Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah pemilik harta yang dicuri itu boleh memberikan syafaat kepada pencuri yang telah disabitkan hukuman potong tangan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Islam menegaskan kepada umatnya agar mengambil apa sahaja yang baik dari nikmat-nikmat Allah SWT dengan cara yang ma‘ruf dan melarang umatnya dari mengambil sesuatu yang bukan hak mereka dengan cara yang mungkar. Dan perkara ini boleh dicapai dengan adanya persetujuan serta akad yang sah antara 2 pihak yang saling berjual beli barangan. Persetujuan ini adalah mu‘amalat yang dihalalkan oleh Allah SWT seperti di dalam firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”
(Surah al-Nisa’: 29)
Dr Hussam al-Din ‘Affanah berkata: “Kaedah mengenai keharusan sesuatu perkara berkaitan mu‘amalat adalah berdasarkan perkataan (إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡ) yang bermaksud ‘kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu’, manakala dalil yang mengeluarkannya dari keharusan tersebut adalah daripada perkataan (لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ) yang bermaksud ‘janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah’.” (Rujuk Yasalunaka ‘An al-Mu’amalat al-Mu’asarah, hlm. 89)
Syafaat Pemilik Harta Kepada Pencuri
Berbalik kepada persoalan yang saudara ajukan, kami menerangkan terlebih dahulu serba ringkas tentang hakikat syafaat yang dimaksudkan di sini. Syeikh Sayyid Sa‘id ‘Abd al-Ghani mendefinisikannya sebagai suatu perbuatan menjadi perantara bagi seseorang dengan tujuan memberikan manfaat yang dibenarkan oleh syara‘ kepadanya, atau menjauhkannya dari sebarang kemudharatan. (Lihat al-‘Aqidah al-Safiyah, hlm. 184)
Dalam bahasa mudahnya, pemilik harta itu memberikan syafaat atau kemaafan kepada si pencuri agar ditimpa kemudharatan, iaitu dipotong tangannya kerana jenayah kecurian yang dilakukannya.
Dalam menjawab persoalan ini, kami katakan bahawa syafaat pemilik harta kepada pencuri adalah dibenarkan dalam Islam, dengan syarat syafaat ini diberikan sebelum kes kecurian ini diangkat perbicaraannya di hadapan pemerintah. Sekiranya perbicaraan kes telah diangkat, kemudian pencuri tersebut dijatuhkan ke atasnya hukuman hudud potong tangan, maka pemilik harta itu tidak dibenarkan untuk memberikan sebarang syafaat kepada pencuri.
Ini sebagaimana yang thabit dalam hadith daripada Safwan bin Umayyah R.A, pada suatu ketika apabila Rasulullah SAW menjatuhkan hukuman hudud potong tangan kepada pencuri kain rida’ milik Safwan, akan tetapi Safwan memberikan syafaat kepadanya dengan cara menjualkan rida’ tersebut dengan pembayaran secara tangguhan. Lalu Rasulullah SAW bersabda:
فَلَوْلَا كَانَ هَذَا قَبْلَ أَنْ تَأْتِيَنِي بِهِ يَا أَبَا وَهْبٍ. فَقَطَعَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ
Maksudnya: “‘Seandainya hal ini terjadi (pemberian syafaat itu) sebelum engkau membawanya kepadaku wahai Abu Wahb?’ Kemudian Rasulullah SAW memotong tangan pencuri itu.”
Riwayat al-Nasa’ie (4883), Abu Dawud (4394), Ibn Majah (2595) dan Ahmad (15310)
Dalam sebuah hadith lain daripada ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ حَالَتْ شَفَاعَتُهُ دُونَ حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللهِ، فَقَدْ ضَادَّ اللهَ فِي أَمْرِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang bantuannya (kemaafan) menghalang dari tertegaknya hukum Allah, sesungguhnya dia telah melawan perintah Allah.”
Riwayat Abu Dawud (3597) dan Ahmad (5385)
Ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amru R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَعَافُّوا الحُدُودَ فِيمَا بَيْنَكُمْ، فَمَا بَلَغَنِي مِنْ حَدٍّ فَقَدْ وَجَبَ
Maksudnya: “Saling memaafkanlah di antara kalian dalam perkara hudud. Maka jika telah sampai kepadaku (kesalahan) yang melibatkan hudud, maka wajib (dijatuhkan hukuman).”
Riwayat Abu Dawud (4376) dan al-Nasa’ie (4886)
Kesimpulan
Jelas berdasarkan perbincangan di atas bahawa hukum pemilik harta memberikan syafaat kepada si pencuri adalah dibenarkan menurut hukum Islam, selama mana kes jenayah itu tidak dibicarakan di hadapan pemerintah dan dapat diselesaikan dengan baik antara pemilik harta dan si pencuri.
Kmai juga mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan agar kita sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT meskipun dalam keadaan kesempitan yang teramat. Firman Allah SWT:
فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: “bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”
(Surah al-Taghabun: 16)
Sekiranya kita berada dalam kesempitan kewangan sekalipun, hendaklah sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT dengan tidak mengambil apa jua barang yang menjadi hak milik orang lain. Sebaliknya, cuba berusaha mendapatkan bantuan dari badan-badan berautoriti yang menyediakan khidmat bantuan kepada golongan yang memerlukan. Semoga, kita semua beroleh rahmat Allah SWT dan dilapangkan rezeki nikmat kurniaannya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”
Wallahu a‘lam