Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh perjelaskan sedikit berkenaan ayat Allah SWT yang menyebutkan hudud potong tangan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pensyari‘atan hudud potong tangan ini telah thabit berdasarkan firman Allah SWT:
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Ma’idah: 38)
Di dalam ayat di atas, Allah SWT mendatangkan perbincangan berkaitan satu lagi bentuk hukum hudud yang wajib dilaksanakan iaitu, memotong tangan terhadap mereka yang mencuri sekiranya telah cukup syarat-syarat yang ditentukan oleh syara‘. Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa hukuman hudud bagi pencuri adalah salah satu bentuk hukuman pada zaman Jahiliah yang kemudiannya diperakui oleh Islam. Antara hukuman lain pada zaman Jahiliah yang diperakui oleh Islam ialah Diyah dan Qasamah. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/757)
Syeikh Abu Bakar al-Jaza’iri Rahimahullah ketika menafsirkan ayat di atas beliau menyatakan bahawa sesiapa yang mencuri harta lebih daripada seperempat dinar atau lebih daripada itu dari harta simpanan yang disimpan, dan dia adalah seorang yang baligh dan berakal, maka dia akan dihadapkan kepada hakim. Yang demikian juga bagi pencuri wanita, maka hukumnya adalah dipotong tangan kanan pencuri itu dari pergelangan tangan, begitu juga dengan tangan pencuri wanita. Hukuman tersebut sebagai balasan atas kezaliman yang telah dilakukan kerana mencuri harta orang lain secara haram. Ini merupakan pembalasan dari Allah SWT bagi mereka dan menjadikan mereka sebagai iktibar agar orang lain tidak mencuri harta orang lain melalui jalan pencurian yang diharamkan. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/629)
Jika diperhatikan di dalam ayat ini, Allah SWT menyebutkan (وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ) yang merujuk kepada lelaki dan perempuan secara jelas, tanpa berpada dengan lafaz yang merujuk kepada lelaki sahaja tetapi aplikasinya umum kepada perempuan. Syeikh Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur mengatakan di dalam tafsir beliau al-Tahrir wa al-Tanwir (6/190), lafaz ‘lelaki’ dan ‘perempuan’ disebutkan agar hukuman ke atas pencuri ini tidak hanya dikhususkan bagi lelaki sahaja. Hal ini kerana orang Arab terdahulu menggugurkan kesalahan perempuan dan tidak menjatuhkan hukuman ke atas mereka. Maka terdapat keperluan untuk diisyaratkan secara jelas kepada lelaki dan perempuan, sebagaimana dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah:
الْحُرُّ بِالْحُرِّ وَالْعَبْدُ بِالْعَبْدِ وَالْأُنثَىٰ بِالْأُنثَىٰ
Maksudnya: “Orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan.”
(Surah al-Baqarah: 178)
Perbuatan mengambil hak orang lain ini mempunyai beberapa jenis, dan ianya bergantung kepada tanda-tandanya. Antaranya:
- Meragut: Tanda-tandanya adalah mangsa itu sedar dan tahu barangnya dicuri ketika kejadian, secara terang-terangan.
- Khianat: Orang yang berbuat khianat itu memperolehi hak orang lain dengan apa jua helah.
- Mencuri: Hak seseorang itu diambil tanpa pengetahuan pemiliknya, dan secara sembunyi-sembunyi. Dan jenis ketiga inilah – yakni mencuri – yang diwajibkan hukuman potong tangan ke atasnya. (Lihat al-Muharrar al-Wajiz, 2/188)
Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata ketika menafsirkan firman Allah SWT (جَزَاءً بِمَا كَسَبَا), ini sebagai balasan kepada kedua-dua pencuri lelaki dan pencuri perempuan atas pencurian yang mereka lakukan, yang mana ia merupakan suatu maksiat terhadap Allah SWT. Diriwayatkan daripada Qatadah, katanya: “Janganlah kamu berasa kesal ketika menjatuhkan hukuman hudud ke atas pencuri, demi Allah SWT, sesungguhnya Dia tidak akan memerintahkan sesuatu pun melainkan ianya baik, dan Dia tidak akan melarang dari sesuatu pun melainkan ianya buruk.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 10/297)
Manakala yang dimaksudkan dalam firman Allah SWT dengan kalimah (نَكَالًا), Imam Abu Bakar al-Jaza’iri mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah pembalasan dari Allah SWT yang boleh menjadikan orang lain menahan diri dari perbuatan mencuri. Imam Ibn Kathir pula menyebutkan, yang dimaksudkan agar hukuman ini menjadi pengajaran dari Allah SWT buat kedua-dua pencuri lelaki dan pencuri perempuan atas perbuatan mereka itu. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/629; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/100)
Pada akhirnya, Allah SWT menutup ayat ini dengan firman-Nya (وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ), yang mana bermaksud Allah SWT jualah yang Maha Kuasa dalam meletakkan suatu pembalasan, serta Dia jualah yang Maha Bijaksana dalam segala perintah, larangan, pensyari‘atan dan ketentuan-Nya. (Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/100)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Wallahu a‘lam