#4166:  Dalil Menyebut Takbir Intiqalat Antara Rukun

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum dan dalil menyebut takbir intiqalat di antara rukun? 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya kita diperintahkan untuk mendirikan solat sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Malik bin al-Huwairith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وصَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.

Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Ringkasnya, takbiratul intiqal ialah takbir yang diucapkan ketika perpindahan antara rukun melainkan apabila bangkit daripada rukuk tidak disunatkan untuk bertakbir akan tetapi mengucapkan “سَمِعَ اللهُ لِمَن حَمِدَه، رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمِدُ” sebagai gantinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/153).

Di antara hikmah disyariatkan bertakbir ketika turun dan naik (dalam pergerakan solat) adalah kerana seorang mukallaf diperintahkan untuk berniat pada awal solatnya yang diikuti dengan bertakbir. Maka menjadi haknya untuk dia berpada dengan niat tersebut (mengiringinya) sehingga akhir solatnya. Oleh itu, dia diperintahkan untuk memperbaharui akad di dalam solatnya dengan bertakbir yang merupakan syiar niat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/208).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jumhur fuqaha dalam kalangan ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi‘i berpendapat bahawa takbiratul intiqal termasuk dalam perkara-perkara sunat solat. Ibn al-Munzir menyebutkan, inilah juga pendapat Abu Bakar al-Siddiq, Umar, Jabir, Qais bin ‘Ubadah, al-Sya‘bi, al-Auza‘i, Sa‘id bin ‘Abd al-‘Aziz, Abu Hanifah, Malik, dan Syafi‘i. Begitu juga Ibn Battal turut menukilkannya daripada Uthman, Ali, Ibn Mas‘ud, Ibn Umar, Abu Hurairah, Ibn al-Zubair, Makhul, al-Nakha‘i, dan Abu Thaur.

Dalil pendapat jumhur fuqaha tersebut adalah berdasarkan kepada hadith “al-Musi’ Solatahu” di mana Nabi SAW mengajarkan kepadanya solatnya. Maka Baginda mengajarkan kepadanya perkara-perkara wajib solat dan Baginda menyebutkan, di antaranya ialah takbiratul ihram dan tidak menyebutkan pula mengenai takbiratul intiqal. Sedangkan ini merupakan tempat dan waktu untuk memberikan penjelasan (berkaitan solat) dan tidak boleh untuk menangguhkannya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/207; 27/92; al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/193-194).

Manakala hadith-hadith yang sabit mengenai takbir pada setiap pergerakan turun dan naik dalam perbuatan solat difahami sebagai sunat. Di antaranya hadith daripada riwayat Abu Hurairah R.A bahawa:

كانَ رَسولُ اللهِ ﷺ إذا قامَ إلى الصَّلاةِ يُكَبِّرُ حِينَ يَقُومُ، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَرْكَعُ ثُمَّ يقولُ: سَمِعَ اللهُ لِمَن حَمِدَهُ حِينَ يَرْفَعُ صُلْبَهُ مِنَ الرُّكُوعِ ثُمَّ يقولُ: وهو قائِمٌ رَبَّنا ولَكَ الحَمْدُ، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَهْوِي ساجِدًا، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَرْفَعُ رَأْسَهُ، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَسْجُدُ، ثُمَّ يُكَبِّرُ حِينَ يَرْفَعُ رَأْسَهُ، ثُمَّ يَفْعَلُ مِثْلَ ذلكَ في الصَّلاةِ كُلِّها حتّى يَقْضِيَها ويُكَبِّرُ حِينَ يَقُومُ مِنَ الـمَثْنى بَعْدَ الجُلُوسِ

Maksudnya:Rasulullah SAW apabila mendirikan solat, Baginda akan bertakbir ketika berdiri, kemudian bertakbir ketika rukuk, kemudian mengucapkan, ‘سَمِعَ اللهُ لِمَن حَمِدَهُ’ ketika mengangkat tulang rusuknya dari rukuk, kemudian Baginda membaca — dalam keadaan berdiri — ‘رَبَّنا ولَكَ الحَمْدُ’ kemudian Baginda bertakbir ketika turun sujud, kemudian bertakbir ketika mengangkat kepalanya, kemudian bertakbir ketika sujud, kemudian bertakbir ketika mengangkat kepalanya, kemudian melakukan seperti itu dalam solat semuanya hingga menyelesaikannya, dan bertakbir ketika berdiri daripada rakaat kedua setelah duduk.”

Riwayat Muslim (392)

Hadith di atas mengandungi pengisbatan takbir dalam setiap perbuatan turun dan naik dalam solat melainkan ketika bangun daripada rukuk kerana ketika itu Baginda mengucapkan, “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ”. Selain itu, menurut Imam al-Nawawi, takbiratul ihram hukumnya adalah wajib, manakala takbir selainnya pula adalah sunat. Jika ditinggalkan, solatnya masih lagi dianggap sah, tetapi dia telah terlepas daripada mendapat ganjaran dan kelebihannya. Pendapat yang menyatakan hukumnya adalah sunat merupakan pendapat keseluruhan ulama kecuali Imam Ahmad bin Hanbal dalam salah satu riwayatnya menyatakan bahawa semua takbir hukumnya adalah wajib. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 4/98).

Begitu juga riwayat daripada Ibn Mas‘ud R.A, katanya:

كَانَ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكَبِّرُ فِي كُل خَفْضٍ وَرَفْعٍ وَقِيَامٍ وَقُعُودٍ، وَأَبُو بَكْرٍ وَعُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا

Maksudnya:Rasulullah SAW bertakbir dalam setiap perbuatan turun, naik, berdiri dan duduk (dalam solat). Begitulah juga Abu Bakar dan Umar R.Anhuma (turut melakukannya).”

Riwayat al-Tirmizi (253) dan beliau menilainya hasan sahih

Manakala Imam Ahmad bin Hanbal dalam pendapatnya yang masyhur menyatakan bahawa takbir ketika turun dan naik (dalam perbuatan solat) adalah wajib. Ini juga merupakan pendapat Ishaq bin Rahawaih dan Dawud. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/207-208; 27/92; al-Mughni oleh Ibn Qudamah, 1/298).

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “Para ulama bersepakat mengenai pensyariatan takbir intiqalat ketika berpindah antara rukun-rukun dalam solat, sama ada solat fardhu atau solat sunat. Ini kerana Rasulullah SAW kerap mengucapkannya dan mengajarkan kepada umatnya, “Apabila kamu mengucapkan takbir, maka hendaklah kamu semua mengucapkan takbir juga.” Namun, terdapat perbezaan pendapat mengenai kewajipannya. Imam Ahmad dan sebahagian besar ahli hadith berpendapat bahawa takbir tersebut wajib dilakukan kerana perintah Rasulullah SAW dan amalan baginda yang berterusan melakukannya, serta sabda baginda, “Solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat” [Riwayat al-Bukhari (605)].

Sementara itu, para imam seperti Abu Hanifah, Malik, dan al-Syafi’i berpendapat bahawa takbir tersebut hanyalah sunat dan bukan wajib, berdasarkan hadis seseorang yang solat tanpa melibatkan takbir intiqalat. Mereka berpendapat bahawa takbir tersebut tidak diwajibkan. Imam al-Nawawi dan yang lainnya menyatakan bahawa takbir selain takbiratul ihram adalah sunnah dan bukan wajib. Jika ditinggalkan, solat tetap sah, tetapi meninggalkannya secara sengaja dianggap makruh.

Aku berkata: Hadith-hadith yang membincangkan perkara ini menunjukkan bahawa sunat untuk melakukannya, dan pandangan umum ulama adalah bahawa takbir tersebut adalah sesuatu yang dianjurkan. Akan tetapi, pendapat yang pertama yang menyatakan ia wajib adalah lebih berhati-hati. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/225)

Di antara dalil yang menunjukkan kepada wajibnya takbiratul intiqal ini adalah kerana Nabi SAW memerintahkan untuk melakukannya dan perintah Nabi menunjukkan kepada kewajipannya. Tambahan lagi, Baginda juga melakukannya dan bersabda:

صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.

Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Begitu juga terdapat hadith daripada riwayat Ali bin Yahya bin Khallad, daripada pakciknya, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّهُ لَا تَتِمُّ صَلَاةٌ لِأَحَدٍ مِنَ النَّاسِ حَتَّى يَتَوَضَّأَ فَيَضَعَ الْوُضُوءَ، يَعْنِي مَوَاضِعَهُ. ثُمَّ يُكَبِّرُ، وَيَحْمَدُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ، وَيُثْنِي عَلَيْهِ، وَيَقْرَأُ بِمَا شَاءَ مِنَ الْقُرْآنِ، ثُمَّ يَقُولُ: اللهُ أَكْبَرُ، ثُمَّ يَرْكَعُ حَتَّى تَطْمَئِنَّ مَفَاصِلُهُ، ثُمَّ يَقُولُ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، حَتَّى يَسْتَوِيَ قَائِمًا، ثُمَّ يَقُولُ: اللهُ أَكْبَرُ، ثُمَّ يَسْجُدُ حَتَّى تَطْمَئِنَّ مَفَاصِلُهُ، ثُمَّ يَقُولُ: اللهُ أَكْبَرُ، وَيَرْفَعُ رَأْسَهُ حَتَّى يَسْتَوِيَ قَاعِدًا، ثُمَّ يَقُولُ: اللهُ أَكْبَرُ، ثُمَّ يَسْجُدُ حَتَّى تَطْمَئِنَّ مَفَاصِلُهُ، ثُمَّ يَرْفَعُ رَأْسَهُ فَيُكَبِّرُ، فَإِذَا فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ تَمَّتْ صَلَاتُهُ

Maksudnya:Sesungguhnya tidak sempurna solat seseorang sehingga dia berwuduk iaitu membasuh anggota wuduknya (dengan sempurna), kemudian dia bertakbir dan memuji Allah ‘Azza wa Jalla serta menyanjung-Nya dan dia membaca ayat-ayat al-Quran yang dikehendakinya (yang mudah baginya), kemudian mengucapkan, ‘Allahu Akbar,’ kemudian dia rukuk sehingga tenang semua persendiannya, kemudian mengucapkan, ‘سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ’ sehingga berdiri tegak, kemudian mengucapkan, ‘Allahu Akbar,’ kemudian dia sujud sehingga tenang semua persendiannya, kemudian mengucapkan, ‘Allahu Akbar,’ sambil mengangkat kepalanya sehingga duduk dengan tenang, kemudian mengucapkan, ‘Allahu Akbar,’ kemudian sujud sehingga tenang semua persendiannya, kemudian mengangkat kepalanya sambil bertakbir. Apabila dia telah mengerjakan demikian, maka solatnya telah sempurna.

Riwayat Abu Dawud (857)

Nas dalam hadith di atas menunjukkan kepada wajibnya takbir itu. Selain itu, kerana tempat-tempat yang disebutkan zikir-zikir itu adalah rukun-rukun solat, maka ia termasuk dalam menyebutkan perkara wajib seperti berdiri tegak (dalam solat).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa takbiratul intiqal dalam solat adalah disunatkan dan bukannya wajib sebagaimana pendapat majoriti ulama. Justeru, sesiapa yang meninggalkannya, solatnya masih lagi dianggap sah, tetapi dia telah terlepas daripada mendapat ganjaran dan kelebihannya.

Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa ia termasuk dalam khilaf muktabar dalam kalangan ulama. Maka, sebaik-baiknya ia tidak ditinggalkan dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, sebagai jalan keluar daripada mereka yang mewajibkannya. Hal ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)