#418 Membalut Jari Kaki semasa Berihram kerana Luka atau Kudis

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan. Bolehkah seorang lelaki yang berada di dalam ihram membalut sebahagian jari kaki disebabkan oleh luka atau kudis? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya:Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

(Surah Ali ‘Imran: 96)

Allah SWT mengkhabarkan mengenai keagungan Baitullah al-Haram yang merupakan rumah ibadat pertama yang dibina untuk beribadah kepada-Nya di atas muka bumi yang terletak di Makkah, padanya terdapat keberkatan dan petunjuk (hidayah) bagi seluruh manusia. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, 213-214)

Antara larangan bagi lelaki yang berihram

Kemudian, kita mesti mengetahui bahawa seseorang yang berada di dalam keadaan berihram perlulah menjaga larangan-larangan yang telah ditetapkan oleh syara’ dan sekiranya melanggar larangan-larangan tersebut, maka individu tersebut akan dikenakan dam mengikut jenis larangan yang telah dilakukan olehnya. Terdapat sedikit perbezaan antara perkara-perkara yang dilarang terhadap lelaki yang berihram dan perempuan yang berihram.

Ibn Munzir telah menyebut bahawa ulama telah ijma’ terhadap larangan memakai baju, serban, seluar, khuf (stoking kulit) dan baranis (jubah yang ada penutup kepala) bagi orang lelaki yang berihram. (Lihat al-Ijma‘, hal. 63)

Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW daripada Ibn Umar R.Anhuma yang mana seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah SAW dan bertanyakan tentang pakaian apa yang perlu dipakai oleh orang yang sedang berihram. Lalu Baginda SAW menjawab:

لاَ يَلْبَسُ الْقُمُصَ وَلاَ الْعَمَائِمَ وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ وَلاَ الْبَرَانِسَ وَلاَ الْخِفَافَ، إِلاَّ أَحَدٌ لاَ يَجِدُ نَعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسْ خُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ، وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ

Maksudnya:Jangan dipakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za‘faran atau wars (sejenis minyak wangi).

Riwayat al-Bukhari (1542))

Para ulama turut menyatakan bahawa termasuk dalam kategori larangan tersebut apa yang menyerupainya (pada maknanya) seperti jubah, baju besi, baju (jenis lain) dan yang seumpamanya.  Tidak boleh bagi seseorang yang berihram menutupi badannya dengan pakaian yang biasa dipakai (mengikut bentuk badan) dan menutupi anggotanya dengan apa yang biasa dipakai (mengikut bentuk anggota tersebut) seperti baju untuk badan, seluar untuk sebahagian badan, sarung tangan untuk tangan, khuf untuk kaki dan yang seumpamanya. (Lihat al-Mughni, 3/281.)

Al-Nawawi memberikan penjelasan bahawa diharamkan memakai atau menggunakan pakaian yang mengikut bentuk badan atau anggota disebabkan oleh ia meliputi (menutupi) mengikut badan atau anggota tersebut, sama ada pakaian tersebut (dicantumkan) secara jahitan atau tidak seperti baju, seluar, jubah dan lain-lain. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 148-149.)

Di dalam kitab yang lain pula beliau menyebut bahawa tidak ada beza sama ada ia dijahit dengan jarum atau dilekatkan (dicantumkan) antara satu sama lain kerana ia termasuk dalam makna al-Makhid (pakaian yang berjahit). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/249.)

Adapun, sekiranya tidak ada pada pakaian tersebut makna meliputi (menutupi) sebagaimana yang disebutkan, maka tidak mengapa menggunakannya sekalipun ia berjahit seperti menggunakan baju atau jubah sebagai selimut ketika tidur. ( Lihat al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 150.)

Manakala larangan bagi perempuan yang berihram pula — yang melibatkan pakaian — antaranya ialah menutup muka dan memakai sarung tangan. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502.)

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma:

أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «نَهَى النِّسَاءَ فِي إِحْرَامِهِنَّ عَنِ القُفَّازَيْنِ وَالنِّقَابِ

Maksudnya:Beliau mendengar Rasulullah SAW melarang kaum wanita semasa dalam ihram mereka daripada memakai sarung tangan dan menutup muka.

Riwayat Abu Daud (1827)

Walau bagaimanapun, perkara-perkara yang diharamkan semasa ihram menjadi haram sekiranya ia memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Haram bagi seseorang yang telah ihram melakukan perkara-perkara yang diharamkan, jika dengan sengaja, diketahui haramnya, dengan ikhtiyarnya (pilihan) sendiri serta telah mukallaf.
  2. Tidak haram jika tidak memenuhi syarat di atas. (Lihat Matla‘ al-Badrain, (susunan PMWP), 1/307.)

Habib Hasan al-Kaff menyatakan bahawa tidak wajib membayar fidyah (dam) bagi sesiapa yang memakai pakaian yang berjahit ketika dalam ihram bagi orang yang terlupa (tidak sengaja) atau jahil (tidak tahu keharamannya). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502.)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa bagi mereka yang terpaksa membalut kakinya kerana luka atau kudis, kami andaikan sebegini:

  1. Balutan luka itu ada keperluan dari segi perubatan untuk menahan darah atau seumpamanya. Justeru, ia dibolehkan.
  2. Sekiranya luka itu hanya kecil dan memungkinkan untuk tidak dibalut, maka dengan tidak membalutnya adalah lebih baik dan ahwat (berhati-hati) serta keluar daripada khilaf. Dalam keadaan ini, dia tidak dikenakan fidyah.
  3. Sekiranya dilakukan dengan sengaja, iaitu sengaja dibalut kerana keperluan hajat dan balutan itu menutupi keseluruhan kaki ataupun sebahagian besar kaki (seperti seseorang yang cedera dan disimen kakinya), maka dia perlu membayar fidyah (dam) dan dirinya tidak berdosa.
  4. Namun, jika hanya sedikit dan kecil sahaja balutan tersebut, maka dia tidak dikenakan dam kerana perkara itu tidak menepati maksud kasut, khuf mahupun stoking sebagaimana larangan yang terdapat dalam hadith.
  5. Adapun bagi perempuan pula, balutan pada jari kaki tersebut sama ada pada sebahagian atau keseluruhannya tidak termasuk dalam perkara larangan ihram.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 7 Februari 2022 bersamaan 5 Rejab 1443H