#4176: Bersedekah Bagi Pihak Ibu Yang Telah Meninggal Dunia Walaupun Tidak Meninggalkan Wasiat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bolehkah bersedekah bagi pihak ibu yang telah meninggal dunia dengan sangkaan sekiranya bercakap dengannya pasti dia mahu bersedekah?ada perkara terebut dibolehkan walaupun dia tidak meninggalkan wasiat? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Amalan sedekah adalah termasuk dalam amalan kebajikan yang digalakkan dalam Islam. Sedekah itu bermaksud pemberian hak milik ketika hidup tanpa mengharapkan pembalasan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 15/370 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 26/323)

Ibn Manzur pula mendefinisikan sedekah sebagai satu pemberian yang diniatkan kerana Allah SWT kepada golongan fakir yang memerlukan. (Lihat Lisan al-Arab, 10/196)

Bersedekah merupakan antara amal soleh yang amat besar fadhilat dan ganjaran yang diberikan kepada pelakunya. Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Perumpamaan golongan yang membelanjakan harta mereka di jalan Allah adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai. Dan di setiap satu batang tangkai itu terdapatnya seratus biji benih. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Memberi Keluasan lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 261)

sebarang bentuk sedekah yang diberikan kerana Allah SWT tidak mendatangkan kerugian kepada pelakunya, sebaliknya mendapat ganjaran balas yang menguntungkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.”

(Surah Saba’:39)

Al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini berkata: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan wahai sekalian manusia pada jalan ketaatan kepada Allah, maka sesungguhnya Allah akan menggantikannya kepada kamu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/413)

Nabi SAW pernah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ الصَّدَقَةَ ، وَيَأْخُذُهَا بِيَمِينِهِ ، فَيُرَبِّيهَا لأَحَدِكُمْ كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ مُهْرَهُ ، حَتَّى إِنَّ اللُّقْمَةَ لَتَصِيرُ مِثْلَ أُحُدٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menerima amalan sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang dari kamu, sebagaimana kamu membiakkan seekor anak kuda. Sehingga sedekah yang hanya sebiji boleh berkembang hingga sebesar gunung Uhud.”

Riwayat al-Tirmizi (662). Beliau berkata, hadis hasan sahih.

Menjawab bagi persoalan di atas, kami berpendapat bahawa memberikan sedekah atas nama orang yang telah meninggal dunia adalah dibenarkan, sama ada untuk ibu atau ayah. Mereka akan mendapat manfaat dari pahala amal kebajikan yang dilakukan oleh individu yang masih hidup, dengan niat pahalanya diberikan kepada mereka. Yang demikian merupakan perkara yang telah disepakati dikalangan ulama. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.A bahawa beliau berkata:

أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا، وَأَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ، فَهَلْ لَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا؟ قَالَ: «نَعَمْ»

Maksudnya: Sesungguhnya seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya ibuku meninggal secara mengejut (tiba-tiba), aku menyangka kalau dia dapat bercakap nescaya dia akan bersedekah, maka adakah dia mendapat pahala sekiranya aku bersedekah untuknya?” Rasulullah SAW menjawab: “Ya.”

Riwayat Bukhari (1388)

Apa yang dapat difahami melalui hadith sepertimana yang telah dinyataka dalam Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram  adalah seperti berikut:

  • Sedekah bagi pihak orang yang telah meninggal dunia adalah diharuskan dan pahalanya sampai kepadanya. Hal ini tidak bercanggah dengan firman Allah SWT:

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.”

(Surah al-Najm: 39-41)

Apabila seseorang memberikannya sebahagian dari hasil usahanya maka dia mendapat lebihan harta dari usaha orang tersebut.

  • Disunatkan memberi sedekah atas nama orang yang telah meninggal, walaupun tiada wasiat khusus untuk itu, terutamanya apabila diketahui bahawa jika dia berbicara atau diberi masa, pasti dia akan mewasiatkan untuk bersedekah.
  • Hadith ini menunjukkan keutamaan berbakti kepada ibu bapa. Berbakti kepada mereka selepas kematian mereka adalah berdoa untuk mereka, bersedekah atas nama mereka, melakukan amalan kebaikan yang dekat dengan mereka, dan menghadiahkannya kepada mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/193)

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi  menjelaskan bahawa orang yang mati akan mendapat manfaat dari sedekah-sedekah yang dilakukan kepadanya. Disebutkan oleh Syeikh al-Adawi dalam kitabnya “Masyariq al-Anwar” bahawa  para ulama’ telah bersepakat bahawa pahala sedekah akan sampai kepada mayat sama ada kubur itu dekat atau jauh. Begitu juga istighfar dan berdoa kepadanya. Imam al-Qurtubi berkata lagi bahawa ulama’ telah bersepakat bahawa pahala sedekah akan sampai kepada si mati. (Lihat al-Tazkirah, hlm. 279)

Begitu juga dengan sedekah duit bagi pihak yang masih hidup, insya-Allah pahalanya juga akan sampai.  Mustafa al-Ruhaibani menyebutkan, semua bentuk qurbah (ketaatan kepada Allah) yang dikerjakan oleh seseorang Muslim, lalu dia menjadikan pahalanya (yakni menghadiahkannya) untuk orang yang masih hidup atau sudah meninggal dunia, maka ia adalah dibolehkan dan hal itu memberi manfaat kepadanya melalui pahala yang diperolehinya. (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 3/639)

Dalam isu ini ulama telah bersepakat bahawa doa, istighfar, ibadah yang terkait dengan harta seperti sedekah, haji, umrah akan sampai pahalanya kepada si mati. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/194)

Justeru kami katakan bahawa, tidak menjadi satu kesalahan bagi saudara untuk bersedekah bagi pihak ibu yang telah meninggal dunia meskipun dia tidak berwasiat untuk itu bahkan ia merupakan cara bagi seorang anak untuk berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Wallahua’lam