#4172: Membaca Surah al-Fatihah ketika Khutbah dan Akad Nikah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum membaca surah al-Fatihah ketika khutbah dan akad nikah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”

(Surah al-Najm: 45)

Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68).

Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.

(Surah al-Ra‘d: 38)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa membaca surah al-Fatihah ketika khutbah atau sebelum akad nikah termasuk dalam perkara-perkara yang dibenarkan dan tidak bertentangan dengan nas-nas syarak. Ini kerana membacanya dalam situasi-situasi seperti ini adalah bertujuan memohon petunjuk, mendapatkan keberkatan, kebaikan dan pertolongan daripada Allah SWT. Sesungguhnya menjadi kebiasaan dalam kalangan salaf soleh membaca surah al-Fatihah bagi memohon agar dimudahkan urusan, segala keperluan atau hajat ditunaikan dan tujuan dapat dicapai.

Terdapat riwayat daripada ‘Ata’, katanya:

إِذَا أَرَدْتَ حَاجَةً، فَاقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ حَتَّى تَخْتِمَهَا، تُقْضَى إِنْ شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: “Jika kamu mempunyai suatu hajat, bacalah surah al-Fatihah sehingga selesai, Insya-Allah hajat kamu itu akan dipenuhi.” (Lihat al-Isti‘anah bi al-Fatihah ‘ala Najah al-Umur oleh Ibn al-Mubarrid al-Hanbali, hlm. 371).

Begitu juga diriwayatkan daripada beberapa sahabat yang mulia berkenaan galakkan untuk membaca surah al-Fatihah dalam beberapa keadaan atau tempat tanpa adanya nas secara khusus mengenainya. Ini adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya daripada Asma’ binti Abu Bakar al-Siddiq R.Anhuma, katanya:

مَنْ قَرَأَ بَعْدَ الْجُمُعَةِ فَاتِحَةَ الْكِتَابِ، وقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ، وَقُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ حَفِظَ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: “Sesiapa yang selepas (solat) Jumaat membaca surah al-Fatihah, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas, dia akan terjaga antara hari itu dan Jumaat berikutnya.

Riwayat Ibn Abi Syaibah (29602)

Para fuqaha berpendapat, dianjurkan (sunat) sebelum akad nikah untuk memberikan khutbah nikah dan dibacakan di dalam khutbah itu tiga ayat. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam Mughni al-Muhtaj (2/224) bahawa dianjurkan (sunat) untuk memberikan khutbah lain sebelum akad nikah dan ia adalah lebih dituntut daripada yang pertama. Para imam bertabarruk dengan apa yang diriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud R.A secara mauquf dan marfu‘, katanya: Apabila seseorang daripada kamu ingin menyampaikan khutbah nikah atau selainnya, maka ucapkanlah:

إِنَّ الْحَمْدَ لِلَّهِ، نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاَللَّهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَسَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَنَّ مُحَمَّدًاً عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ صَلَّى الله عليه وسلم وعلى آله وصحبه {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ} آل عمران/102، {يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا} النساء/1، {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا. يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا} الأحزاب/70-71

Khutbah ini dinamakan sebagai khutbah al-Hajah (خطبة الحاجة).

Selain itu, sesuatu yang perlu diberi perhatian juga bahawa membaca surah al-Fatihah tanpa menyempurnakan akad yang syar‘i tidak menghasilkan apa-apa hukum padanya. Perempuan itu tetap kekal sebagai ajnabiyyah (asing) terhadap calon suaminya, dan dia tidak berada di bawah tanggungan dan tanggungjawabnya, serta tidak halal baginya untuk bersamanya sehinggalah akad nikah syar‘i disempurnakan.

Tujuan surah al-Fatihah itu dibaca adalah sebagai janji perkahwinan dan menunjukkan penerimaan awal. Akan tetapi hal itu tidak dikira sebagai akad nikah kerana akad nikah itu mempunyai rukun-rukun yang khusus iaitu ijab dan qabul dengan lafaz khusus, kehadiran wali dan kehadiran saksi. Hal ini juga adalah sebagaimana jawapan yang diberikan oleh Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah dalam fatwa mereka.[1]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak ada masalah untuk seseorang itu membaca surah al-Fatihah sebelum khutbah nikah atau akad nikah. Hal ini kerana kami melihat tidak ada nas yang melarangnya, sebaliknya di sana terdapatnya anjuran atau amalan para salaf soleh yang biasa membaca surah al-Fatihah atau ayat-ayat lain daripada al-Quran bagi tujuan memohon petunjuk, mendapatkan keberkatan, kebaikan dan pertolongan daripada Allah SWT serta memohon agar dimudahkan segala urusan.

Apatah lagi di sana terdapat sebahagian ulama yang berpendapat, dianjurkan (sunat) untuk membaca sekurang-kurangnya tiga ayat dalam khutbah nikah. Maka, tidak ada masalah jika seseorang membaca surah al-Fatihah terlebih dahulu sebelum khutbah nikah bagi memohon agar majlis yang hendak dilangsungkan diberkati, dimudahkan dan mendapat pertolongan Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=3560#. Diakses pada 15 November 2023.