#4163: Mendedahkan Aib Rumahtangga

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum menceritakan hubungan suami isteri kepada orang lain? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. Sesungguhnya apa yang telah disebutkan itu, terdapat tanda-tanda yang menunjukkan kepada kekuasaan Allah SWT bagi mereka yang mahu berfikir mengenai ciptaan-Nya, pengaturan-Nya, kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Namun, Islam amat menitik beratkan soal kehormatan dan maruah suami isteri. Terdapat sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً، وَالحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Iman mempunyai lebih daripada 60 cabang dan malu itu merupakan salah satu cabang daripada iman.”

Riwayat al-Bukhari (9); Muslim (35)

Syeikh Mustafa al-Bugha ketika mengulas hadith ini, menyebutkan bahawa malu itu ialah satu sifat yang ada dalam diri manusia dan sifat tersebut akan mendorong manusia untuk melakukan perkara-perkara terpuji serta meninggalkan apa yang dicela dan mengaibkan. (Lihat Sahih al-Bukhari, 1/11)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa segala rahsia rumahtangga hendaklah dirahsiakan dari pengatahuan orang lain khususnya dalam bab hubungan sejenis. Ini bagi menjaga kehormatan suami isteri yang tidak patut didedahkan kepada orang ramai. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إنَّ مِن أَشَرِّ النّاسِ عِنْدَ اللهِ مَنْزِلَةً يَومَ القِيامَةِ، الرَّجُلَ يُفْضِي إلى امْرَأَتِهِ، وَتُفْضِي إِلَيْهِ، ثُمَّ يَنْشُرُ سِرَّها

Maksudnya: Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang lelaki menyetubuhi isterinya dan isterinya juga menyetubuhinya. Kemudian suami menyebarkan rahsianya.

Riwayat Muslim(1437)

Apa yang dapat difahami melalui hadith ini adalah sepertimana berikut:

  • Suami bersama isterinya memiliki rahsia hubungan di antara mereka, rahsia ini kebanyakannya adalah pergaulan yang berlaku antara pasangan itu semasa hubungan seksual, atau masalah-masalah yang berkaitan dengan organ persenyawaan. Mereka tidak menyukainya jika ada orang lain mengetahuinya
  • Rasulullah SAW menggambarkan orang yang mengkhianati kepercayaan salah seorang pasangan, dan membiarkan orang lain mengetahui hal-hal yang berlaku antara dia dan pasangannya dalam situasi itu, atau kelemahan yang dilihatnya dari pasangannya, adalah sebagai orang yang paling jahat di sisi Allah Taala dan yang paling rendah martabatnya.
  • Hadith ini menunjukkan pengharaman menyebarkan rahsia rumahtangga antara suami isteri kerana barangsiapa yang menyebarkan rahsia pasangannya maka dia adalah seburuk-buruk manusia di sisi Allah SWT. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/356-357)

Al-Nawawi menyatakan bahawa: Dalam hadis ini menunjukkan larangan mendedahkan perkara yang berlaku antara seorang suami dan istrinya dalam hal pergaulan, serta sesuatu yang dikatakan atau dilakukan oleh wanita dalam perkara tersebut. (Lihat Syarh Muslim,10/9)

Justeru kami katakan di sini bahawa mendedahkan aib pasangan adalah tidak dibolehkan. Ini kerana ia melibatkan aib dan maruah pasangan yang wajib dijaga dan tidak boleh disebarkan. Hadith di atas telah jelas menyatakan bahawa seburuk-buruk manusia di sisi Allah adalah orang yang menyebarkan aib pasangannya. Oleh yang demikian menyebarkan aib pasangan adalah haram di sisi syara’

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahua’lam