#4180: Zakat Saham

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada melabur dalam beberapa saham yang patuh syariah. Adakah jika mendapat keuntungan saya perlu membayar zakat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umat Islam dituntut untuk mencari yang halal daripada rezeki Allah SWT di muka bumi ini. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ

Maksudnya:Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu.”

(Surah al-Baqarah: 172)

Definisi Saham

Menurut Pusat Pungutan Zakat MAIWP, saham adalah satu bentuk aset kewangan yang baharu yang tidak wujud pada zaman dahulu. Saham mewakili pemilikan sebahagian daripada modal syarikat yang mana turut membawa kepada keuntungan atau kerugian. Apabila saham disenaraikan di pasaran saham, nilainya mungkin berbeza dengan nilai asalnya. Ini kerana saham yang didagangkan akan membolehkan nilainya untuk turun naik mengikut faktor yang mempengaruhi permintaan dan penawaran, seperti pencapaian syarikat, keadaan ekonomi, kestabilan politik tempatan dan antarabangsa.[1]

Yusuf al-Qaradhawi pula menyebutkan bahawa saham ialah hak pemilikan ke atas sebahagian daripada modal keseluruhan harta syarikat yang mengeluarkan saham atau menguruskannya. (Lihat Fiqh al-Zakah, 1/553) Manakala Sayyid Sabiq menganggap saham sebahagian daripada syarikat yang dimiliki oleh satu pihak. Saham ini membayangkan nilai dan peratusan pemilik di dalam sesuatu syarikat. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 3/258-260).

Pada asasnya, memiliki dan berurusniaga dengan saham adalah dibenarkan di sisi syarak, asalkan ia terhindar daripada aktiviti haram seperti riba, gharar, judi dan arak. Secara umumnya, saham boleh dikatakan mempunyai kriteria-kriteria berikut:

  • Berbentuk dokumen, skrip atau sijil yang boleh mengisbatkan hak-hak pemiliknya ketika berlaku tuntutan.
  • Mempunyai nilai yang sama dan tidak berbeza-beza bagi setiap satu unit bagi memudahkan pengiraan dan pembahagian keuntungan.
  • Boleh bertukar milik melalui proses transaksi seperti jual beli.[2]

Asas Kewajipan Zakat Saham

Saham merupakan harta jenis baru yang perlu diberi perhatian oleh sarjana Islam tentang kewajipan mengeluarkan zakat. Tidak ada nas-nas yang secara terang menjelaskan tentang kewajipan zakat ke atas saham. Tetapi, kita boleh mengambil nas-nas yang menjelaskan wajib zakat ke atas harta perniagaan untuk dijadikan asas bagi hukum wajib zakat ke atas saham kerana saham juga dikira sebagai harta perniagaan.

Menurut Muhammad Sulaiman al-Asyqar, Muhammad Uthman Syabir, Muhammad Naim Yasin dan Umar Sulaiman al-Asyqar, sesiapa yang memperniagakan saham, maka saham itu dikira barang dagangan. Oleh kerana saham merupakan salah satu daripada barang dagangan, maka kewajipan zakat ke atasnya samalah seperti kewajipan zakat ke atas harta perniagaan. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”

(Surah al-Baqarah: 267)

Berdasarkan ayat di atas, dapat disimpulkan bahawa hasil usaha terbahagi kepada dua iaitu hasil usaha yang diperolehi dari perut bumi iaitu tumbuh-tumbuhan dan hasil usaha yang diperolehi dari atas bumi seperti penternakan, perdagangan dan perikanan.[3]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami nyatakan sebagaimana keputusan atau resolusi yang telah diputuskan oleh Majlis Majma‘ al-Fiqh al-Islami yang diadakan dalam sesi persidangan keempat di Jeddah, Kerajaan Arab Saudi, dari 18 hingga 23 Jamadil Akhir 1408H bersamaan dengan 6 hingga 11 Februari 1988M.

Dinyatakan bahawa setelah ahli majlis membaca dan meneliti kajian yang dikemukakan kepada al-Majma‘ berkenaan “Zakat Saham Syarikat”, resolusi atau keputusannya adalah sebagaimana berikut:

Pertama: Zakat saham wajib dikeluarkan oleh pemilik saham, dan pengurusan syarikat akan mengeluarkannya bagi pihak mereka jika disebutkan dalam perlembagaan asas syarikat atau jika terdapat keputusan daripada mesyuarat agung, atau jika undang-undang negara mewajibkan syarikat untuk mengeluarkan zakat, atau jika pemilik saham memberikan kuasa kepada pengurusan syarikat untuk mengeluarkan zakat bagi saham mereka.

Kedua: Pengurusan syarikat mengeluarkan zakat saham seperti individu biasa mengeluarkan zakat harta mereka. Dalam konteks ini, semua harta pemegang saham dianggap sebagai harta satu individu, dan zakat dikenakan ke atas mereka dengan pertimbangan jenis harta yang dikenakan zakat, jumlah nisab, jumlah yang diambil, dan faktor lain yang diperhatikan dalam zakat individu. Ini mengambil kira prinsip pencampuran harta, seperti yang diamalkan oleh fuqaha dalam zakat untuk semua jenis harta.

Dan terkecuali daripada zakat saham adalah saham-saham seperti saham khazanah awam, saham wakaf amal, saham badan-badan kebajikan, dan juga saham bukan Muslim.

Ketiga: Jika syarikat tidak mengeluarkan zakat bagi harta-hartanya atas sebab-sebab tertentu, maka adalah kewajipan bagi para pemegang saham untuk mengeluarkan zakat atas saham mereka. Jika seorang pemegang saham dapat mengetahui dari laporan kewangan syarikat tentang bahagian zakat yang berkaitan dengan sahamnya, jika syarikat mengeluarkan zakat harta-harta mereka sebagaimana diarahkan, maka dia boleh mengeluarkan zakat atas sahamnya berdasarkan pertimbangan ini, kerana itulah asas cara mengeluarkan zakat untuk saham. Namun, jika pemegang saham tidak dapat mengetahui hal ini:

Jika dia mencarum dalam syarikat dengan niat untuk memperoleh pulangan tahunan dari saham tersebut, bukan dengan niat berniaga, maka ia dikategorikan sebagai zakat harta tanah yang dikeluarkan setiap tahun, sesuai dengan keputusan Majlis Fiqh Islam dalam sidangnya yang kedua mengenai zakat bagi harta tanah yang disewa tidak untuk pertanian. Dalam hal ini, pemilik saham ini tidak diwajibkan zakat atas pokok sahamnya; namun, zakat wajib dikeluarkan atas hasil pulangan saham tersebut, iaitu seperempat dari keseluruhan hasil, dengan mengambil kira syarat zakat dan ketiadaan sebarang halangan apabila kutipan diterima.

Jika pencarum telah membeli saham dengan niat untuk berniaga, zakat yang dikenakan adalah zakat atas harta niaga. Apabila tiba masa pembayaran zakat dan saham tersebut masih dalam kepemilikannya, dia diwajibkan untuk mengeluarkan zakat berdasarkan nilai pasaran saham tersebut. Jika saham tersebut tidak diperdagangkan di pasaran, nilai zakat ditentukan oleh penilaian dari pihak berpengetahuan dalam bidang tersebut. Zakat yang dikenakan adalah seperempat dari sepuluh (2.5%) dari nilai tersebut, dan ini berlaku juga pada keuntungan jika saham tersebut memberikan keuntungan.

Keempat: Jika pencarum menjual sahamnya dalam tempoh setahun, dia mesti sertakan (atau sekalikan) hasil penjualannya ke dalam hartanya dan mengeluarkan zakatnya bersama-sama ketika tiba masa zakat. Adapun pembeli, dia perlu mengeluarkan zakat atas saham yang dibelinya sebagaimana dijelaskan sebelum ini.

Resolusi atau keputusan Majlis Majma‘ al-Fiqh al-Islami ini juga adalah sebagaimana dinukilkan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam kitabnya, Taudhih al-Ahkam (3/305-307).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا

Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/329).

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-saham/. Diakses pada 14 Februari 2022.

[2] Lihat https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-saham/. Diakses pada 14 Februari 2022.

[3] Lihat Jurnal Syariah bertajuk: Perakaunan Zakat Saham: Kajian di Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam, Wilayah Persekutuan oleh Nor Aini Ali, 11: 2 (2003), hlm. 83.