Soalan:
Assalamualaikum Dato Seri, suami saya ada bermimpi ibunya yang telah 7 bulan meninggal dunia. Dalam mimpi tersebut, ibunya senyum memakai pakaian masa suami saya kecil kecil dahulu, berkain batik dan ber t-shirt. Dalam mimpi itu, arwah mertua saya berpesan, tolong kakak sulung mereka yang dalam kesusahan. Saya cuma katakan arwah ibunya mohon dikirimkan doa, kerap mengaji, tentang kakaknya pula, kakak sulong suami tidak pernah menunaikan solat, jadi saya minta suami menegur dan menasihati agar kakaknya, abang iparnya dan seluruh anak anaknya untuk solat. Bagaimana ye Dato Seri?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: Islam dibina di atas lima iaitu kalimah La Ilaaha Illallah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, dan berpuasa pada bulan Ramadan.
Riwayat Muslim (16)
Begitu juga, dalam hadith yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ
Maksudnya: Sesungguhnya amalan pertama seorang hamba yang akan dihisab oleh Allah SWT adalah solatnya. Jika elok solatnya maka dia akan berjaya (dalam proses hisab tersebut), jika rosak solatnya maka dia adalah orang yang rugi.
Riwayat al-Tirmizi (413)
Menjawab persoalan di atas, pertamanya kami simpati atas pemergian ibu mertua anda. Keduanya, disebalik mimpi suami anda tentang pesanan ibunya itu, boleh jadi ia sebagai teguran agar suami anda menasihatkan kakak sulungnya agar kembali melaksanakan solat dan mentaati perintah Allah SWT. Hal ini kerana solat itu wajib dan perkara pertama yang akan disoal di akhirat kelak. Oleh itu, sebagai satu keluarga, hendaklah sentiasa menasihatkan untuk melaksanakan ibadat solat, sebagaimana firman Allah SWT:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا
Maksudnya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.”
(Surah Taha: 132)
Dalam ayat di atas, Allah SWT telah memerintahkan Nabi SAW untuk menyuruh ahli keluarga Baginda menunaikan solat, menunjukkan contoh (mengerjakan solat) kepada mereka dan bersabar dalam menunaikannya. Ayat ini diturunkan kepada Baginda, dan secara umumnya ia juga ditujukan kepada seluruh umatnya serta ahli keluarga Baginda secara khusus. Selepas turunnya ayat ini, Nabi SAW akan pergi ke rumah Fatimah R.Anha dan Ali R.A pada setiap pagi dan berkata: “Solatlah.” (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an, 11/263)
Imam al-Alusi menafsirkan perkataan ‘أَهْلَكَ’ dalam ayat ini dan berkata: “Ayat ini umum dan ditujukan kepada seluruh ahli keluarga.” (Lihat Ruh al-Ma’ani, 8/592)
Akhir kalam, semoga Allah mengurniakan kita pasangan dan keluarga yang soleh yang sentiasa menjaga solat dan mengamalkan syariat Islam. Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a’lam.