anak sungai dan tidak banyak menghabiskan masa dalam sungai berbanding dengan badak air sungai. la hidup bersendirian atau berpasangan bukan berkumpulan. Walaupun undang-undang melarang pembunuhan badak air kerdil, orang Afrika menembaknya untuk dijadikan makanan. Akibatnya haiwan ini mungkin akan pupus.
Sumber gambar: Wikipedia
Badak air dan manusia. Manusia menyebabkan bilangan badak air dan saiz kawasan tempat tinggalnya berkurangan. Pemburu membunuh banyak badak air dan peladang mengehadkan banyak kawasan yang pernah didiami badak air sebagai kawasan tanaman. Pada satu masa dahulu, haiwan ini tinggal dalam sungai di seluruh Afrika. Lukisan orang Mesir purba menunjukkan Firaun memburunya di Sungai Nil. Peladang Afrika menembak banyak badak air untuk mengelakkan haiwan ini memakan atau memijak-mijak tanaman mereka. Mereka juga membunuh haiwan ini untuk dagingnya dan menggunakan kulitnya untuk membuat sup. Gigi taring badak air adalah bernilai. la pernah digunakan untuk membuat gigi palsu kerana warnanya tidak berubah menjadi kuning. Sesetengah pakar makanan menggesa supaya badak dipelihara untuk mendapatkan dagingnya. Berat daging yang boleh dimakan bagi seekor badak hampir dua per tiga daripada berat keseluruhan badannya. Kadar ini jauh lebih tinggi berbanding dengan kebanyakan hidupan liar yang lain. Di samping itu, daging badak air mempunyai kandungan protein yang tinggi.
Badak air juga memberi manfaat kepada persekitaran di kawasan tertentu. Najisnya membekalkan makanan untuk banyak ikan dan tumbuhan air dalam tasik dan sungai tempat badak air tinggal. Dari segi pengelasan saintifik. Badak air tergolong dalam famili badak air, Hippopotamidae. Badak air sungai ialah Hippopotamus amphibius. Badak air kerdil ialah Choeropsis liberiensis. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 3/20-22)
Hukum memakan badak air
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:
أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”
(Surah al-Ma’idah: 1)
Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:
وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ
Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”
(Surah al-Jathiyah: 13)
Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ
Maksudnya: “Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”
Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)
Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).
Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).
Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:
قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’”
(Surah al-An‘am: 145)
Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:
وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا
Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.”
Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, badak air termasuk dalam jenis haiwan yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya. Apatah lagi ia juga bukanlah haiwan yang memburu haiwan lain sebagai makanan sekalipun ia memiliki gigi taring. Sebaliknya ia hanya memakan buah-buahan rumput dan sayur-sayuran — tergolong dalam kalangan haiwan herbivor.
Benar bahawa Nabi SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Tha‘labah bahawa:
نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَكْلِ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السَّبُعِ
Maksudnya: “Nabi SAW melarang daripada memakan setiap binatang buas yang bertaring.”
Riwayat Muslim (1932)
Namun, yang dimaksudkan dengan haiwan bertaring itu adalah yang memburu dengan taringnya. Ini adalah sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Syafi‘i bahawa haiwan bertaring yang haram untuk dimakan ialah haiwan yang memburu makanan dengan taringnya. (Lihat al-Umm, 2/272).
Selain daripada itu, dinyatakan dalam Darul Ifta Birmingham, Maulana Shadman Ahmed ditanyakan mengenai daging badak air, halal atau haram? Beliau menjawab, badak air tergolong dalam spesies haiwan herbivor dan tidak memakan daging mahupun kotoran/bangkai. Mereka juga tidak memburu haiwan lain sebagai makanan. Ini kerana terdapatnya larangan daripada Nabi SAW untuk memakan haiwan pemangsa yang mempunyai taring yang memburu haiwan lain sebagai makanan (karnivor) dan begitu juga mana-mana burung yang mempunyai kuku mencengkam (burung pemangsa).
Oleh itu, daging badak air adalah halal (untuk dimakan) serta hukumnya menyerupai rusa.[1]
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa badak air adalah halal dan harus dimakan selagi mana tidak terdapatnya dalil yang menunjukkan hukum sebaliknya, serta tidak memudaratkan pemakannya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:
الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ
Maksudnya: “Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).
Walaupun begitu, kita amat perlu menghormati perundangan sesebuah negara seperti di Malaysia dan lain-lain, adakah di sana terdapat akta atau larangan bagi memburunya atau menyembelihnya kerana ia termasuk dalam binatang yang dilindungi. Jika tiada larangan tersebut atau adanya kebenaran untuk menyembelihnya (bagi tujuan memakannya) maka dibolehkan untuk mendapatkan dan memakan badak air tersebut.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Nota kaki:
[1] Lihat https://daruliftabirmingham.co.uk/is-hippos-meat-haram-or-halal-why/. Diakses pada 13 November 2023.