#4160: Memakan Daging Kerbau

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah ustaz sebutkan hujah berkenaan keharusan memakan kerbau. Adakah kerana ia termasuk dalam jenis lembu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmat-Nya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499).

Definisi Kerbau

Kami mulakan dengan menjelaskan terlebih dahulu secara ringkas berkenaan kerbau. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kerbau ialah  sejenis binatang peliharaan (seakan-akan lembu rupanya tetapi lebih besar dan kulitnya biasanya berwarna kelabu atau kehitam­-hitaman).[1]

Secara ringkasnya, kerbau ialah nama biasa bagi beberapa jenis lembu jantan liar yang besar. Nama ini mula-mula diberi kepada kerbau air hitam di India. Haiwan yang besar ini dinamakan demikian kerana ia suka berendam dalam air berjam-jam pada satu-satu masa. Dalam keadaan liar kerbau air mungkin berbahaya. Tetapi kerbau air liar jarang-jarang terdapat kerana manusia memburunya dan memungar habitat hutannya untuk dijadikan ladang. Kerbau air bela jinak digunakan sebagai halwan beban di kebanyakan bahagian yang lebih panas di Asia dan Afrika. Karabao ialah jenis kerbau air yang kecil di Filipina.

Di Australia, kerbau air berkeliaran liar di Wilayah Utara. Terdapat kumpulan yang besar di kawasan di antara sungai Adelaide dan sungai Alligator. Kerbau mula mula diimport ke Australia dari Pulau Timor pada tahun 1820 an oleh Maurice Barlow, komandan di Fort Dundas, Pulau Melville. Kerbau hitam liar yang dikenali sebagai tamarau, hidup di hutan tebal di Pulau Mindoro di Filipina. Kerbau kecil ini tingginya kira-kira satu meter, Anoa ialah jenis kerbau hutan yang lebih kecil, hidup di Pulau Sulawesi, Indonesia. Haiwan ini agak jarang jarang ditemui dan dikelaskan sebagai spesies terancam.

Kerbau liar juga hidup di Afrika. Kerbau Cape di Afrika Selatan ialah haiwan besar, berwarna hitam dan perengus seperti kerbau India. la menyerupai kerbau India, dari segi tabiatnya, tetapi tidak pernah dijinakkan. Satu lagi kerbau liar berkaitan dengan kerbau cape, hidup di kawasan berhutan di barat dan tengah Afrika. Satu jenis kerbau ini hidup di kawasan Congo. Seperti tamarau tingginya hanya kira-kira satu meter. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj, DBP, 10/708-709).

Namun, spesies kerbau yang biasanya dikenali dalam kalangan masyarakat kita dipanggil sebagai kerbau air. Ia tergolong dalam subfamili Bovinae, dalam famili bovid, Bovidae. Kerbau air India ialah Bubalus bubalis. Pada asalnya, beberapa jenis lembu jantan liar mungkin dinamakan kerbau. Sesetengahnya ini telah dibelajinakkan, dan paling berguna antara kesemua haiwan ternakan. Kerbau air di India adalah satu daripada lembu liar yang terbesar. Kerbau air jantan biasanya setinggi 1.5 hingga dua meter dan tanduknya membesar dari hujung ke hujung sepanjang 3.7 meter sepanjang lengkungannya. Tanduknya melengkung keluar dan ke belakang untuk membentuk hampir satu bulatan dan bersisi tiga. Kerbau air India berwarna hitam kebiruan dan mempunyai bulu yang nipis. Kerbau air liar India meragut rumput dalam kumpulan kira-kira 50 ekor. Kerbau liar dan kerbau belajinak mempunyai deria bau yang amat tajam.

Kerbau air gemar berkubang dalam lumpur dan air pada sebahagian besar hari siang. Ia adalah garang apabila hidup liar dan kerbau air dikatakan menjadi lawan kepada seekor singa atau harimau yang besar. Kerbau air India telah lama digunakan di sawah padi di Asia dan boleh membajak sawah padi yang luas. Haiwan yang kuat ini boleh membajak tanah sawah separas lutut dalam lumpur. Kerbau air India juga telah dibawa ke banyak bahagian lain di dunia, termasuk Mesir, Hungary, Itali, Filipina, Sepanyol, dan Indonesia. Pada tahun 1820-an, kerbau air telah diperkenalkan dari Indonesia sebagai haiwan bela jinak ke Wilayah Utara di Australia. Kini, terdapat lebih daripada 200 000 kerbau ini yang hidup liar di wilayah tersebut. la diburu sebagai satu kegiatan dan untuk daging dan kulitnya. la juga ditangkap dan dipelihara di ladang. Kulit kerbau air adalah liat dan tebal, dan menghasilkan kulit yang baik. Susu kerbau air berkhasiat dan mempunyai lebih lemak daripada lembu ternakan. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj, DBP, 10/711).

Hukum memakan kerbau

Mengenai hal ini, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal (yakni dalam menentukan status halal) bagi suatu haiwan darat itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Oleh itu, kami berpendapat bahawa daging kerbau adalah halal dimakan. Lebih-lebih lagi, kerbau bukanlah tergolong dalam kategori haiwan pemangsa yang memburu mangsanya sebagai makanan seperti singa, harimau dan lain-lain. Akan tetapi kerbau merupakan haiwan herbivor yang hanya makan tumbuh-tumbuhan.

Selain itu, sebahagian kerbau sudah dibela jinak sebagai haiwan ternakan dan sebahagiannya lagi adalah liar. Keadaannya adalah sama seperti lembu, yang mana ada sebahagiannya dibelajinak sebagai haiwan ternakan dan ada sebahagiannya hidup liar. Bahkan menurut para ulama kerbau dihukumkan sebagaimana hukum lembu kerana ia termasuk dalam keluarga lembu (Bovidae). Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan daripada Ibn al-Munzir yang menyebutkan, para ulama telah berijma‘ (bersepakat) bahawa hukum kerbau-kerbau adalah sebagaimana hukum lembu. (Lihat al-Ijma‘, hlm. 45).

Syeikh Abdullah al-Bassam menyatakan, al-Baqar ialah nama sejenis kumpulan lembu yang meliputi lembu jantan dan betina. Ahli zoologi berpendapat bahawa Baqar (البقر) ialah sejenis keluarga baqariyyat (Bovidae) yang merangkumi lembu jantan dan kerbau. Begitu juga istilah ini boleh digunakan untuk kedua-dua haiwan jantan dan betina, termasuk ternakan ternakan dan liar. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/297).

Begitu juga Ibn Qudamah turut menyebutkan, hukum kerbau adalah sebagaimana hukum lembu, tidak ada khilaf dalam hal ini sebagaimana yang kami ketahui. Bahkan Ibn al-Munzir menukilkan, setiap ulama yang diambil ilmu daripadanya telah menyatakan ijma‘ mengenai perkara ini. (Lihat al-Mughni, 2/444).

Tambahan lagi, pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan bahawa antara binatang yang halal dimakan ialah binatang ternakan (الأنعام), iaitu unta, lembu, biri-biri, kambing, kuda, seladang, keldai liar, kijang, arnab dan lain-lain, yang dianggap elok oleh orang Arab, yang kemudiannya diakui halal oleh syarak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/68).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat jelaslah bahawa kerbau dan jenis-jenisnya adalah termasuk dalam haiwan yang halal dimakan tanpa syak lagi. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis dan keluarga lembu (Bovidae). Atas dasar itu, apa-apa hukum yang berkaitan dengan lembu juga terpakai kepada kerbau.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kerbau. Diakses pada 13 November 2023.