#4139: Perbezaan Antara Tokoh Hammad bin Zaid, Hammad bin Salamah dan Hammad bin Abi Sulaiman 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apa perbezaan antara Hammad bin Zaid, Hammad bin Salamah dan Hammad bin Abi Sulaiman?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hammad bin Zaid

Lahir pada tahun 98 H dan meninggal dunia pada 179 H. Beliau ialah Hammad bin Zaid bin Dirhm, hamba yang dibebaskan daripada keluarga Jarir bin Hazim al-Jahdami. Kuniyahnya ialah Abu Isma’il. Diriwayatkan daripada ibunya bahawa dia lahir ketika kekhalifahan Umar bin Abdul al-Aziz, dan diriwayatkan dari pengasuhnya bahawa dia dilahirkan ketika kekhalifahan Sulaiman bin Abd al-Malik.

Abdul Rahman Ibn Mahdi berkata:  “Tokoh-tokoh ulama’ bagi manusia pada zaman mereka ada empat orang: Al-Thauri, Malik, al-Auza’ie dan Hammad bin Zaid.” Beliau turut menyebut: “Tidak pernah aku melihat seorang pun yang lebih cerdik dan pintar daripada Malik.”  Ibn Mahdi juga menyebut:  “Para imam ahli hadis yang patut diteladani adalah empat orang: Sufyan al-Thauri di Kufah, Malik di Hijaz, al-Auza’ie di Syam dan Hammad bin Zaid di Basrah.” (Lihat Tartib al-Madarik wa Taqrib al-Masalik, 1/153)

Kata Ibn Hibban: “Beliau adalah salah seorang penghafaz yang cerdik dan dari kalangan orang-orang yang soleh. Dia boleh membaca semua hadith yang dia ceritakan berdasarkan ingatan, sedangkan dia buta.”

Antara gurunya ialah Ayyub al-Sakhtiyani, Zaid bin Dirham (bapanya), Thabit al-Bunanti, Abdullah bin Tawus, Ata’ bin al-Sa’ib, Amr bin Dinar al-Makki, Abu Amr bin al-’Ala’ al-Nahwi dan ramai lagi. Antara muridnya pula ialah al-Asy’ath bin Ishaq al-Sijistani, Sufyan al-Thauri, Abdullah ibn al-Mubarak, Sufyan bin Uyainah, Abd al-Rahman bin Mahdi, Ali bin al-Madini, dan ramai lagi.

Hammad bin Salamah

Hammad bin Salamah bin Dinar lahir pada tahun 91 H dan meninggal pada tahun 167 H. Beliau adalah seorang imam dan ikutan bagi kaumnya, beliau merupakan tokoh ulama’ terbesar pada zamannya.

Abd al-Rahman bin Mahdi dia berkata: “Hammad bin Salamah mempunyai pendengaran yang baik, ramah ketika bertemu orang dan tokoh yang paling mengetahui sejarah nenek moyang manusia. Hammad bin Salamah adalah orang yang mampu menjaga diri dan mulutnya tidak digunakan untuk menyakiti orang lain. Tidak seorang pun yang menyebut bahawa beliau mempunyai akhlak buruk, dan keadaan ini sehinggalah beliau meninggal dunia.”

Hammad bin Salamah banyak menimba ilmu daripada beberapa ulama termasuklah Thabit al-Bunani, Qatadah, bapa saudaranya Humaid al-Tawil, Ishaq bin Abdillah Abi Talhah, Anas bin Sirin dan ramai lagi.

Imam Ahmad bin Hanbal berkata: “Jika kamu melihat orang yang memfitnah Hammad bin Salamah, maka dia telah mencela Islam.”

Abdullah bin Mubarak berkata: “Ketika masuk ke Basrah, aku tidak melihat orang yang tingkah lakunya yang mirip dengan orang-orang generasi pertama kecuali Hammad bin Salamah.”

Hammad bin Abi Sulaiman

Tidak disebut oleh mana-mana sumber tentang tarikh kelahirannya yang tepat. Tetapi disebut bahawa beliau adalah dari kalangan sighar tabi’in kerana hanya sempat bertemu dengan seorang sahabat sahaja, iaitu Anas bin Malik R.A, tetapi tidak meriwayatkan hadith daripada Anas R.A.

Beliau adalah Al-Allamah (ulama besar) Al-Imam, Faqih Iraq (pakar Fiqh di iraq), Hammad, Abu Ismail ibn Muslim Al-Kufi, Maula Al-Asy’ariyyin ” (Lihat Siyar A’lam Nubala’, 5/231)

Imam al-Zahabi berkata: “Beliau ialah al-’Allamah (ulama’ besar), al-Imam, faqih Iraq, Hammad, Abu Ismail bin Muslim al-Kufi, maula al-Asy’ariyyin.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/231)

Antara pujian terhadapnya, seperti disebut oleh Imam al-Zahabi: “Orang yang paling faqih di Kufah adalah Sayyidina Ali dan Ibnu Mas’ud, dan murid kedua-dua mereka yang paling faqih adalah ‘Alqamah, dan murid Alqamah yang paling faqih adalah Ibrahim al-Nakha’i, dan murid Ibrahim yang paling faqih adalah Hammad ibn Abi Sulaiman, dan murid Hammad yang paling faqih adalah Abu Hanifah, dan murid Abu Hanifah yang paling faqih adalah Abu Yusuf, dan muridnya yang paling faqih adalah Muhammad bin Hasan al-Syaibani, dan murid Muhammad yang paling faqih adalah Muhammad ibn Idris As-Syafi’i.” (Lihat Siyar A’lam Nubala’, 5/236)

Terdapat perbezaan tentang tarikh kewafatan beliau. Kebanyakan sumber menyatakan bahawa beliau meninggal dunia pada tahun 119 H. Manakala sebahagian riwayat lain menyatakan 120 H.

Kesimpulannya, ketiga-tiga tokoh ini adalah ulama’ yang besar, yang berada di sekitar Kufah, Basrah atau di Iraq. Dan tarikh kehidupan mereka hampir sama. Setiap mereka mempunyai kelebihan masing-masing dalam bidang keilmuan. Semoga Allah SWT merahmati mereka.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)