#4164: Bergaul dan Berinteraksi Dengan Isteri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apa cara terbaik berinterkasi dan bergaul  dengan isteri ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

#41وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. Sesungguhnya apa yang telah disebutkan itu, terdapat tanda-tanda yang menunjukkan kepada kekuasaan Allah SWT bagi mereka yang mahu berfikir mengenai ciptaan-Nya, pengaturan-Nya, kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan seorang suami hendaklah melayani isterinya dengan sebaik mungkin baik dari segi percakapan, perbuatan dan sebagainya. Allah memerintahkan suami untuk berlaku baik terhadap isteri sebagaimana firman-Nya:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Syeikh al-Maraghi menyatakan dalam tafsirnya: “Pada kalimah mu`asyarah terdapat makna pergaulan dan kesamarataan, iaitu hendaklah kamu orang lelaki bergaul dengan mereka secara ma`ruf (baik) dan mereka juga hendaklah bergaul dengan kamu dengan baik juga. Maka wajib setiap pasangan itu mendatangkan kegembiraan dan senang hati kepada pasangan yang satu lagi dan menjadikan diri sebagai sebab bagi kelembutan dan kebahagian dalam kehidupan dan tempat tinggal bersama. (Lihat Tafsir al-Maghari,hlm.213-214)

Wajib ke atas suami isteri saling bergaul dengan cara yang baik. Seumpama mengelakkan daripada perkara yang tidak disukai oleh pasangannya, menyempurnakan hak dan saling meredhai antara satu sama yang lain serta saling menggembirakan dengan tidak mendatangkan sesuatu hajat yang membebankan pasangan melainkan perkara-perkara asas, pembiayaan nafkah  dan seumpamanya”. (Lihat I’anah al-Talibin, 3/421)

Diriwayatkan daripada daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا؛ فَإِنَّهُنَّ خُلِقْنَ مِنْ ضِلَعٍ، وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلاَهُ، فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ، وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ، فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا».

Maksudnya: Terimalah pesananku untuk berbuat baik terhadap wanita; sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk, dan sesungguhnya tulang yang paling bengkok pada rusuk ialah bahagian atasnya, jika engkau berusaha untuk meluruskannya dengan kasar, nescaya engkau akan mematahkannya, dan jika engkau meninggalkannya nescaya ia akan tetap dalam keadaan bengkok; maka terimalah pesananku untuk berbuat baik terhadap wanita.”

Riwayat Bukhari(5186)

Dapat difahami melalui hadith ini adalah Rasulullah SAW telah memberi wasiat agar berbuat baik kepada wanita dalam khutbahnya pada  Haji Wada’. Ketika Rasulullah SAW bersada: “sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk, dan sesungguhnya tulang yang paling bengkok pada rusuk ialah bahagian atasnya” . Ia menunjukkan tabiat dan penciptaan mereka. Ini adalah nasihat dan suruhan untuk mempertimbangkan situasi meraka dan bersabar terhapnya. Oleh yang demikian Rasulullah SAW bersabda: “jika engkau berusaha untuk meluruskannya dengan kasar, nescaya engkau akan mematahkannya, dan jika engkau meninggalkannya nescaya ia akan tetap dalam keadaan bengkok; maka terimalah pesananku untuk berbuat baik terhadap wanita.”

Yang demikian merupakan penerangan dan, gambaran yang indah, serta nasihat mulia dari baginda SAW. Beliau menetapkan posisi seorang lelaki terhadap istrinya, untuk berinteraksi dengannya dengan hikmah, belas kasihan,dan berkelakukan baik terhadap isteri.

Apabila kita merenungkan hukum-hukum Islam yang lurus, adab-adabnya, dan wasiat-wasiatnya yang mulia, kita akan menemukan di antara sifat-sifat mulia Islam adalah sikap ihsan. Ia membuat diri merasakan kasih sayang terhadap kesejahteraan umat manusia, terutama mereka yang memiliki hak-hak, baik mereka adalah Muslim, saudara seagama, tetangga, atau yang lain yang memiliki hubungan dan ikatan kemanusiaan. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/351)

Justeru kami katakan di sini bahawa, seorang suami hendaklah berlaku baik terhadap isteri dalam berinteraksi dan bergaul dengan isteri seperti mengelak daripada perkara yang tidak disukainya, belas kasihan dan saling meredhai antara satu sama lain. Rasulullah SAW merupakan ikon dan contoh yang terbaik untuk kita ikuti kerana Rasulullah SAW adalah yang terbaik dalam melayani keluarga Baginda.

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِي

Maksudnya: “Sebaik-baik kamu semua adalah yang berbuat baik kepada ahli keluarganya dan aku merupakan yang terbaik dalam melayan ahli keluargaku.”

Riwayat Ibn Majah (1977), Riwayat al-Tirmizi (3895)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam