Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, siapakah tokoh bernama Muhammad bin Syihab al-Zuhri?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Nama – nasab
Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Muslim bin Ubaidillah bin Abdullah bin Syihab bin Abdullah al-Qurasyi al-Zuhri. Beliau merupakan seorang ulama’ terkenal yang alim dan ahli fiqh yang terkemuka. Al-Zuhri adalah nama gelaran yang terkenal yang diberikan para ulama’ kepadanya. Nama gelarannya yang lain ialah Abu Bakar al-Madani.
Ayah beliau ialah seorang perawi hadith yang thiqah iaitu Muslim bin Abdillah. Manakala ibunya ialah Ummu Ahban binti Laqith bin Urwah bin Ya’mur. Ada pendapat nama ibunya Aisyah binti Abdullah al-Abar. al Zuhri memiliki seorang saudara lelaki yang lebih muda daripadanya bernama Abdullah bin Muslim. Dia sempat bertemu Ibnu Umar dan meriwayatkan darinya, namun meninggal dunia lebih awal daripada al-Zuhri.
Tarikh lahir / Tempat Lahir
Terdapat beberapa pendapat berkenaan tahun kelahiran beliau. Antaranya Dahim dan Ahmad bin Solih berpendapat bahawa Ibnu Syihab al-Zuhri dilahirkan pada tahun 50 H. Khalifah bin Khayyath mengatakan, beliau dilahirkan pada tahun 51 H, ada juga yang berpendapat bahawa beliau lahir pada tahun 56 dan 58 H iaitu pada akhir zaman pemerintahan Muawiyah.
Beliau dilahirkan di kota suci Madinah al-Munawwarah. Beliau kemudian tinggal di sebuah perkampungan kecil bernama Ailah di antara Hijaz dan Syam.
Sifatnya
Imam al-Zuhri seorang yang rendah dan sedikit janggutnya. Dikatakan beliau sedikit rabun. Rambut dan janggutnya berwarna kemerah-merahan, seolah-olah dia menggunakan inai.
Pembelajaran sejak kecil
Beliau hidup dalam keadaan fakir tetapi kesungguhan menuntut ilmu menyebabkan beliau sempat melazimi sahabat-sahabat yang masih hidup ketika itu dan ulama’ tabi’in. Antara ulama’ sahabat seperti Anas bin Malik, Sahl bin Sa’d al-Sa’idi, Ibnu Umar, Jabir bin Abdullah, al-Miswar bin Makhramah, Abdullah bin Ja’far dan dari kalangan tabi’in, fuqaha al-sab’ah, Ubaidillah bin Umar dan ramai lagi.
Al-Zuhri berkata, “Aku melazimi majlis Sa’id bin al-Musayyib selama 8 tahun, bertempuh antara kepala lututku dan lututnya.” (Lihat Tarikh Dimasyq oleh Ibn ‘Asakir, 55/315)
Betapa hebatnya beliau, disebut bahawa beliau menghafaz al-Quran hanya mengambil masa selama 88 hari.
Pujian Ulama’ kepada Muhammad bin Syihab al-Zuhri
Antara yang memujinya ialah:
- Abu Mas’ud Ahmad bin al-Furat al-Razi berkata, “Tiada di kalangan mereka yang lebih baik sanad daripada al-Zuhri.” (Lihat Tahzib al-Kamal oleh al-Mizzi, 26/431)
- Muhammad bin Sa’ad berkata, “Al-Zuhri adalah seorang yang thiqah banyak meriwayatkan hadith, ilmu dan seorang yang faqih serta menguasai banyak ilmu.” (Lihat al-Tabaqat oleh Ibn Sa’d, 9/218)
- Al-Laith bin Sa’d berkata, “Aku belum pernah melihat seorang alim pun yang lebih hebat daripada al-Zuhri, kalau beliau bercakap untuk memberi semangat, tidak ada yang lebih baik daripada dia, bila dia membincangkan tentang sunnah dan al-Qur’an hujahannya lengkap.”
- Solih bin Kaisan berkata, “Aku menuntut ilmu bersama-sama al-Zuhri. Dia berkata kepadaku, mari kita tulis apa yang berasal daripada Nabi SAW. Dan pada waktu lain dia berkata mari kita tulis apa yang berasal dari sahabat Baginda SAW, dia menulis dan belajar sedangkan aku tidak. Akhirnya dia berjaya dan aku gagal.”
- Imam al-Suyuti berkata, “Orang pertama yang membukukan hadith dan athar adalah Ibnu Syihab atas perintah Umar.” (Lihat Alfiyah al-Suyuti, 7)
- Abu Bakar al-Hudzali berkata, ““Aku telah duduk belajar daripada Hasan al-Basri dan Ibu Sirin, namun aku tidak melihat seorang pun seperti Imam al-Zuhri!”
Guru-gurunya
Menjadi kelaziman ulama’ rabbani, beliau akan berguru dengan ramai tokoh. Antaranya para sahabat dan kibar al-tabi’in.
Antara guru-gurunya ialah:
- Anas bin Malik
- Nafi’ maula Ibn Umar
- Sa’id ibn al-Musayyib
- Urwah bin Zubair
- Ibrahim bin Abdul Rahman bin Auf
- al-Qasim bin Muhammad
- Aban bin Uthman bin Affan
- Uwais bin Abi Uwais
- Thabit bin Qis al-Zurqi
- Ja’far bin Amru bin Umayyah al-Dumari
- Kharijah bin Ziad bin Thabit
- Salim bin Abdullah bin Umar
- Al-Sa’ib bin Yazid
- Sulaiman bin Yasar
- Sulaiman bin Arqam
- Thawwus bin Kisan
- Abdullah bin Abu Bakr bin Abdul Rahman dan ramai lagi.
Murid-muridnya
Antara murid-murid beliau ialah:
- Imam Malik bin Anas
- al-Laith
- Zaid bin Aslam
- Sufyan bin Uyainah
- Umar bin Abdul Aziz
- Muhammad bin al-Munkadir
- Aban bin Solih
- Ibrahim bin Ismail bin Majmuk
- Ibrahim bin Abi Ablah
- Ibrahim bin Yazid al-Khuzi
- Usamah bin Zaid
- Ishak bin Rashid al-Jazari
- Ishak bin Abdillah bin Abi Farwah
- Ayub al-Sukhtiyani
- Bakar bin Wail
- Thabit bin Thauban
- Tsa’labah bin Suhail
- Ja’far bin Burqal
- Juwairiyah binti Asma.
- Al-Hajjaj bin Artah
- Khalid bin Yazid al-Misri dan lain-lain.
Kelebihannya
Al-Zuhri menghafal lebih 2200 hadith dan antara hadithnya termasuk di dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.
Beliau belajar dengan Sa’id ibn al-Musayyib dan amat rapat dengan gurunya itu sehingga beliau pernah berkata, “Lututku sentiasa berhadapan dan melekat dengan lutut Sa’id bin al-Musayyib selama lapan tahun.”
Beliau amat bersungguh dan bersemangat dalam mengumpul dan menyusun ilmu serta menulisnya. Sekalipun mempunyai ingatan yang kuat dan luar biasa. Ini kerana, menulis itu dengan ilmu yang dimiliki akan menambahkan keyakinan.
Antara kelebihannya ialah beliau dapat menghimpun antara hafazan, penguasaan ilmu, kefahaman dan baik istinbat.
Hebatnya Hafazannya
Seperti yang telah dibahaskan, beliau mampu menghafaz al-Quran dalam masa 88 hari dengan ingatan yang baik. Beliau dianggap sebagai tanda kuasa Allah dalam hafazan dan mempunyai kurniaan yang jarang pada orang lain dalam menzahirkan maklumat yang dihafaznya.
Beliau pernah berkata, “Tidak aku hafaz dalam hatiku sesuatu maka aku lupa.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala, 5/332)
Soleh bin Kisan berkata, ”Aku menuntut ilmu bersama dengan al-Zuhri kemudian beliau berkata, ‘Marilah kita menulis sunnah.’ Maka kami tulisnya apa yang diambil daripada Nabi SAW. Kemudian katanya, ‘Marilah kita menulis apa yang kita dapati daripada sahabat R.Anhum. Katanya, ‘Dia menulis dan kami tidak menulis, maka dia berjaya dan kami lemah.’”Maka tidak peliklah, beliau dianggap sealim manusia pada zamannya yang ramai ulama’ berhajat kepadanya.
Ibn Syihab al-Zuhri pernah berkata: Sesungguhnya aku melalui berhampiran perkuburan Baqi dan aku terpaksa menutup telinga-telinga bimbang akan masuk sesuatu yang aku dengar perkara nyanyian atau lalai. Demi Allah, tidak masuk ke telingaku sesuatu yang menyebabkan aku lupa (ertinya dia terus ingat). (Lihat Min al-Nabi SAW ila al-Bukhari oleh Dr. Ahmad Sanubir, hlm. 69)
Sifat Pemurahnya
Imam Zuhri terkenal sebagai seorang ulama’ yang mempunyai ilmu bersifat melaut. Begitu juga, dengan sifat pemurahnya, sehingga kurniaan yang diperolehinya daripada para umara’ telah diinfakkannya kepada pelbagai golongan sehingga ianya dipuji oleh Faid bin Akram dalam syairnya.
Beliau akan menyimpan sebahagian hartanya untuk memenuhi keperluan golongan yang berhajat secara tiba-tiba. Imam Malik Rahimahullah berkata, “Adalah Ibnu Syihab terkenal sepemurah manusia pada zamannya. Apabila dia mendapat harta, hambanya akan memberi peringatan kepadanya. Sesungguhnya aku lihat apa yang berlaku ke atasmu dalam keadaan kesempitan. Maka, lihatlah bagaimana kamu sekarang. Dan simpanlah untukmu sebahagian harta.” Lantas dijawapnya, “Sesungguhnya orang mulia tidak akan dikalahkan oleh pengalamannya.” Bahkan dikatakan sifat pemurahnya itu hampir membinasakannya. Sehingga beliau sanggup berhutang untuk meneruskan sifat pemurahnya di kalangan manusia.
Pernah satu ketika, dia pergi ke satu tempat untuk mendapatkan air. Dan cuba berhutang dan tiada siapa yang memberi kepadanya. Maka, beliau menggunakan binatang tunggangannya untuk disembelih dan dipanggil mereka kemudian diajak makan bersama. Lalu, bapa saudaranya memberi nasihat kepadanya, “Wahai anak saudaraku, sesungguhnya maruah itu adalah sunnah yang hanya dapat menghilangkan air muka seketika.” Jawabnya, “Wahai pak cik, turun dan nikmatilah makanan. Jika sekiranya kamu tidak mahu, maka pergilah dalam keadaan mendapat petunjuk.”
Pernah dia pergi ke satu tempat, penduduknya mengadu mereka mempunyai 18 perempuan yang sudah tua iaitu isteri masing-masing sedangakan mereka tidak mempunyai khadam. Maka, Ibnu Syihab telah berhutang 18,000 dan dikhadamkan setiap isteri itu dengan satu khadam dengan diupah 1,000 dirham.
Al-Laith bin Sa’d berkata, “Ibn Syihab selalu mengkhatamkan hadithnya dengan doa iaitu:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ كُلِّ خَيْرٍ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ كُلِّ شَرٍّ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku mohon daripada-Mu dari setiap kebaikan yang menguasai ilmu-Mu di dunia dan akhirat, dan aku minta berlindung dengan-Mu dari setiap kejahatan yang menguasai dengannya ilmu-Mu di dunia dan akhirat.” (Lihat Tarikh Dimasyq, 55/342; al-Bidayah wa al-Nihayah, 13/137)
Beliau adalah di antara sepemurah manusia yang pernah aku lihat. Dikatakan bahawa beliau tidaklah mencintai harta dan kekal bersamanya. Bahkan dia menganggap hina dan perlu berlepas diri daripadanya dengan cara membelanjakan ke arah kebaikan.
Kata Amru bin Dinar, “Tidak aku lihat seseorang lebih ringan dan lebih hina disisinya dari dirham yang dimiliki.” Itulah Muhammad bin Syihab al-Zuhri.
Kewafatannya
Beliau wafat pada malam Selasa, 17 Ramadhan tahun 124 H di sebuah perkampungan bernama Syaghb, Syam dan dimakamkan di sana. Ia terletak di antara sempadan Hijaz dan permulaan sempadan Palestin. Dia mengalami sakit beberapa hari kemudian meninggal dunia dan di situlah dia dikuburkan. Dia telah mewasiatkan agar dikebumikan berhampiran longkang jalan yang berdekatan supaya yang lalu berhampiran dengannya akan mendoakan untuknya. Usianya ketika itu, 72 tahun. Inilah pendapat al-Zubair bin Bakar.’’
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
Surah al-Hasyr (10)