Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Berapakah kadar nisab unta yang wajib zakat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan menjelaskan terlebih dahulu secara ringkas berkenaan unta. Unta ialah sejenis binatang besar yang lehernya panjang, kuku berbelah dan belakangnya berbonggol satu atau dua.[1] Menurut Ensiklopedia Dunia, unta ialah haiwan gurun yang besar dan kuat. Ia boleh bergerak jauh merentas gurun yang panas, kering dengan sedikit air dan makanan. Ia mudah berjalan di atas padang pasir yang lembut yang tidak dapat dilalui oleh trak, dan membawa manusia dan muatan berat ke tempat yang tiada jalan raya. Unta juga berguna kepada manusia di gurun dalam banyak cara. Unta tingginya dari 1.8 meter hingga lebih sedikit daripada 2 meter pada paras bahu dan beratnya dari 250 hingga 680 kilogram. Ekornya yang seperti tali panjangnya lebih daripada 50 sentimeter. Unta kelihatan lebih besar daripada saiz sebenar kerana bulunya yang tebal, yang berwarna perang, dari hamper putih hingga hamper hitam.
Unta membawa bekalan makanannya sendiri dalam bonggol di atas belakangnya. Bonggol iniadalah ketulan lemak yang membekalkan tenaga sekiranya makanan sukar didapati. Terdapat dua jenis utama unta: (1) unta Arab, yang juga dikenali sebagai dromedary, yang mempunyai satu bonggol, dan (2) unta Bactria, yang mempunyai dua bonggol. Pada masa dahulu, kacukan daripada kedua-dua jenis ini banyak digunakan di Asia. Unta kacukan ini mempunyai satu bonggol yang lebih panjang, lebih besar dan lebih kuat daripada unta induknya. Unta telah dijadikan haiwan bela jinak sejak beribu-ribu tahun lamanya. Unta Arab mungkin pernah hidup liar di Tanah Arab, tetapi kini ia tidak lagi hidup liar. Terdapat beberapa juta unta Arab, dan kebanyakannya hidup bersama mereka yang tinggal di gurun di Afrika dan Asia. Unta Bactria awal dipercayai hidup di Mongolia dan Turkestan, yang dikenali sebagai Bactria pada zaman dahulu. Beberapa ratus unta Bactria liar masih berkeliaran di sesetengah bahagian Mongolia dan lebih daripada sejuta unta Bactria yang dibela jinak, hidup di Asia.
Berjuta-juta orang yang tinggal di Afrika dan Asia bergantung pada unta untuk membekalkan kebanyakan keperluan mereka. Di kawasan di pinggir gurun, unta menarik bajak, menggerakkan kincir air untuk mengairi ladang, dan mengangkut bijian ke pasar. Jauh di gurun, unta adalah satu-satunya sumber pengangkutan, makanan, pakaian dan perlindungan. Sebaliknya, unta memerlukan bantuan manusia untuk mengambil air dari telaga supaya ia boleh hidup pada musim panas. Unta bekerja keras untuk manusia, tetapi kelakuannya tidak boleh diramal. Unta Bactria boleh meludahi manusia, dan semua unta boleh menendang. Unta boleh menjerit dan memekik apabila dibebani muatan dan ketika hendak berdiri. Tetapi unta biasanya membawa muatan sehingga 150 kilogram selama lapan jam. Ia boleh membawa muatan lebih berat tetapi melakukannya dengan tidak rela. Biasanya unta bekerja hanya enam bulan dalam setahun. Sekiranya tenaganya digunakan berlebihan, unta akan mati.
Unta adalah sumber makanan yang penting di gurun. Manusia memakan daging unta muda, walaupun daging ini sangat liat. Manusia mencairkan lemak daripada bonggol unta untuk dibuat mentega. Manusia meminum susu unta, dan membuat keju daripada susu ini. Unta juga membekalkan bulu dan kulit untuk dibuat pakaian dan sebagai perlindungan. Pemilik unta menenun bulu unta yang lembut, lebat untuk dijadikan kain yang halus dan selimut. Bulu unta Bactria yang panjang sesuai ditenun menjadi kain. Orang Arab menggunakan kain ini untuk dibuat pakaian dan juga dibuat khemah. Kain bulu unta dijual di banyak bahagian di dunia untuk dibuat selimut, kot dan sut. Kulit unta yang kuat, liat sesuai dibuat kasut, beg, dan pelana. Tulang unta yang dikeringkan boleh diukir seperti gading untuk dibuat barang kemas dan perkakas. Najis unta pula dikeringkan dan digunakan sebagai bahan api. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 22/278-280).
Nisab Unta yang Wajib Zakat
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebagaimana yang diketahui bahawa di sana terdapatnya zakat binatang ternakan atau dipanggil sebagai zakah al-An‘am (زكاة الأنعام). Perkataan al-An‘am ialah kata jamak kepada al-Na‘am sama ada jantan atau betina serta ia merujuk kepada unta, lembu dan kambing. Firman Allah SWT:
وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهَا وَلَكُمْ فِيهَا مَنَافِعُ كَثِيرَةٌ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.”
(Surah al-Mukminun: 21)
Zakat wajib dikeluarkan daripada unta, lembu dan kambing kerana banyak manfaatnya, dan zakat dikira berdasarkan bilangan dan keturunannya. Kewajipan zakat haiwan ternakan ini telah ditegaskan dalam hadith-hadith yang sahih. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/37).
Kemudian, berkenaan nisab unta yang wajib zakat, terdapat riwayat daripada Anas bin Malik R.A, Abu Bakar R.A menulis kepadanya surat panduan ini tatkala beliau mengutusnya ke Bahrain untuk memungut zakat sebagaimana berikut:
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِي فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الـمُسْلِمِينَ، وَالَّتِي أَمَرَ اللَّهُ بِهِ رَسُولَهُ، فَمَنْ سُئِلَهَا مِنَ المُسْلِمِينَ عَلَى وَجْهِهَا، فَلْيُعْطِهَا وَمَنْ سُئِلَ فَوْقَهَا فَلاَ يُعْطِ فِي أَرْبَعٍ وَعِشْرِينَ مِنَ الإِبِلِ، فَمَا دُونَهَا مِنَ الغَنَمِ مِنْ كُلِّ خَمْسٍ شَاةٌ إِذَا بَلَغَتْ خَمْسًا وَعِشْرِينَ إِلَى خَمْسٍ وَثَلاَثِينَ، فَفِيهَا بِنْتُ مَخَاضٍ أُنْثَى، فَإِذَا بَلَغَتْ سِتَّةٌ وَثَلاَثِينَ إِلَى خَمْسٍ وَأَرْبَعِينَ فَفِيهَا بِنْتُ لَبُونٍ أُنْثَى، فَإِذَا بَلَغَتْ سِتًّا وَأَرْبَعِينَ إِلَى سِتِّينَ فَفِيهَا حِقَّةٌ طَرُوقَةُ الجَمَلِ، فَإِذَا بَلَغَتْ وَاحِدَةً وَسِتِّينَ إِلَى خَمْسٍ وَسَبْعِينَ، فَفِيهَا جَذَعَةٌ فَإِذَا بَلَغَتْ يَعْنِي سِتَّةٌ وَسَبْعِينَ إِلَى تِسْعِينَ، فَفِيهَا بِنْتَا لَبُونٍ فَإِذَا بَلَغَتْ إِحْدَى وَتِسْعِينَ إِلَى عِشْرِينَ وَمِائَةٍ، فَفِيهَا حِقَّتَانِ طَرُوقَتَا الجَمَلِ، فَإِذَا زَادَتْ عَلَى عِشْرِينَ وَمِائَةٍ، فَفِي كُلِّ أَرْبَعِينَ بِنْتُ لَبُونٍ وَفِي كُلِّ خَمْسِينَ حِقَّةٌ، وَمَنْ لَمْ يَكُنْ مَعَهُ إِلَّا أَرْبَعٌ مِنَ الإِبِلِ، فَلَيْسَ فِيهَا صَدَقَةٌ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ رَبُّهَا، فَإِذَا بَلَغَتْ خَمْسًا مِنَ الإِبِلِ، فَفِيهَا شَاةٌ
Maksudnya: “Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Ini adalah kewajiban sedekah yang telah diwajibkan oleh Rasulullah SAW atas kaum Muslimin, juga yang diperintahkan Allah kepada Rasul-Nya. Maka barangsiapa daripada kaum Muslimin diminta untuk memberikannya sebagaimana mestinya maka hendaklah dia berikan. Dan barangsiapa diminta yang lebih dari itu maka janganlah dia berikan. Setiap 24 ekor unta atau kurang, maka zakatnya berupa kambing, iaitu untuk setiap lima ekor unta zakatnya adalah seekor kambing. Jika untanya sudah mencapai 25 hingga 35 ekor, maka zakatnya seekor bintu makhadh. Jika jumlah unta tersebut mencapai 36 hingga 45 ekor maka zakatnya bintu labun. Jika mencapai jumlah 46 hingga 60 ekor maka zakatnya satu ekor hiqqah yang sudah boleh dikahwini oleh unta jantan. Jika jumlahnya sudah sampai 61 hingga 75 ekor maka zakatnya satu ekor jaza‘ah. Apabila jumlahnya mencapai 76 hingga 90 ekor, maka zakatnya dua ekor bintu labun. Jika jumlahnya telah mencapai 91 hingga 120 ekor, zakatnya dua ekor hiqqah yang sudah boleh mengawan dengan unta jantan. Dan jika lebih daripada 120 ekor, maka setiap 40 ekor zakatnya ialah seekor bintu labun dan setiap 50 ekor zakatnya adalah seekor hiqqah. Jika dia tidak mempunyai unta kecuali hanya empat ekor, maka dia tidak diwajibkan untuk membayar zakat kecuali jika dia mahu bersedekah. Apabila jumlah untanya telah mencapai lima ekor, maka zakatnya adalah seekor kambing.”
Riwayat al-Bukhari (1454)
Begitu juga terdapat hadith lain menyatakan bahawa tidak diwajibkan zakat ke atas unta yang kurang daripada lima ekor. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسَةِ أَوْسُقٍ مِنَ التَّمْرِ صَدَقَةٌ، وَلَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسِ أَوَاقٍ مِنَ الوَرِقِ صَدَقَةٌ، وَلَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسِ ذَوْدٍ مِنَ الإِبِلِ صَدَقَةٌ
Maksudnya: “Tidak wajib zakat ke atas kurma yang kurang daripada lima wasaq, dan tidak wajib juga zakat ke atas perak yang kurang daripada lima awaq, dan tidak wajib juga zakat ke atas unta yang kurang daripada lima ekor.”
Riwayat al-Bukhari (1459)
Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, dalam al-Fiqh al-Manhaji (2/34-36) dinyatakan bahawa nisab unta bermula dengan lima ekor. Justeru, zakat tidak wajib jika bilangannya kurang daripada itu. Apabila bertambah bilangannya, maka bertambahlah kadar zakatnya, sesuai dengan kaedah berikut:
- Nisab 5-9 ekor, kadar yang diwajibkan, seekor kambing (biri-biri — dha’nun — berumur setahun, atau kambing — ma‘iz — berumur dua tahun).
- Nisab 10-14 ekor, kadar yang diwajibkan, dua ekor kambing (biri-biri — dha’nun — berumur setahun, atau kambing — ma‘iz — berumur dua tahun).
- Nisab 15-19 ekor, kadar yang diwajibkan, tiga ekor kambing (biri-biri — dha’nun — berumur setahun, atau kambing — ma‘iz — berumur dua tahun).
- Nisab 20-24 ekor, kadar yang diwajibkan, empat ekor kambing (biri-biri — dha’nun — berumur setahun, atau kambing — ma‘iz — berumur dua tahun).
- Nisab 25-35 ekor, kadar yang diwajibkan, Bintu Makhadh (Seekor unta setahun masuk dua tahun).
- Nisab 36-45 ekor, kadar yang diwajibkan, Bintu Labun (Seekor unta dua tahun masuk tiga tahun).
- Nisab 46-60 ekor, kadar yang diwajibkan, Hiqqah (Seekor unta betina tiga tahun masuk empat tahun).
- Nisab 61-75 ekor, kadar yang diwajibkan, Jaza‘ah (Seekor unta betina empat tahun masuk lima tahun).
- Nisab 76-90 ekor, kadar yang diwajibkan, dua ekor Bintu Labun (Unta dua tahun masuk tiga tahun).
- Nisab 91-120 ekor, kadar yang diwajibkan, dua ekor Hiqqah (Unta betina tiga tahun masuk empat tahun).
- Jika bilangan unta lebih daripada 120 ekor, setiap 40 ekor: seekor Bintu Labun dan setiap 50 ekor: seekor Hiqqah.
Misalnya: Jika bilangan unta 170 ekor dan genap setahun:
Zakat yang wajib adalah tiga ekor Bintu Labun dan seekor Hiqqah. Hal ini kerana 170 ekor unta bersamaan dengan 3 (Bintu Labun) x 40 dan 1 (Hiqqah) x 50.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Nota kaki:
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=unta. Diakses pada 14 November 2023.