#4161: Isteri Meminta Suami Cepat Pulang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Menjadi suatu kebiasaan, apabila suami hendak pergi kerja, isteri akan berpesan atau meminta suaminya segera pulang apabila kerja sudah selesai. Soalannya, apakah hukum seorang isteri meminta suaminya agar segera atau cepat pulang selepas selesai kerja? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sesungguhnya, perkahwinan merupakan perkongsian hidup antara suami dan isteri dalam mencapai kehendak fitrah dan mardhatillah. Ia merupakan tanda kekuasaan Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Imam al-Qurtubi menyabutkan, yang dimaksudkan dengan kalimah al-mawaddah dan al-rahmah adalah, perasaan yang menghubungkan di antara satu sama lain (suami dan isteri). Ibn Abbas R.Anhuma menafsirkan al-mawaddah sebagai perasaan cinta seorang suami kepada isterinya. Manakala al-rahmah pula bererti perasaan belas ehsan seorang lelaki daripada mendatangkan keburukan kepada isterinya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/14).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa seseorang isteri meminta suaminya agar segera atau cepat pulang kerja jika pekerjaannya itu sudah selesai hukumnya adalah dibolehkan. Tidak menjadi masalah bagi seorang isteri untuk berpesan kepada suaminya agar segera pulang kerja, tidak kira kerana suatu kecemasan, risau atau sebab-sebab lain.

Apatah lagi, dalam Islam, suami dinasihatkan supaya segera pulang ke rumah apabila selesai urusan kerja dan urusan di luar rumah. Suami tidak digalakkan untuk melengahkan pulang ke rumah dengan urusan yang tidak penting. Atas dasar itu, sekiranya suami selalunya pulang lewat, maka tiada masalah bagi isteri untuk mengingatkan suaminya agar segera pulang apabila kerjanya di luar rumah sudah pun selesai.

Dalam hal ini juga terdapat beberapa hadith yang menganjurkan agar suami segera pulang ke rumah apabila kerja di luar rumah selesai. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنَ العَذَابِ، يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَنَوْمَهُ، فَإِذَا قَضَى نَهْمَتَهُ، فَلْيُعَجِّلْ إِلَى أَهْلِهِ

Maksudnya: “Permusafiran itu adalah satu bahagian daripada azab. Ia menghalang makan, minum dan tidur seseorang daripada kamu. Oleh itu, apabila dia telah menyelesaikan urusannya, hendaklah dia segera kembali kepada keluarganya.

Riwayat al-Bukhari (1804) dan Muslim (1927)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, maksudnya adalah dianjurkan (sunat) untuk segera kembali kepada keluarganya selepas menyelesaikan semua kesibukannya (tugasan atau pekerjaan) dan tidak menunda atau melewat-lewatkannya (kepulangan tersebut) dengan sesuatu yang tidak penting — yakni sesuatu yang bukan tujuan permusafiran tersebut. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/70)

Bukan itu sahaja, sebahagian ulama menghukumkan sebagai makruh jika dia sengaja melambat-lambatkan kepulangannya ke rumah bagi menemui ahli keluarganya dengan melakukan sesuatu yang bukan tujuan permusafirannya.

Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani bahawa hadith ini menunjukkan kepada makruhnya meninggalkan ahli keluarga tanpa sebarang keperluan dan digalakkan (sunat) untuk segera pulang (selepas selesai urusan/tugasan), lebih-lebih lagi jika dikhuatiri sepanjang peninggalannya itu akan menyia-nyiakan ahli keluarganya. Tambahan lagi, segera pulang dan tinggal bersama ahli keluarga akan memberikan rasa tenang atau kelapangan yang dapat mengekalkan kemaslahatan agama dan dunia. (Lihat Fath al-Bari, 3/623).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa atau tidak menjadi masalah bagi seorang isteri untuk berpesan dan mengingatkan suaminya agar segera pulang ke rumah setelah selesai urusan pekerjaannya.

Begitu juga bagi suami dianjurkan atau disunatkan untuk segera pulang ke rumah bagi menemui ahli keluarga setelah selesai urusan pekerjaan dan urusannya di luar rumah. Malah sebahagian ulama menghukumkan sebagai makruh bagi suami yang sengaja melambat-lambatkan pulang bagi menemui ahli keluarganya dengan sesuatu yang tidak penting yang tidak berkaitan dengan urusan pekerjaannya atau sebab permusafirannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)