Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah doa kepada pemberi zakat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Zakat adalah termasuk dalam rukun Islam yang lima di mana ia wajib ditunaikan oleh setiap orang beragama Islam yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Antara tujuan pensyariatan zakat ini adalah untuk membersihkan hati dan harta disamping melahirkan masyarakat Islam yang pemurah dan prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi oleh saudara mereka. Allah SWT berfirman:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).”
(Surah al-Taubah: 103)
Syeikh al-Maraghi menyebutkan, sedekah (zakat) itu dapat membersihkan mereka daripada sifat bakhil, tamak dan sifat yang kasar kepada golongan fakir yang hidup melarat. Di samping itu, kamu juga dapat menyucikan jiwa mereka dan mengangkat mereka ke darjat orang yang baik dengan melakukan kebajikan sehingga mereka wajar menerima kebahagian di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2888).
Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Abdullah bin Abu Aufa, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَاهُ قَوْمٌ بِصَدَقَتِهِمْ، قَالَ: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى آلِ فُلاَنٍ، فَأَتَاهُ أَبِي بِصَدَقَتِهِ، فَقَالَ: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى آلِ أَبِي أَوْفَى
Maksudnya: “Apabila Nabi SAW didatangi oleh suatu kaum dengan membawa harta zakat mereka, Baginda SAW berdoa: ‘Ya Allah, ampunilah keluarga Fulan dan rahmatilah mereka.’ Lalu bapaku datang kepada Baginda dengan membawa harta zakatnya. Baginda SAW berdoa: ‘Ya Allah, ampunilah keluarga Abu Aufa dan rahmatilah mereka.’”
Riwayat al-Bukhari (1497) dan Muslim (1078)
Syeikh Abdullah al-Bassam ketika menjelaskan lafaz “صَلِّ عَلَيهم” menyebutkan, makna asal al-Solah (الصلاة) dari segi bahasa ialah doa. Meskipun bentuk doa adalah berbeza-beza bergantung kepada keadaan orang yang berdoa. Tidak diwajibkan lafaz-lafaz tertentu dalam doa tetapi doa hendaklah dengan lafaz yang mengandungi pujian dan sesuai dengan kedudukannya (maqam).
Kemudian, beliau menyatakan pula, Allah SWT memerintahkan Nabi dan Rasul-Nya Muhammad SAW untuk mengambil zakat daripada kaum Muslimin dan mendoakan untuk mereka ketika mengambil zakat itu daripada mereka. Firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Taubah: 103)
Oleh itu, Nabi SAW mematuhi perintah Tuhannya, apabila suatu kaum datang kepadanya dengan zakat mereka, Baginda mendoakan:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah dan rahmatilah mereka.”
Begitu juga orang yang mengambil zakat sama ada orang yang mengumpulnya untuk umat Islam seperti pemungut zakat atau yang mengambil zakat untuk dirinya sendiri seperti orang miskin, disarankan untuk berdoa kepada pemberi zakat:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/329).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.