#4131:  Bersedekah ketika Masih Berhutang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum bersedekah dengan duit yang kita berhutang daripada bank?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Bersedekah merupakan antara amal soleh yang amat besar fadhilat dan ganjaran bagi pelakunya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّـهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiramnya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah al-Baqarah: 265)

Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan firman Allah SWT (كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ), maksudnya seperti sebuah kebun di dataran tinggi. Demikian menurut jumhur ulama’. Rabwah bermaksud tanah tinggi. Ibn Abbas dan al-Dahhak menambah, padanya mengalir sungai-sungai. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/328)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, gambaran infaq mereka ini sama ada yang banyak mahupun sedikit adalah bagaikan kebun yang memiliki tanah yang baik dan subur. Pepohondan tumbuhannya berkembang dengan baik. Kebun ini terletak di dataran yang tinggi, yang memperoleh sinar matahari dan pengudaraan yang baik serta disirami oleh hujan yang lebat sehingga tumbuh-tumbuhannya menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding yang lain. Jika kebun itu disirami oleh hujan gerimis, maka hal itu pun sudah mencukupi dan mampu menjadikan pohon-pohonnya tumbuh dengan baik dan tetap menghasilkan buah yang melimpah. Hal ini disebabkan tanahnya yang subur dan kedudukannya yang strategik. Manakala sebab kenapa kebun yang dijadikan perumpamaan di sini adalah kebun yang berada di rabwah (dataran tinggi), kerana pohon dan tumbuhan yang ada di kawasan tinggi lebih baik dan buah yang dihasilkannya juga lebih baik.

Allah SWT dengan kemurahan-Nya mengembangkan infaq yang dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas dan memberi mereka balasan yang lebih banyak seperti sebuah kebun yang menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding buah yang dihasilkan kebun-kebun yang lain. Hal ini bertujuan memujuk hati dan fikiran kita. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/80)

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan hukum bersedekah adalah sunat, manakala membayar hutang adalah wajib. Oleh itu, kami katakan tidak menjadi masalah untuk bersedekah kerana dengannya Allah akan melipat gandakan lagi rezekinya. Namun, dalam masa yang sama, janganlah kita mengabaikan tanggungjawab kita dalam membayar hutang agar ia dapat dilunaskan dengan konsisten dan menjadikan hati kita lebih tenang.

Walaupun begitu, nasihat kami, bersedekahlah dengan jumlah yang sedikit dan langsaikanlah hutang seupaya mungkin dan secepat mungkin.

Akhir kalam, semoga penerangan ringkas ini membantu kita untuk terus mensyukuri segala rezeki kurniaan Allah SWT kepada kita dengan cara memupuk diri untuk bersabar dan terus bersedekah sekalipun dalam keadaan serba kekurangan. Semoga dengannya, Allah SWT akan melipat gandakan lagi rezeki kita. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Kami berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahu a‘lam