#4150: Lafaz “Cerai Biniku”, Adakah Jatuh Talak?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Adakah lafaz cerai berbunyi ” cerai biniku” dikira jatuh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak, dan rujuk.”

Riwayat Abu Dawud (2194), al-Tirmidzi (1184) dan Ibnu Majah (2039)

Menurut Imam al-Baijuri: “Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat.Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak diihtimal kepada selain daripada talak.” (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263)

Manakala lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami. Kata Ibnu al-Qasim al-Ghazzi:

“Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.” (Lihat Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 2/264)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan lafaz “Cerai biniku” ini jatuh talaknya kerana ia jelas menggunakan kalimah cerai dan diketahui yang dituju itu pada siapa yakni isterinya. Maka, hal ini telah jelas ia menggunakan lafaz yang sorih (jelas) tanpa perlu kepada niat. Namun begitu, suka kami sarankan untuk merujuk kepada Mahkamah Syariah bagi dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Kaedah menyebut:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”

Nasihat kami janganlah bermudah-mudahan untuk mengucap kalimah cerai kerana dikhuatiri akan terjatuh. Sekalipun marah, janganlah menggunakan kalimah/ayat-ayat sebegitu kerana diakhir kemarahan itu akan wujudnya penyesalan.

Justeru, perlu difahami setiap perkahwinan mempunyai konflik dan cabaran, namun sejauh mana seseorang itu menghadapinya hendaklah berpandukan kepada hukum syara’.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)