Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum dalam situasi Gaza dibom dan diserang (Oktober 2023) kita membantu dan memberi zakat kepada mereka? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, para ulama berselisih pendapat mengenai keharusan memindahkan zakat dari negara di mana harta tersebut berada ke negara lain kepada beberapa pendapat.
Pendapat pertama, ulama Syafi‘iyyah dan Hanabilah tidak membolehkan zakat dipindahkan ke negara lain yang jaraknya membolehkan untuk diqasarkan solat. Syeikh Abdullah al-Bassam menambah, dua marhalah di sisi mereka adalah sekitar 48 mil (batu).
Dalil mereka adalah hadith Mu‘az R.A ketika Nabi SAW mengutusnya ke Yaman — lalu dinyatakan di dalamnya:
فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ
Maksudnya: “Maka sampaikanlah kepada mereka bahawa Allah SWT telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) pada harta-harta mereka, yang diambil daripada orang-orang kaya dalam kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin dalam kalangan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (1395)
Orang-orang miskin (الفقراء) di sini merujuk kepada penduduk negara di mana harta tersebut berada dan begitu juga di mana orang kaya (yang diambil zakatnya) berada.
Pendapat kedua, ulama Malikiyyah juga melarang memindahkan zakat ke jarak yang melebihi jarak perjalanan yang membolehkan mengqasarkan solat, kecuali bagi mereka yang memerlukan zakat tersebut di selain negara di mana harta itu berada.
Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, ketiga-tiga mazhab bersepakat tentang keharusan untuk memindahkan zakat pada jarak yang kurang daripada perjalanan yang membolehkan mengqasarkan solat kerana apa yang seperti itu mengambil hukum penduduk negara di mana zakat dikeluarkan.
Pendapat ketiga, ulama Hanafiyyah berpendapat bahawa makruh memindahkan zakat selagi mana pemindahan tersebut bukan kerana suatu maslahah seperti kepada kaum kerabat.
Ini adalah pendapat yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di mana beliau berpendapat diharuskan memindahkan zakat untuk kepentingan syariah (maslahah syar‘iyyah).
Dalil orang yang membenarkan pemindahan zakat adalah di antaranya, perkataan “orang miskin” (الفقراء) dalam hadith Mu‘az bukanlah khusus untuk penduduk negara atau tempat itu sahaja, akan tetapi ia adalah bersifat umum bagi semua orang miskin. Keduanya, Nabi SAW biasanya mengutus pemungut zakat untuk mengumpulkan zakat dari daerah-daerah terpencil ke kota Madinah, di mana zakat tersebut dibagikan kepada orang-orang miskin di sana.
Jumhur ulama (termasuklah mereka yang tidak membenarkan pemindahan zakat) menyebutkan, jika seseorang tetap memindahkan zakatnya, maka itu sudah memadai (dianggap sah) dan dia telah memenuhi kewajipannya. Hal ini juga adalah sebagaimana dinukilkan oleh al-Imam al-Muwaffaq dalam kitabnya, al-Mughni. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/310).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat dengan mencadangkan bahawa jika jumlah zakat itu besar, bayar dan berilah kepada majlis agama Islam negeri masing-masing terlebih dahulu. Kemudian, kalau ada sejumlah wang yang diberikan kepada kita oleh pihak berkuasa zakat untuk diagihkan sendiri kepada asnaf melalui skim khas berupa wakalah agihan kepada para pembayar zakat untuk membayar sendiri kepada asnaf, maka berikanlah kepada Palestin. Inilah yang menurut kami lebih baik kerana meraikan kedua-dua pihak yang tidak dapat dinafikan lagi kedua-duanya sangat memerlukan kepada zakat tersebut.
Walaupun begitu, dalam situasi sekarang (sejak 7 Oktober sehingga ke saat ini ditulis 16 November 2023), peperangan yang sudah hampir 40 hari jelas menunjukkan kepada kita rakyat Gaza sedang bertarung dengan satu kuasa yang terkenal dengan brutal dan jahat. Justeru, kami berpendapat, mereka perlu diberi bantuan seupaya mungkin melalui zakat, infaq, atau apa cara sekalipun.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
Riwayat al-Bukhari (6393)
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)