Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah kuda dikenakan zakat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Zakat adalah termasuk dalam rukun Islam yang lima di mana ia wajib ditunaikan oleh setiap orang beragama Islam yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Antara tujuan pensyariatan zakat ini adalah untuk membersihkan hati dan harta disamping melahirkan masyarakat Islam yang pemurah dan prihatin terhadap kesusahan yang dihadapi oleh saudara mereka. Allah SWT berfirman:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا
Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk).”
(Surah al-Taubah: 103)
Syeikh al-Maraghi menyebutkan, sedekah (zakat) itu dapat membersihkan mereka daripada sifat bakhil, tamak dan sifat yang kasar kepada golongan fakir yang hidup melarat. Di samping itu, kamu juga dapat menyucikan jiwa mereka dan mengangkat mereka ke darjat orang yang baik dengan melakukan kebajikan sehingga mereka wajar menerima kebahagian di dunia dan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2888).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, di sana terdapatnya zakat binatang ternakan atau dipanggil sebagai zakah al-An‘am (زكاة الأنعام). Perkataan al-An‘am ialah kata jamak kepada al-Na‘am sama ada jantan atau betina serta ia merujuk kepada unta, lembu dan kambing. Firman Allah SWT:
وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهَا وَلَكُمْ فِيهَا مَنَافِعُ كَثِيرَةٌ وَمِنْهَا تَأْكُلُونَ
Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan kebijaksanaan Allah penciptanya); Kami beri kamu minum dari susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah lagi padanya; dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.”
(Surah al-Mukminun: 21)
Haiwan ternakan ini pula terbahagi kepada jenis-jenisnya, di mana setiap jenis mempunyai subjenis tersendiri seperti kerbau tergolong dalam jenis lembu, manakala ma‘iz (مَعِز) tergolong dalam jenis kambing (الغنم) dalam kebanyakan hukum zakat.
Zakat wajib dikeluarkan daripada unta, lembu dan kambing, kerana banyak manfaatnya, dan zakat dikira berdasarkan bilangan dan keturunannya. Kewajipan zakat haiwan ternakan ini telah ditegaskan dalam hadith-hadith yang sahih. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/37).
Jadi, jelaslah bahawa haiwan-haiwan yang diwajibkan zakat ialah haiwan ternakan yang terdiri daripada unta, lembu dan kambing serta jenis-jenisnya sahaja. Adapun haiwan selainnya, tidak diwajibkan zakat padanya melainkan ia disediakan atau ditentukan untuk perniagaan.
Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (5/311) menyebutkan, kaum Muslimin telah menyatakan ijma‘ (bersepakat) bahawa zakat diwajibkan pada unta, lembu dan kambing. Adapun kuda, baghal, keldai dan haiwan yang dilahirkan hasil kacukan silang antara kambing dan rusa, tidak diwajibkan zakat padanya. Hal ini adalah selagi mana ia tidak digunakan untuk perniagaan. Jika ia digunakan untuk perniagaan, maka diwajibkan zakat padanya.
Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ عَلَى الـمُسْلِمِ صَدَقَةٌ فِي عَبْدِهِ وَلاَ فِي فَرَسِهِ
Maksudnya: “Seorang Muslim tidak wajib mengeluarkan zakat daripada hambanya, dan tidak pula daripada kudanya (selain kuda perniagaan).”
Riwayat al-Bukhari (1464) dan Muslim (982)
Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa zakat hanya wajib dikeluarkan daripada harta yang boleh dikembangkan atau disediakan untuk dikembangkan. Manakala harta-harta yang disediakan sebagai aset (property) atau untuk kegunaan tidak diwajibkan zakat padanya.
Syarak telah memberikan contoh harta-harta yang disediakan sebagai aset (property) yang tidak diwajibkan zakat, seperti hamba yang disediakan untuk memberi khidmat dan kuda yang disediakan untuk menunggang.
Ia menjadi dalil kepada prinsip zakat, dan bahawa zakat diwajibkan sebagai suatu bentuk untuk mendekatkan jurang/mengeratkan antara orang kaya dan miskin, dan bahawa zakat hanya diwajibkan pada harta yang boleh dikembangkan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/311).
Bahkan Imam al-Nawawi turut menyatakan, hadith ini adalah asal yang menunjukkan bahawa harta-harta yang disediakan sebagai aset (property) tidak diwajibkan zakat padanya. Begitu juga tidak diwajibkan zakat pada kuda dan hamba jika ia bukan disediakan untuk perniagaan. Ini adalah pendapat seluruh ulama dalam kalangan salaf dan khalaf, kecuali Abu Hanifah dan gurunya iaitu Hammad bin Abu Sulaiman dan Nafar mewajibkan zakat pada kuda. Namun, mereka tidak mempunyai hujah berkenaan hal tersebut dan hadith ini jelas menolak pendapat mereka itu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/55)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak wajib mengeluarkan zakat daripada kuda melainkan jika kuda tersebut disediakan untuk perniagaan. Ini adalah pendapat majoriti ulama dalam kalangan salaf dan khalaf. Hal ini kerana terdapat hadith yang sahih yang menunjukkan akan perkara tersebut, yang mengecualikan kuda daripada dikenakan zakat.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
آجَرَكَ اللَّهُ فِيمَا أَعْطَيْت، وَبَارَكَ لَك فِيمَا أَبْقَيْت، وَجَعَلَهُ لَكَ طَهُورًا
Maksudnya: “Semoga Allah memberi ganjaran atas apa yang engkau berikan, memberkati apa yang engkau tinggalkan, dan menjadikannya sebagai penyucian bagimu.”