#4179: Nafkah Buat Isteri Semasa Masih Belajar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak bertanya. macam mana nafkah untuk suami isteri yang masih belajar? Ramai orang muda yang sudah berkahwin ketika masih belajar. Maka, bagaimana nafkah mereka sebagai suami isteri? Boleh berikan penerangan atas kekeliruan saya? Terima kasih dr.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Nafkah isteri merupakan kewajiban ke atas suami sekalipun isteri itu seorang yang kaya. Ini jelas dalam firman Allah SWT:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

(Surah al-Talaq: 7)

Di dalam al-Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu‘awiyah al-Qusyairi R.A, bahawa beliau telah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أَنْ تُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمْتَ، وَتَكْسُوَهَا إِذَا اكْتَسَيْتَ – أَوِ اكْتَسَبْتَ – وَلاَ تَضْرِبِ الْوَجْهَ، وَلاَ تُقَبِّحْ، وَلاَ تَهْجُرْ إِلاَّ فِي الْبَيْتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.”

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu:

  • Makanan
  • Barang-barang dapur
  • Pakaian
  • Tempat tinggal
  • Alat-alat untuk membersihkan diri
  • Barangan rumah
  • Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan memberi nafkah kepada isteri adalah wajib dan kadarnya itu mengikut kemampuan si suami. Oleh itu, apabila berkahwin ketika masih belajar, ia tidak bermakna tanggungjawab tersebut boleh dilepaskan begitu saja, tetapi apabila suatu akad telah berlaku, ia bermakna anda sudah bersedia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri. Maka, antara nafkah yang wajib diberikan adalah sepertimana yang disebutkan di atas iaitu makanan, pakaian, tempat tidur, keperluan harian dan seumpamanya. Sekiranya suami telah menjalankan tanggungjawab memberi nafkah yang wajib kepada isteri maka tidak wajib lagi bagi suami memberikan duit bulanan kepada isteri. Sekiranya suami tetap memberikan duit tersebut secara bulanan itu dianggap sebagai ihsan suami kepada isteri.

Suka juga kami nasihati supaya sekiranya berlaku salah faham dalam rumahtangga hendaklah berbincang dengan cara yang baik agar kehidupan rumah tangga akan lebih harmoni.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam