#4149: Hudud Potong Tangan Bagi yang Mengingkari Pinjaman

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada seorang rakan yang meminjam sejumlah wang dari saya pada 2 tahun lepas. Apabila saya tuntut semula wang tersebut, dia mengingkari dan menafikan bahawa adanya pinjaman. Adakah sama hukumannya seperti pencuri dan dikenakan hukuman potong tangan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Mereka yang mengambil sesuatu barangan yang pada asalnya bukanlah hak miliknya, maka syara‘ meletakkan hukuman yang amat berat sebagai suatu bentuk ancaman kepada sesiapa sahaja yang berniat untuk melakukan jenayah yang sama. Allah SWT berfirman di dalam al-Tanzil:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Ma’idah:38)

Persoalannya, adakah peminjam yang menafikan bahawa dia telah membuat pinjaman dari seseorang yang lain juga dihukumkan sama seperti pencuri? Di sini terdapatnya perselisihan pendapat di sisi fuqaha’.

Pendapat Pertama: Tidak dikenakan hudud potong tangan.

Ini adalah pandangan majoriti fuqaha’, dari kalangan fuqaha’ Mazhab al-Hanafi, Mazhab al-Maliki dan mazhab al-Syafi‘i. Ia juga merupakan salah satu riwayat dari Imam Ahmad, dan dipilih oleh al-Kharaqi, Abu al-Khattab dan Ibn al-Qudamah.

Ini berdasarkan hadith riwayat Jabir bin ‘Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ عَلَى خَائِنٍ، وَلاَ مُخْتَلِسٍ، وَلاَ مُنْتَهِبٍ قَطْعُ

Maksudnya: “Tiada hukuman potong tangan ke atas seseorang yang khianat, perampas, dan peragut.”

Riwayat Abu Dawud (4391), al-Tirmizi (1448), al-Nasa’ie (4971), Ibn Majah (2591) dan Ahmad (15070)

Pendapat Kedua: Dikenakan hudud potong tangan.

Ini merupakan salah satu riwayat dari Imam Ahmad, dan inilah pandangan yang diambil sebagai mu‘tamad mazhab mereka.

Ini berdasarkan hadith riwayat Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَتِ امْرَأَةٌ مَخْزُومِيَّةٌ تَسْتَعِيرُ الْمَتَاعَ وَتَجْحَدُهُ فَأَمَرَ النَّبِيُّ ﷺ أَنْ تُقْطَعَ يَدُهَا فَأَتَى أَهْلُهَا أُسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ فَكَلَّمُوهُ فَكَلَّمَ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ فِيهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang wanita dari kalangan Bani Makhzum meminjam barang dan menafikannya (mengatakan bahawa itu miliknya dan bukan pinjaman). Lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar dipotong tangannya. Ahli dari baninya Usamah bin Zaid datang dan berunding dengan Rasulullah SAW, dan Rasulullah SAW pun berbicara tentangnya.”

Riwayat al-Bukhari (2648) dan Muslim (1688)

Syeikh ‘Abdullah al-Bassam menukilkan kalam anak lelaki Imam Ahmad bin Hanbal, katanya: “Aku bertanya kepada ayahku (tentang masalah ini): ‘Kamu bersetuju dengan hadith ini?’ lalu Imam Ahmad menjawab: ‘Aku tidak mengetahui sebarang hujjah untuk menolaknya’.”

Dan pendapat ini yang diambil oleh Ishaq dan juga al-Zahiriyyah, dengan berhujjah menggunakan hadith al-makhzumiyyah di atas. Mereka pula mengatakan bahawa hadith yang digunakan oleh jumhur fuqaha’ itu hanya khusus untuk mereka yang berbuat khianat selain dari khianat pada pinjaman. Dan hakikat yang terdapat pada seorang pencuri itu juga terdapat pada mereka yang meminjam lalu berbuat khianat (dengan menafikan pinjaman tersebut). (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/276)

Jumhur fuqaha’ mengkritik pendapat kedua ini dengan mengatakan, riwayat dengan lafaz ‘meminjam barang dan menafikannya (mengatakan bahawa itu miliknya dan bukan pinjaman)’ ini hanya menyebutkan sifat yang dikenali bagi wanita ini sahaja – yakni dia suka meminjam barang lalu mengatakan bahawa barang tersebut miliknya dan bukan pinjaman dari orang lain -, dan hadith ini bukanlah untuk menyatakan sebab wanita itu dipotong tangannya.

Ibn Qudamah al-Maqdisi mengatakan, pendapat jumhur adalah pendapat yang tepat, berdasarkan hadith Jabir bin ‘Abdullah R.A di atas. Dan yang diwajibkan hudud potong tangan hanya bagi pencuri sahaja, sedangkan orang yang menafikan pinjaman ini bukanlah pencuri, tetapi pengkhianat. Adapun wanita dari Bani Makhzum yang dipotong tangannya ini, kerana pencurian yang dilakukannya.

Ini jelas sepertimana yang datang dalam lafaz lain, daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ قُرَيْشًا أَهَمَّهُمْ شَأْنُ المـَرْأَةِ المـَخْزُومِيَّةِ الَّتِي سَرَقَتْ، فَقَالُوا: مَنْ يُكَلِّمُ فِيهَا رَسُولَ اللَّهِ ﷺ؟ فَقَالُوا: وَمَنْ يَجْتَرِئُ عَلَيْهِ إِلَّا أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ، حِبُّ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَكَلَّمَهُ أُسَامَةُ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: أَتَشْفَعُ فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ. ثُمَّ قَامَ فَاخْتَطَبَ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّمَا أَهْلَكَ الَّذِينَ قَبْلَكُمْ، أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ فِيهِمُ الضَّعِيفُ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحَدَّ، وَأَيْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang Quraisy menjadi gelisah akan perihal seorang wanita dari kalangan Bani Makhzum yang mencuri. Mereka berkata: ‘Siapakah yang mahu menceritakan tentangnya kepada Rasulullah SAW?’. Mereka berkata pula: ‘Siapa lagi yang berani ke atas (perkara) itu melainkan Usamah bin Zaid, orang yang dicintai oleh Rasulullah SAW.’ Usamah pun berbicara dengan Baginda SAW. Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Adakah engkau hendak memberi pertolongan pada suatu hukuman di antara hukuman-hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah?’ Lalu Baginda bangun dan berkhutbah, kemudian Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kamu adalah, bahawasanya apabila yang mencuri di antara mereka merupakan orang terhormat (yang mempunya kedudukan), maka mereka membiarkannya. (Sebaliknya) jika yang mencuri adalah orang yang lemah (rakyat biasa) nescaya mereka menegakkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, pasti aku akan memotong tangannya!’.”

Riwayat al-Bukhari (3475) dan Muslim (1688)

Pada zahirnya, ini adalah satu kisah yang sama, bahawa dia telah mencuri dan dipotong tangannya kerana perbuatan mencuri itu. (Lihat al-Mughni, 9/94)

Abu al-Fadhl al-‘Iraqi pula membawakan 2 jawapan terhadap hadith yang dibawakan oleh pendapat kedua:

  • Riwayat dengan lafaz ‘meminjam barang dan menafikannya (mengatakan bahawa itu miliknya dan bukan pinjaman)’ ini adalah syaz, bertentangan dengan keseluruhan riwayat lain.

Dinukilkan dari Abu al-‘Abbas al-Qurtubi bahawa riwayat dengan lafaz mencuri lebih masyhur dari riwayat dengan lafaz menafikan pinjaman. Dan perawi bernama Ma‘mar bersendiri dari Imam-imam huffaz yang lain.

  • Tangan wanita itu dipotong kerana mencuri, dan disebutkan sebagai menafikan pinjaman bagi memperkenalkannya dan menyifatkannya sahaja, bukan kerana penafian pinjaman itu menjadi sebab dipotong tangannya. Oleh sebab itu, kedua-dua riwayat ini boleh dihimpunkan dalam satu situasi dan kisah yang sama.

Inilah jawapan yang dijadikan i‘timad kebanyakan ulama’, dinukilkan daripada al-Maziri dari kebanyakan ahli ilmu dan juga dari Imam al-Nawawi. Kemudian beliau berkata, tidaklah disebutkan sebagai pencuri dalam riwayat ‘Aisyah ini kerana tujuannya hanya untuk menceritakan larangan memberi syafaat dalam bab hudud, bukan tujuannya untuk menceritakan tentang pencurian. (Lihat Tarh al-Tathrib, 8/31)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan yang kami bawakan ini, kami mengatakan sebagaimana yang disebutkan oleh majoriti fuqaha’, iaitu tidak dihukum potong tangan bagi mereka yang menafikan pinjamannya.

kami katakan sebagai seorang muslim hendaklah menjauhi perbuatan mencuri kerana perkara tersebut ditegah oleh syara’ dan hukumannya amatlah berat kerana memakan harta orang lain dengan cara yang batil.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a‘lam