#4174: Mahar Yang Diberikan Oleh Rasulullah SAW Kepada Isteri-isterinya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berapakah nilai mas kahwin Rasulullah SAW terhadap isteri-isterinya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam merupakan satu agama yang memandang tinggi kemuliaan institusi perkahwinan, dan mengangkat darjat wanita ke tahap yang mulia. Salah satu bukti akan kenyataan ini dalam syari’at Islam dan hukum-hakam fiqh ialah pensyari’atan mahar dalam perkahwinan.

Definisi Mahar dan Konsepnya dalam Islam

Dari sudut bahasa, mahar bermaksud:

ما يَدْفَعُهُ الزَّوْجُ إِلَى زَوْجَتِهِ بِعَقْدِ الزَّوَاجِ

Maksudnya: “Apa yang dibayar oleh suami kepada isteri sebagai hadiah kepadanya dengan sebab ‘aqad nikah.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/151)

Menurut istilah syara’ pula mazhab Syafi’e telah mendefinisikan mahar dengan maksud:

هُوَ مَا وَجَبَ بِنِكَاحٍ أَوْ وَطْءٍ أَوْ تَفْوِيتِ بُضْعٍ قَهْرًا

Maksudnya: “Mahar adalah suatu yang diwajibkan dengan sebab pernikahan, atau persetubuhan, atau pemerkosaan.”(Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/220)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata: Mahar atau mas kahwin ialah “harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab akad nikah.” Mahar juga disebut sebagai al-sadaq dan hukumnya adalah wajib  sebaik sahaja sempurna akad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa akad tersebut. Jika terdapat permuafakatan menafikannya atau tidak menyebutnya, persetujuan tersebut batal dan mas kahwin tetap wajib diserahkan.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/75)

Dalam istilah bahasa Melayu, merujuk kepada Kamus Dewan, mahar kahwin adalah merupakan pemberian yang diwajibkan daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan.[1]

Dalil pensyari’atan mahar dapat dilihat melalui ayat al-Qur’an:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا

Maksudnya: “Dan berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.”

( Surah al-Nisa’: 4)

Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah dan tidak membebankan pasangan. Yang demikian boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada ‘Uqbah Bin ‘Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ الصَّدَاقِ أَيْسَرُهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah.”

Riwayat Abu Dawud(2117)

Bahkan Rasulullah SAW memberikan mahar kepada isteri-isteri Baginda sebanyak 12 uqiyyah dan nasy (setengah uqiyyah) iaitu bersamaan dengan 500 dirham. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abi Salamah Bin Abdul Rahman R.A beliau berkata:

سَأَلْتُ عائِشَةَ زَوْجَ النبيِّ صَلّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ: كَمْ كانَ صَداقُ رَسولِ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ؟ قالَتْ: كانَ صَداقُهُ لأَزْواجِهِ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ أُوقِيَّةً وَنَشًّا، قالَتْ: أَتَدْرِي ما النَّشُّ؟ قالَ: قُلتُ: لا، قالَتْ: نِصْفُ أُوقِيَّةٍ، فَتِلْكَ خَمْسُ مِائَةِ دِرْهَمٍ، فَهذا صَداقُ رَسولِ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ لأَزْواجِهِ.

Maksudnya: “Mahar para isteri Baginda adalah dua belas ‘uqiyah dan nasy.” Aisyah melanjutkan, “Tahukah kamu apakah nasy itu?, ” Aku menjawab, “Tidak.” Aisyah berkata, “Setengah ‘Uqiyah. Ini adalah mahar Rasulullah untuk para istrinya.Yang demikian itusama dengan 500 dirham dan inilah mahar Rasulullah SAW kepada isteri-isterinya.”

Riwayat Muslim(1426)

Hadith ini menunjukkan bahawa disunatkan untuk diringakan mahar dan itulah yang disyariatkan. Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah dan sebaik-baik wanita adalah yang rendah maharnya.

Selain itu, hadith ini menunjukkan bahwa mahar Rasulullah SAW kepada isteri-isteri Baginda kebiasaanyya adalah 12 uqiyyah dan setengah uqiyyah. Satu uqiyyah bersamaan dengan 40 dirham iaitu 500 dirham. Baginda merupakan teladan yang terbaik dalam semua perkara baik  dalam aspek adat mahupun  ibadah.  (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/397)

Imam al-Nawawi  menyatakan bahawa: Disunatkan dalam menentukan mahar adalah tidak melebihi dari 500 dirham . Yang demikian merupakan mahar yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada isteri-isteri Baginda. (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/249)

Syeikh Islam Ibn Taimiyyah juga menyatakan bahawa: Imam al-Nawawi  menyatakan bahawa: Disunatkan dalam menentukan mahar adalah tidak melebihi dari mahar isteri-isteri nabi dan anak-anaknya iaitu antara 400 hingga 500 dirham. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 32/194)

Justeru, kami nyatakan di sini bahawa mahar Rasulullah SAW kepada isteri-isterinya adalah sebanyak 500 dirham. Oleh itu, disunatkan untuk menetapkan mahar yang tidak melebihi daripada 500 dirham, dan yang terbaik adalah memilih mahar yang paling mudah dan tidak membebankan  pasangan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=mahar – Diakses pada 19 Oktober 2023