#4143: Biografi Abu Ishaq al-Subai’i 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah Abu Ishaq al-Suba’i?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Beliau ialah Amr bin Abdillah al-Hamdani al-Kufi dan lebih terkenal dengan panggilan Abu Ishaq al-Sabi’i. Beliau termasuk ulama’ besar dan ahli hadith Kufah pada zamannya.

Beliau dilahirkan pada sekitar tahun 34 atau 35 H, iaitu pada zaman pemerintahan Uthman bin ‘Affan R.A. Abu Ishaq al-Sabi’i pernah menyebut, “Aku lahir dua tahun sebelum wafatnya Khalifah Uthman.”

Guru-Guru Abu Ishaq

Beliau sempat bertemu dengan sebahagian sahabat Nabi SAW. Antara guru beliau ialah:

  • Mu’awiyah bin Abi Sufyan
  • ‘Adi bin Hatim
  • Ibn ‘Abbas
  • al-Bara’ bin ‘Azib
  • Zaid bin Arqam
  • Abdullah bin Amr bin al-As
  • Abu Juhaifah al-Suwa’i
  • Sulaiman bin Syurd
  • ‘Umarah bin Ruwaibah al-Thaqafi
  • Abdullah bin Yazid al-Ansari
  • Amr bin Harith al-Khuza’i
  • Usamah bin Zaid R.Anhum

Sebahagian ulama’ menyebut bahawa Sahabat Nabi yang menjadi guru kepada Abu Ishaq adalah berjumlah 38 orang. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 5/394)

Beliau sendiri pernah menyebut, “Aku pernah menyaksikan Ali bin Abi Talib sedang berkhutbah.”

Dalam pembelajaran al-Quran, Abu Ishaq al-Sabi’i mempelajarinya daripada Aswad bin Yazid dan Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami.

Beliau tinggal di Kufah dan mempelajari ilmu fiqh yang bersumberkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A dan Ali bin Abi Talib R.A sehinggalah dikatakan bahawa, “Sesiapa yang duduk belajar bersama Abu Ishaq, maka sesungguhnya dia seperti duduk belajar kepada Ali R.A.”

Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Yahya bin Ma’in menilai Abu Ishaq sebagai tokoh yang thiqah (dipercayai). Beliau juga termasuk tokoh dalam bidang qira’at al-Quran.

Kewafatan

Beliau meninggal dunia pada tahun 127 H, pada usia 93 tahun. Jenazah beliau diiringi oleh ramai manusia.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)