#4171: Definisi Sahabat Mengikut Imam al-Bukhari

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan, pandangan Imam al-Bukhari berkenaan takrif sahabat dan perbahasan ulama’ secara ringkas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا ‎

Maksudnya: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Menjawab persoalan di atas, Imam al-Bukhari telah menyebut dalam Sahihnya, sahabat iaah siapa yang bersahabat dengan Nabi SAW atau melihatnya dalam kalangan orang Islam. (Lihat Sahih al-Bukhari, 5/2)

Berdasarkan takrif ini, termasuklah siapa yang melihat Rasulullah SAW dan tidak disyaratkan lama persahabatan dengan Nabi SAW. Takrif seperti ini telah diterima pakai oleh kebanyakan muta’akhirin.

Justeru, kata al-Hafiz Ibn Hajar, sahabat ialah siapa yang bertemu dengan Nabi SAW serta beriman dengannya dan mati dalam Islam. (Lihat Nuzhah al-Nazar, 1/111)

Perkataan bertemu lebih umum daripada melihat kerana dia termasuk dalam sahabat-sahabat yang mulia seperti Abdullah bin Umm Maktum yang buta, dan berimannya pula termasuk yang bertemu Nabi SAW dalam keadaan kafir, kemudian dia memeluk Islam tetapi tidak bertemu Nabi SAW selepas Islamnya, seperti utusan Hiraqla. Hadithnya terdapat dalam hadith imam ahmad.

Melainkan jumhur ulama usul mensyaratkan persahabatan mestilah lama. Mereka berdalilkan secara uruf. Disebut daripada Said bin al-Musayyib bahawa syarat sahabat itu mesti berperang dengan Nabi SAW, sedangkan jumhur ahli hadis menyokong pendapat pertama, dan mereka berdalilkan dengan lughah atau bahasa kerana nama sahabi boleh berlaku kepada orang yang bersahabat sama ada sedikit atau lama masanya,

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)