#4175: Rasulullah SAW Pernah Mengharuskan Mut’ah Kemudian Mengharamkannya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah Rasulullah SAW pernah menghalalkan mut’ah? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah muta’h adalah seorang lelaki mengahwini wanita dalam sesuatu tempoh yang ditetapkan. Ia adalah haram di sisi syara sehingga hari kiamat yang mana Rasulullah SAW telah mengharamkannya berdasarkan hadith yang telah diriwayatkan oleh Sabrah Bin Ma’bad bahawa:

أنَّ رَسولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ المُتْعَةِ، وَقالَ: أَلَا إنَّهَا حَرَامٌ مِن يَومِكُمْ هذا إلى يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن كانَ أَعْطَى شيئًا فلا يَأْخُذْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang untuk kahwin mutaah. Baginda bersabda: “Ketahuilah bahawa sejak hari ini kahwin mutaah itu hukumnya haram sampai kiamat nanti. Jadi, sesiapa yang pernah memberikan sesuatu, maka janganlah dia ambil kembali.”

Riwayat Muslim(1406)

Begitu juga Ibnu Abbas menyatakan bahawa hukum pengharaman kahwin mutaah secara mutlak berdasarkan pendapat jumhur sahabat. ( lihat  Subul as-Salam Syarh Bulugh al-Maram Min Jam’i  Adillah  al-Ahkam, 2/184).

Kemudian, Qadhi Iyad juga berpendapat bahawa berlaku ijmak dalam kalangan ulama yang mengharamkan kahwin muta’h kecuali aliran Syiah Rafidah. (Lihat Ikmal al-Mu‘lim li Fawa’id Muslim, 4/537)

Turut diambil perhatian bahawa al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Jaafar bin Muhammad al-Sodiq, seorang yang dianggap maksum dan imam keenam menurut dakwaan ajaran Syiah ketika ditanya mengenai kahwin mutaah, beliau menjawab: “Ia adalah zina”. (Lihat Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, 9/150)

Nikah mut’ah, adalah nikah yang telah dilarang oleh syara, ia  adalah perkahwinan dengan jangka waktu tertentu, baik jangka waktu yang pendek atau lama. Ini adalah ketika seorang lelaki berkata kepada seorang wanita, ‘Aku telah mengahwini engkau untuk sehari atau sepuluh hari atau sebulan, atau aku telah mengahwini engkau sehingga aku meninggalkan negara ini, atau seumpamanya. Perkara ini tidak dianggap sebagai perkahwinan kerana ia tidak bertujuan untuk kekal. (Lihat al-Umm, 5/75)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini Rasulullah pernah pada suatu ketika memberi rukhsah kepada sahabat untuk berkahwin secara muta’h selama tiga hari  disebabkan terdapat hajat dan darurat pada ketika itu iaitu pada tahun pepereangan Autas selepas pembukaan kota Mekkah, kemudian Baginda melarangnya. Begitu juga pada tahun peperangan Khaibar. Hal ini boleh dilihat mlalui hadith yang diriwayatkan daripada Salamah Bin al-Akwa’ R.A beliau berkata:

رخَّص رسولُ اللهِ ﷺ عامَ أوطاس في المتعةِ ثلاثةَ أيامٍ، ثم نهى عنها

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah memberi keringanan nikah mut’ah pada pada peperangan Authas selama tiga hari kemudian beliau melarangnya

Riwayat Muslim(1405)

Diriwayat daripada ‘Ali R.A beliau berkata:

 نَهى رَسولُ اللَّهِ ﷺ عَنِ المُتْعَةِ عامَ خَيْبَرَ

 Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang nikah Mut’ah pada tahun peperangan khaibar.”

Riwayat al-Bukhari (5115)

Begitu juga boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Rabi’ Bin Sabrah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَِّي قَدْ كُنْتُ أذِنْتُ لَكُمْ فِي الاسْتِمْتَاعِِ مِنَ النَِّسَاءِ، وَإنَّ اللَّهَ قدْ حَرَّمَ ذَلِكَ إَلَى يَوْمِ القِيَامَةِ، فَمَن كَانَ عِنْدَهُ مِنْهُنَّ شَيْءٌ فَلْيُخَلِّ سَبِيلَهُ، وَلَا تَأْخُذُوا مَمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا

Maksudnya: “Sesungguhnya saya pernah mengizinkan kepada kalian nikah mut’ah terhadap wanita, dan sesungguhnya (mulai saat ini) Allah telah mengharamkannya sampai hari kiamat, oleh kerana itu barang siapa yang masih memiliki (wanita yang dimut’ah), maka ceraikanlah dia dan jangan kamu ambil kembali apa yang telah kamu berikan padanya.”

Riwayat Muslim (1405) dan Abu Dawud(2072)

Rasulullah SAW pernah memberi keringanan dalam perkahwinan mut’ah atas keperluan tertentu, kemudian melarangnya secara mutlak. Keharusan ini  menimbulkan keraguan di kalangan segelintir individu. Mereka juga sebelum ini membenarkannya atas keperluan tertentu, namun kemudian mengubah pendirian mereka mengenai keharusan  ini. Antara mereka adalah Ibnu Abbas, yang sebelumnya memberikan kebenaran namun kemudian kembali mengatakan ia adalah haram. Kemudian, telah berlaku kesepakatan di kalangan umat Islam mengharamkan perkahwinan mut’ah  ini secara mutlak dan kekal.

Ibnu Habirah menyatakan: Ulama telah bersepakat bahawa nikah mut’ah adalah batil  dan tiada khilaf antara mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 5/295)

Al-Khattabi menyatakan bahawa: Rasulullah SAW pernah memberi keringanan pada nikah mut’ah pada permulaan islam dan Baginda membatalkannya pada haji wada’. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 4/39)

Justeru kami katakan bahawa, Rasulullah pernah memberi keharusan nikah secara mut’ah kepada para sahabat ketika peperangan Authas selama tiga hari dan pada tahun peperangan khaibar kerana terdapat hajat dan drurat pada ketika itu, kemudian  Baginda melarangnya secara mutlak. Ini kerana nikah mut’ah lebih membawa kepada mafsadah berbanding maslahah seperti kezaliman terhadap kaum wanita dan berlakunya zuriat yang tidak jelas. Nikah yang batil dan dihukumkan haram  ini juga  masih diamalkan oleh kelompok syiah pada hari ini.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahua’lam.