#4182: Status Wuduk: Mengorek Hidung dan Telinga

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah mengorek hidung atau telinga membatalkan wuduk? Mohon pencerahan Dato. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali,”

(Surah al-Maidah: 6)

Dalam suatu hadis, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا صَلاةَ لِمَنْ لا وُضُوءَ لَهُ

Maksudnya: “Tidak solat kepada orang yang tidak berwuduk.”

Riwayat Abu Daud (101)

Rasulullah SAW telah menyebut dengan jelas bahawa orang yang berhadas maka batal wuduknya. Sedangkan solat mesti mempunyai wuduk. Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لا تُقْبَلُ صَلاةُ مَن أحْدَثَ حتّى يَتَوَضَّأَ قالَ رَجُلٌ مِن حَضْرَمَوْتَ: ما الحَدَثُ يا أبا هُرَيْرَةَ؟ قالَ: فُساءٌ أوْ ضُراطٌ

Maksudnya: “Tidak diterima solat siapa yang berhadas sehingga dia berwuduk. Lantas sahabat lelaki dari Hadramaut bertanya, ‘Apa itu hadas hai Abu Hurairah?’ Jawab Abu Hurairah, ‘Kentut, ( فُساءٌ)’ iaitu kentut yang tidak berbunyi atau ضُراطٌ iaitu kentut yang berbunyi.

Riwayat al-Bukhari (135) dan al-Tirmizi (330)

Ibnu Munzir Rahimahullah berkata, “Telah ijmak para ulama bahawa keluar najis dari dubur, keluar air kencing dari zakar dan begitu juga wanita, keluar mani, keluar angin dari dubur (kentut), hilangnya akal dengan apa cara sekali pun termasuk dalam hadas semuanya itu memerlukan taharah dan mewajibkan wuduk.” (Lihat al-Ijma’, hlm. 29)

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan mengorek hidung atau telinga tidaklah membatalkan wudhuk dan solatnya sah. Perkara yang membatalkan wudhuk adalah seperti keluarnya sesuatu dari dubur atau qubul, menyentuh kemaluan, tidur yang punggungnya tidak tetap di lantai, hilang akal, menyentuh kulit antara lelaki dan perempuan tanpa berlapik.

Semoga jawapan yang ringkas ini dapat difahami dengan baik. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”